Anggota Polis Dibunuh Semasa Negara Menyambut Kemerdekaan Ke-60

Razlan Rashid
2017.08.31
Kuala Lumpur
170831-my-polismerdeka620.jpg Sukarelawan mengibarkan Jalur Gemilang semasa perarakan Hari Kemerdekaan ke-60 di Dataran Medeka, Kuala Lumpur, 31 Ogos 2017.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Seorang anggota polis ditemui mati dengan kesan tembakan di sebuah balai polis di Selangor ketika Malaysia bersedia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-60 pada Khamis.

Berikutan kejadian itu, Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia [PDRM], Mohamad Fuzi Harun semasa dihubungi BeritaBenar berkata arahan telah dikeluarkan kepada Unit Anti-Keganasan untuk memeriksa sekiranya kejadian pembunuhan anggota polis berusia 29 tahun di Subang Jaya pada kira-kira pukul 2.40 pagi Khamis itu mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam.

"Pada masa ini tidak ada bukti untuk menunjukkan kearah itu tetapi arahan telah dikeluarkan kepada unit anti-keganasan untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya dalam mesej teks kepada BeritaBenar.

Anggota berkenaan yang dikenali sebagai Valentino Mesa, ditemui berlumuran darah seorang diri di sebuah balai polis komuniti di kawasan kejiranan Subang Jaya, yang semasa kejadian mengalami kesan tembakan di bahagian tengah belakang badan serta mempunyai kesan tetakan di belakang kepala.

Mangsa yang berasal dari Sarawak ditemui oleh anggota polis yang lain, yang berhenti di balai berkenaan dalam rutin rondaan pada kira-kira pukul 3.25 pagi.

Dalam pada itu, akhbar  New Straits Times melaporkan seorang lelaki berusia 34 tahun telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA] berhubung dengan kematian Valentino semasa beliau hendak menaiki penerbangan ke Sibu, Sarawak.

"Suspek berjaya dikesan oleh pihak berkuasa lapangan terbang semasa hendak menaiki penerbangan ke Sibu. Suspek yang dipercayai berasal dari Sarawak kemudiannya ditahan oleh pasukan anggota polis untuk membantu siasatan, " kata seorang sumber seperti dilaporkan oleh akhbar berkenaan awal pagi Jumaat.

Terdahulu itu, Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor berkata, terdapat beberapa orang saksi yang mendengar berlakunya letupan sekitar 2.40 pagi, tetapi memikirkan ia adalah daripada  percikan bunga api untuk meraikan sambutan ulang tahun Kemerdekaan ke-60.

"Letupan itu berkemungkinan berlaku semasa kejadian," katanya sambil menambah pistol milik anggota polis itu juga didapati hilang.

Perbarisan nostalgia

Malaysia menyambut sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 pada awal pagi Khamis dengan perarakan Hari Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Merdeka, ibunegara Kuala Lumpur.

Acara tahunan sejak mendapat kemerdekaan daripada British pada tahun 1957, pada tahun ini menyaksikan perarakan penuh nostalgia sepanjang tempoh 60 tahun negara itu merdeka.

Dengan tema "Negaraku Sehati Sejiwa”, sambutan itu turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong,  Sultan Muhammad V, dengan mengembalikan nostalgia suasana sekitar tahun 50-an.

Perarakan itu menyaksikan hampir 18,000 peserta terdiri daripada murid sekolah, kakitangan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat swasta dan organisasi bukan kerajaan di seluruh negara mengambil bahagian dalam acara tersebut.

 

N. Natha dan Hata Wahari di Kuala Lumpur turut membantu dalam laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.