Pemimpin Pembangkang, Penganalisis Malaysia Bimbang Dengan Keganasan Politik
2017.08.14
Kuala Lumpur

Sehari selepas kerusi, kasut dan suar api dilemparkan pada satu forum politik, para pemimpin pembangkang dan penganalisis di Malaysia menyuarakan kebimbangan mereka pada Isnin bahawa lebih banyak keganasan mungkin menjejaskan pilihan raya umum yang akan datang.
Pada Ahad, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad sedang menjawab pertanyaan pada forum "Nothing To Hide 2.0" apabila keganasan tercetus dan mencemari program itu. Perdana Menteri Najib Razak telah dijemput menghadiri forum itu tetapi tidak hadir.
Kekecohan berlaku selepas orang ramai melemparkan selipar dan kerusi ke arah pentas. Sekurang-kurangnya dua suar dibakar dan dilemparkan ke arah hadirin selain lelaki saling bertumbuk di dalam dan di luar dewan.
Mahathir dan pemimpin pembangkang lain tidak cedera dan diiringi keluar dari bangunan itu. Dua orang, termasuk seorang wartawan, cedera ringan.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin mengutuk keganasan itu dan meminta polis mengambil tindakan sewajarnya.
"Walaupun kita mempunyai pendapat berbeza, keganasan tidak patut dilakukan terhadap mana-mana individu atau pemimpin," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Anwar Ibrahim, tokoh utama parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR), memberi amaran bahawa keganasan politik boleh berleluasa.
"Insiden seperti itu dikhuatiri terus berleluasa menjelang pilihan raya umum ke-14," kata Anwar, yang sedang dipenjarakan kerana sabitan liwatnya, dalam satu kenyataan pada Isnin. "Kerajaan bertanggungjawab memastikan hak dan kebebasan bersuara mestilah dilindungi, termasuk hak Mahathir."
Pilihan raya umum Malaysia diadakan setiap lima tahun tetapi perdana menteri belum lagi mengumumkan tarikhnya. Pilihan raya akan datang mesti diadakan pada Jun 2018.
Forum itu, yang dianjurkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di negeri Selangor, dihadiri kira-kira 600 orang. Ia sepatutnya menjadi forum bersemuka di antara Mahathir, yang berusia 92 tahun, dan Najib.
Mahathir, seorang pengkritik paling lantang terhadap Najib, adalah pengerusi PPBM. Beliau telah menggesa Najib supaya meletak jawatan berhubung skandal berjuta-juta dolar melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana pelaburan milik negara. Kerajaan menyatakan bahawa ia tidak menemui sebarang kesalahan jenayah di 1MDB dan Najib menafikan dakwaan penyelewengan wang.
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad (tengah) menjawab soalan pada forum itu, 13 Ogos 2017. [FadzilAziz / BeritaBenar]
Tiga remaja berumur 17, 18, dan 19 tahun ditahan reman berhubung kejadian itu. "Saya mengesahkan bahawa tiga suspek dikenakan reman empat hari berhubung inisden itu," kata penolong pesuruhjaya Polis Shah Alam Shafien Mamat kepada BeritaBenar. Siasatan ditumpukan kepada pelanggaran Akta Perhimpunan Aman dan undang-undang yang berkaitan dengan bahan letupan dan peledak serta senjata berbahaya.
'Bukan adab orang Melayu'
Azmi Hassan, seorang profesor geopolitik di Universiti Teknologi Malaysia, mengingatkan bahawa keganasan boleh berleluasa kerana iklim politik semasa memberi tumpuan kepada keperibadian berbanding isu.
"Ya, trend malang ini akan berterusan pada masa depan," kata Hassan kepada BeritaBenar. "Malah, ia adalah tanda ketidakmatangan rakyat Malaysia apabila berdepan dengan masalah politik. Perdebatan harus difokuskan kepada dasar dan hala tuju parti politik dan bukannya kepada perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan masa depan sesebuah negara. "
"Tahap ketidakmatangan politik itu haruslah dikutuk dan dihentikan," kata Hassan.
Mohamed Azmin Ali, timbalan presiden PKR, berkata beliau terkejut dengan keganasan yang berlaku pada forum itu.
"Demokrasi adalah tentang mencabar idea. Anda mungkin tidak bersetuju dengan Mahathir tetapi janganlah bertindak balas dengan kerusi, selipar dan kasut, "katanya. "Itu bukan adab orang Melayu. Jika anda tidak bersetuju, lawan berhujah dengan fakta dan angka. "
Sementara itu, pemimpin pemuda UMNO Razlan Rafii mengecam pemimpin pembangkang kerana menyalahkan parti Najib berhubung kekecohan itu.
"Semuanya pada Ahad, daripada venue kepada persiapan keselamatan dan soalan-soalan, dilakukan oleh anggota PPBM, dan oleh itu, tidak ada asas bagi mereka untuk menyalahkan orang lain," katanya kepada BeritaBenar.
"Akui sahajalah bahawa pakatan pembangkang adalah sinonim dengan rusuhan jalanan dan kini hooliganisme politik," katanya.
Fadzil Aziz di Selangor dan Hata Wahari dan N. Natha di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.
Seorang wartawan yang cedera dibawa untuk mendapatkan rawatan selepas keganasan pada forum politik Ahad, 13 Ogos 2017. [FadzilAziz / BeritaBenar]