Washington Kemukakan Strategi Indo-Pasifik kepada Pemimpin Malaysia
2018.08.03
Kuala Lumpur, Malaysia

KEMASKINI pada 9.15 am waktu tempatan pada 2018-08-06
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo pada Jumaat membincangkan cara untuk meningkatkan lagi kepentingan keselamatan dan ekonomi bersama pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad semasa membuat kunjungan hormat itu, yang dibayangi isu-isu global, kata para pegawai.
Pompeo, pegawai tertinggi AS pertama yang mengunjungi Kuala Lumpur sejak kemenangan pilihan raya yang menamatkan pemerintahan enam dekad gabungan parti di Malaysia, bertemu Mahathir pada permulaan lawatan empat harinya ke Asia, yang bertujuan mempromosikan strategi Washington mengenai Indo-Pasifik.
Pompeo mengucapkan tahniah kepada pemimpin Malaysia berusia 93 tahun itu yang dapat melaksanakan peralihan kuasa secara aman selepas pilihan raya umum 9 Mei, kata jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert dalam satu kenyataan.
"Mereka membincangkan cara melaksanakan kerjasama untuk mengukuhkan lagi Perkongsian Komprehensif AS-Malaysia berdasarkan nilai-nilai demokratik bersama, termasuk meningkatkan lagi kepentingan keselamatan dan ekonomi bersama di seluruh Indo-Pasifik," kata Nauert, yang merujuk kepada pertemuan selama 30 minit itu.
Pompeo tiba di Kuala Lumpur pada petang Khamis semasa dalam perjalanan ke Singapura, sebuah hab perdagangan global, di mana beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri dari 10 negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Selepas tiba di Singapura, Pompeo mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Turki Mevlut Çavuşoğlu di luar mesyuarat serantau itu. Menteri Luar Korea Utara Ri Yong Ho juga menghadiri acara peringkat menteri itu dan para pegawai AS tidak menolak kemungkinan beliau bertemu dengan Pompeo.
Mahathir mahupun Pompeo tidak mengeluarkan sebarang kenyataan umum, tetapi seorang pembantu kepada pegawai AS itu berkata mereka berjabat tangan dan secara ringkas membincangkan tentang Pakatan Harapan, pakatan pembangkang yang mengalahkan gabungan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak yang memegang tampuk kuasa selama enam dekad.
Seorang pembantu Mahathir enggan mengulas pertemuan itu dan memberitahu BeritaBenar bahawa pertemuan itu, yang diadakan di pejabat perdana menteri di Putrajaya, adalah sulit.
Pompeo diiringi Duta Besar AS ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir pada pertemuan itu, yang turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya.
Visi Indo-Pasifik Washington, yang bertujuan membentuk semula pendekatan serantau dan usaha bersama Amerika untuk menangani kebangkitan China, diperkenalkan pada Jun.
Dalam satu ucapan di Washington pada Isnin, Pompeo berkata lawatannya ke Asia Tenggara bakal menyentuh tentang langkah Beijing yang memperlihatkan kedaulatannya terhadap kawasan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.
China, Malaysia, Brunei, Filipina, Taiwan dan Vietnam terikat dalam pertikaian berhubung tuntutan wilayah di Laut China Selatan, dan ketegangan terus meningkat sejak beberapa tahun lepas setelah Beijing bertindak membina pulau-pulau dan melakukan rondaan tentera laut di Kepulauan Spratly serta di kawasan batuan dan terumbu karang lain seperti Scarborough Shoal, yang menjadi pertikaian itu.
Semasa Pompeo dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, seorang pegawai kanan Jabatan Negara memberitahu pemberita bahawa beliau dijangka membincangkan dengan Mahathir tentang "wawasan kami yang mahukan rantau terbuka, telus, dan berasaskan peraturan."
"Apabila kami menyatakan Indo-Pasifik ‘bebas’, ini bermakna kami mahukan semua negara, setiap negara, untuk dapat melindungi kedaulatan mereka daripada dikawal oleh negara lain," kata Pompeo dalam ucapannya di Washington.
"Apabila kami menyatakan Indo-Pasifik yang ‘terbuka’, ini bermakna kami mahu semua negara menikmati akses terbuka kepada lautan dan ruang udara. Kita mahukan penyelesaian yang damai bagi pertikaian wilayah dan maritim," katanya.
Semasa menekankan bahawa ia tidak memihak kepada sesiapa dalam pertikaian itu, Washington baru-baru ini menghantar kapal-kapal laut dan pesawat-pesawatnya berdekatan gugusan pulau yang menjadi pertikaian itu dalam apa yang dipanggil sebagai rondaan "navigasi bebas".
Mahathir: 'Kapal perang tarik perhatian kapal perang lain'
Di Malaysia, Mahathir berulang kali menyeru supaya kapal perang tidak berleluasa di Laut China Selatan, dengan menyatakan bahawa "kapal perang boleh menarik perhatian kapal perang yang lain."
"Ini kerana sesetengah negara, apabila melihat negara lain menempatkan kapal perangnya di situ, sudah pun bertanya sama ada mereka juga perlu menghantar kapal perang mereka. Ini tidak bagus,"kata Mahathir pada sidang berita 7 Jun. "Kami lebih suka jika tiada kapal perang di sekitar Malaysia."
Selain daripada Laut China Selatan di pantai timur Semenanjung, di bahagian pantai baratnya Malaysia berkongsi Selat Melaka yang sempit dengan Indonesia. Selat Melaka adalah laluan utama bagi perkapalan global.
Seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS memberitahu pemberita bahawa sejajar dengan matlamat Presiden Donald Trump, pertemuan Pompeo dengan Mahathir bertujuan meneruskan hubungan perdagangan yang bebas dan adil.
"Malaysia sebagai ekonomi adalah satu daripada kisah kejayaan besar di Asia Pasifik dan kejayaan itu dikecapi sejak beberapa dekad yang lalu," kata pegawai itu.
Dalam catatan Twitter, Pompeo berkata beliau kagum dengan perkembangan ekonomi dan dinamisme Malaysia.
"Kita berasa bangga dengan perkongsian kukuh yang dijalinkan dengan syarikat-syarikat Amerika yang menjalankan perniagaan di sini dan saya berharap agar diperkukuhkan lagi kerjasama itu dalam pelbagai isu," katanya dalam catatan Twitter beliau pada Jumaat.