Malaysia Mula Kuatkuasa POTA
2015.09.02

Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) berkuatkuasa mulai Selasa di Malaysia dengan tujuan untuk menangani keganasan dan ancaman pelbagai kumpulan militan termasuk kumpulan Negara Islam (IS).
Sehingga kini, Malaysia telah menahan seramai 111 individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu sejak tahun lepas. Daripada jumlah itu, enam telah didakwa manakala selebihnya masih dalam siasatan.
Seramai 66 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS berada di Syria dan Iraq dengan 11 dilaporkan terkorban pada bulan Jun.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata pada Rabu, ‘’Kerajaan telah pun membentangkan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Akta 769) di Parlimen pada sesi Mac 2015 lalu, yang boleh digunakan pihak berkuasa bagi memastikan tiada individu terlepas daripada sebarang tindakan perundangan sekiranya terlibat dalam keganasan.
Katanya, penguatkuasaan POTA selari dengan pembentangan Kertas Putih oleh Perdana Menteri, Najib Razak yang bertajuk 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Militan Negara Islam' di Dewan Rakyat pada 26 November 2014.
"Akta 769 tersebut telah pun diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 28 Mei 2015 dan berkuatkuasa secara rasmi pada 1 Sept 2015," katanya dalam satu kenyataan.
Undang-undang POTA membolehkan mana-mana suspek ditahan sehingga 59 hari (termasuk tempoh reman awal), sebelum dibawa menghadap Lembaga Pencegahan Keganasan yang boleh mengenakan tahanan lanjut sehingga 2 tahun.
Tempoh tahanan boleh dilanjutkan jika lembaga memutuskan terdapat alasan yang munasabah dan ia juga boleh mengarahkan supaya seseorang itu dibebaskan jika difikirkan perlu.
Undang-undang POTA, bagaimanapun, mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin pembangkang, peguam dan pejuang hak asasi manusia yang berkata akta itu seolah-olah membangkitkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kerajaan mansuhkan pada 2012.
ISA membolehkan pihak berkuasa untuk menahan suspek selama dua tahun tanpa perbicaraan. Kerajaan telah menggunakannya untuk memenjarakan pemimpin pembangkang dan pengkritik kerajaan yang lain.
Beliau berkata dalam penggubalan akta itu, terdapat satu undang-undang baru yang turut digubal di samping beberapa pindaan selari yang dibuat terhadap empat undang-undang sedia ada.
Tegasnya, pindaan undang-undang itu bertujuan untuk memastikan undang-undang tersebut benar-benar mantap dan komprehensif agar anasir-anasir militan tidak terlepas daripada sebarang tindakan.
"Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (Akta 770 ) atau secara ringkas SMATA iaitu undang-undang baharu yang membenarkan Ketua Pengarah Imigresen menggantung atau membatalkan dokumen perjalanan yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam organisasi pengganas yang tersenarai di negara asing.
"Menteri juga diberi kuasa untuk mengeluarkan suatu perintah menuntut penyerahan dokumen perjalanan asing milik seseorang yang bukan warganegara Malaysia, yang terlibat dengan keganasan di negara asing, dan diserahkan kepada polis serta ditahan 14 hari untuk proses siasatan," tambah beliau.
Katanya, empat pindaan selari tersebut adalah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 (KK); Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA); dan Akta Penjara (Pindaan) 2015.
"Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA), Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 (KK) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA) telah pun dikuatkuasakan pada 15 Jun 2015," katanya.
Beliau berkata, Akta Pencegahan Keganasan 2015 ini berkuatkuasa serentak dengan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 dan Akta Penjara (Pindaan) (No.2) 2015 mulai 1 September 2015.