PPBM-PAS Bentuk Jawatankuasa Teknikal Hadapi PRU Ke-14

Hata Wahari
2017.02.01
Kuala Lumpur
170201-my-ppbm620.jpg Beribu penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia [PPBM] berkumpul semasa Konvensyen Kebangsaan parti itu di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, 14 Januari 2017.
AFP

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Rabu telah mengadakan pertemuan dalam usaha mencari serta memperhalusi deraf rangka kerjasama persefahaman politik antara kedua-dua parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pertemuan awal pagi yang diadakan di Bangsar, Kuala Lumpur, dengan lokasinya tidak didedahkan itu menyaksikan pertemuan antara PAS yang diwakili oleh Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man manakala PPBM diwakili oleh Mukhriz Mahathir.

Selepas pertemuan itu, satu kenyataan bersama telah dikeluarkan yang antara lain memaklumkan bahawa kedua-dua parti berkenaan telah berjaya membentuk persefahaman dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Mesyuarat hari ini telah memperhalusi deraf rangka kerjasama persefahaman politik PAS-PPBM dalam menghadapi PRU 14 dan beberapa ketetapan positif telah diambil dalam usaha untuk memeterai kerjasama antara kedua-dua parti," kata kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Kenyataan yang ditandatangani antara kedua-dua pemimpin itu bagaimanapun tidak menyebut apakah bentuk persefahaman yang dipersetujui dalam mesyuarat rahsia diantara kedua-dua parti tersebut.

Sebaliknya hanya memaklumkan bahawa persetujuan telah dicapai oleh jawatankuasa teknikal dan akan diperhalusi oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk ditandatangani oleh Presiden PPBM dan PAS iaitu Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang dalam masa terdekat.

PPBM adalah parti baru yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri  Mahathir Mohamad  dan ahli-ahli politik kanan lain yang berpaling tadah daripada parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui Perdana Menteri Najib Razak.

PPBM juga telah membentuk satu blok pembangkang baru bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) yang sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH).

PAN adalah sebuah parti baru, dan anggotannya terdiri daripada serpihan ahli PAS. Ia ditubuhkan selepas beberapa ahli dari golongan profesional dalam PAS kecewa kerana ditolak daripada memegang beberapa jawatan utama di Muktamar tahunan PAS pada Jun tahun lepas.

PAS berpecah daripada blok pembangkang pada Jun 2015, dan sejak itu menguar-uarkan pihaknya sebagai blok pembangkang kedua menentang Barisan Nasional yang memerintah. Keadaan itu timbul disebabkan kerana ketegangan politik terhadap DAP dan PAN.

Sementara itu, isu lama antara PAS dan UMNO iaitu gabungan antara kedua-dua parti itu mula diperkatakan semula sejak kebelakangan ini, sehingga memaksa Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan mengeluarkan kenyataan tegas yang polisi telah ditetapkan oleh PAS melalui keputusan Majlis Syura Ulamak bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan Umno dan menyertai BN.

Mengelirukan

Pakar Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan dalam reaksinya terhadap persefahaman itu memberitahu BeritaBenar, yang persetujuan antara kedua-dua parti itu agak mengelirukan.

"Kerjasama antara PAS dan PPBM ini tidak akan membolehkan PAS mendakwa mereka tidak berkerjasama dengan DAP dan PAN kerana faktor PPBM yang bersama-sama dengan Pakatan Harapan,” katanya semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu.

Azmi bagaimanapun memberitahu, kerjasama ini sesuatu yang unik dan hanya akan teruji semasa pembahagian kerusi pilihanraya umum ke-14 nanti.

Ujar Azmi, jika benar kerjasama PAS-PPBM terhasil maka sudah pasti cita- cita pembangkang untuk menyaksikan pertembungan satu lawan satu dalam PRU14 nanti akan menjadi kenyataan.

Najib, perlu mengadakan pilihan raya umum  pada pertengahan 2018 berdasarkan kitaran pilihan raya lima tahun negara itu namun penganalisa politik meramalkan ia akan diadakan selepas suku ketiga tahun ini.

Dalam catatan blognya pada Selasa, Najib dilihat seolah memberi peringatan bahawa pilihan raya umum bakal tiba tidak lama lagi dengan turut  mengingatkan semua jentera  Barisan Nasional agar tidak leka atau mengambil mudah terhadap keperluan rakyat Malaysia.

“Kita perlu sentiasa fokus kepada penyampaian objektif, tunaikan janji kita, luangkan masa bertemu dan dengar denyut nadi rakyat, hasrat dan keperluan mereka.

“Kita harus sentiasa bersedia dan berusaha memastikan jentera kita terus mantap untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara,” katanya dalam catatan itu.

Najib juga mengumumkan tarikh persidangan UMNO bagi tahun 2017 dipercepatkan, iaitu antara 17 Mac hingga 30 April bagi mesyuarat cawangan dan mulai 7 Julai hingga 26 Ogos bagi mesyuarat bahagian.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.