Mengapa PRU15 berbeza daripada pilihan raya sebelumnya

Perubahan paling ketara ialah penggubalan undang-undang yang menghalang Ahli Parlimen melompat parti selepas dipilih rakyat.
Muzliza Mustafa & Iman Muttaqin Yusof
2022.10.14
Kuala Lumpur
Mengapa PRU15 berbeza daripada pilihan raya sebelumnya Pelanggan sebuah restoran sedang mengikuti pengumuman oleh Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob melalui siaraan lansung mengenai pembubaran Palimen di Kuala Lumpur, 10 Okt. 2022.
[Hasnoor Hussain/Reuters]


Pilihan raya umum Malaysia yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini menyaksikan perbezaan ketara berbanding 14 pilihan raya sebelum ini atas beberapa faktor antaranya pelaksanaan undang-undang yang menghalang Ahli Parlimen bertukar parti sebaik sahaja dipilih.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah membubarkan Parlimen pada Isnin lepas bagi membuka laluan kepada pilihan raya mengejut dalam tempoh 60 hari sekali gus menamatkan spekulasi mengenai bila pilihan raya umum ke-15 akan diadakan.

Ismail, yang merupakan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO, semasa mengumumkan pembubaran Parlimen itu memaklumkan bahawa beliau berbuat demikian bagi menghentikan persoalan mengenai legitimasi kerajaan pimpinannya.

Rakyat Malaysia pada pilihan raya umum 2018 telah memilih untuk menyingkirkan UMNO dan Barisan Nasional yang telah memegang tampuk pemerintahan sejak negara merdeka namun gabungan Pakatan Harapan kemudian tumbang akibat pertikaian dalaman sehingga menyaksikan pentadbiran Putrajaya yang tidak dipilih rakyat telah bertukar sebanyak dua kali.

Menjelang pilihan raya umum akan datang, yang dijangka berlangsung bulan depan, Perdana Menteri berkata "mandat akan dikembalikan kepada rakyat."

Berikut adalah perubahan yang bakal menyaksikan pilihan raya umum ke-15 jauh berbeza berbanding pilihan raya sebelumnya:

Wujudnya undang-undang yang menghalang wakil rakyat bertukar parti

Tindakan bertukar parti sebaik sahaja dipilih, atau berpaling tadah, atau melompat parti, telah menjadi punca utama ketidakstabilan politik di Malaysia terutama sejak 2018, apabila ia membawa kepada perubahan pemerintah yang kerap berlaku dalam kerajaan.

Undang-undang itu berkuat kuasa pada 5 Okt iaitu lima hari sebelum Parlimen dibubarkan.

Di bawah undang-undang antilompat parti, Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang bertukar parti selepas dipilih akan kehilangan kerusi mereka, melainkan parti itu memecat mereka terlebih dahulu.

Golongan belia berusia 18-21 tahun mengundi buat kali pertama

Parlimen Malaysia telah meluluskan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengurangkan had umur pengundi kepada 18 daripada 21 tahun namun ia hanya berkuat kuasa Disember lepas berikutan ketidakstabilan politik yang berlaku selama beberapa bulan.

Pada Januari lepas, Ismail Sabri berkata seramai 4 juta rakyat Malaysia berumur 20 tahun ke bawah boleh mengundi pada pilihan raya umum ke-15.

Susulan pertambahan pengundi muda dan baharu lain dalam daftar pemilih selepas pendaftaran secara automatik, bilangan pengundi yang layak mengundi semasa pilihan raya akan datang adalah lebih 22 juta orang, menyaksikan peningkatan berbanding kira-kira 15 juta pada pilihan raya 2018.

Perlawanan tiga penjuru

Buat julung kalinya, Malaysia bakal menyaksikan perlawanan tiga penjuru dalam pilihan raya umum.

Pada 14 pilihan raya umum sebelum ini, pertembungan utama adalah antara Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO dan gabungan pembangkang.

Sebagai contoh pada 2018, perlawanan adalah antara BN dan Pakatan Harapan yang kemudian menyaksikan BN buat pertama kalinya kalah mengejut kepada pembangkang.

Pakatan Harapan terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar Ibrahim, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Amanah.

Kali ini, terdapat satu lagi gabungan pembangkang iaitu Perikatan Nasional yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu pimpinannya. Menyertai Bersatu ialah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang sebelum ini bersekutu dengan UMNO namun telah berpisah daripada parti tua dan berpengaruh itu untuk pilihan raya kali ini.

"Ia adalah peralihan daripada sistem dua gabungan kepada tiga gabungan," kata Tunku Mohar Mokhtar, seorang profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.

Calon PM yang bukan presiden parti

Buat julung kalinya, UMNO menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri yang bukan presiden parti itu.

Ismail Sabri adalah Naib Presiden parti itu dan hanya dinamakan sebagai PM dalam kerajaan campuran tahun lepas kerana Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berdepan perbicaraan kes rasuah di mahkamah manakala Timbalan Presidennya iaitu Mohamad Hasan bukan Ahli Parlimen, yang merupakan prasyarat untuk jadi PM.

Zahid masih bergelut dengan kes rasuah manakala Hasan pula bukan Ahli Parlimen, tetapi terdengar ura-ura bahawa Ismail Sabri boleh digantikan dengan Hasan sebagai calon PM dengan Hasan akan diminta bertanding sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya akan datang namun perkara itu belum dinyatakan secara rasmi.

Pilihan raya negeri tidak berlangsung serentak

Kali ini tidak semua negeri akan mengadakan pilihan raya negeri bersama-sama dengan pilihan raya di peringkat nasional, seperti kebiasaannya.

Banyak pihak kecewa kerana pilihan raya umum diadakan pada musim tengkujuh, yang sering membawa bencana banjir dan mengakibatkan kematian, bermula pertengahan November.

Tahun lepas, banjir telah menyebabkan kematian lebih 50 orang dan kerugian RM6 bilion (AS$1.3 bilion).

PAS yang menguasai negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu telahpun mengumumkan bahawa pilihan raya negeri hanya akan diadakan pada tahun depan. Sekurang-kurangnya dua daripada tiga negeri yang dikuasai Pakatan Harapan juga tidak akan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Parlimen tahun ini.

Negeri mempunyai masa sehingga separuh kedua tahun depan untuk mengadakan pilihan raya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dijadual bermesyuarat pada 20 Okt ini untuk menetapkan tarikh pengundian bagi pilihan raya umum, yang bakal menyaksikan tiga bekas Perdana Menteri bertanding di kawasan Parlimen masing-masing – Ismail Sabri, Muhyiddin, dan Mahathir Mohamad, 97, yang berkata ini adalah kali terakhir beliau bertanding dalam pilihan raya umum negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.