Rakan parti pemerintah Malaysia sertai desakan minta pilihan raya tidak diadakan semasa musim banjir

Beberapa negeri telah menyatakan keengganan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri sekirannya pilihan raya di adakan semasa banjir.
Ray Sherman & Noah Lee
2022.09.21
Kuala Lumpur
Rakan parti pemerintah Malaysia sertai desakan minta pilihan raya tidak diadakan semasa musim banjir Mangsa banjir meredah air untuk ke lokasi lebih tinggi di Hulu Langat, Selangor, 19 Disember 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menjadi sebahagian daripada gabungan membentuk pentabiran Putrajaya pada Selasa menentang idea untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semasa musim tengkujuh sekaligus menyertai gelombang protes banyak pihak yang tidak bersetuju kemungkinan pilihan raya diadakan hujung tahun ini.

Tentangan parti itu yang berada dalam gabungan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri itu dibuat selepas Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata parti-parti politik dalam gabungan Barisan Nasional sanggup meredah banjir dan hujan lebat untuk bertanding jika pilihan raya umum diadakan semasa musim tengkujuh yang dijangka berlaku antara bulan November dan Disember tahun ini.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata pemimpin dari parti itu yang berada dalam kerajaan akan mencadangkan supaya Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dibuat tahun ini.

"Tidak ada keperluan untuk mengadakan PRU15, terutama ketika musim banjir semakin hampir, kita semua tahu akan terjadi banjir dan ia akan menyukarkan kerja menguruskan pilihan raya," kata beliau kepada media selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur pada lewat Selasa.

Seorang lagi Naib Presiden parti itu Mohd Amar Nik Abdullah pada Rabu pula berkata PAS tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri – Kelantan, Terengganu dan Kedah – yang ditadbir parti tersebut sekiranya PRU15 diadakan semasa musim tengkujuh.

“Berikutan monsun timur laut, negeri-negeri di pantai timur akan berdepan dengan banjir tahunan dan mengadakan pilihan raya pada masa itu adalah tidak sesuai kerana memerlukan peruntukan dan perbelanjaan besar untuk mengurangkan kesan buruknya.

"Dalam mesyuarat pusat parti baru-baru ini, kami (PAS) telah memutuskan untuk tidak membubarkan dewan undangan di tiga negeri pimpinan Pas sehingga Mac 2023, iaitu apabila penggal semasa berakhir,” katanya seperti dilaporan media tempatan pada Rabu.

Selain PAS, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang juga seorang pemimpin UMNO, berkata mengadakan pilihan raya ketika musim tengkujuh bukanlah sesuatu yang wajar disebabkan faktor keselamatan, tenaga kerja serta kesihatan.

"Lazimnya kita elak daripada mengadakan pilihan raya pada waktu banjir. Ini kerana kita perlu mengambil kira faktor keselamatan, tenaga kerja dan kesihatan. Sebab utamanya ialah dari segi waktu kerja, banyak tenaga kerja diperlukan untuk waktu musim banjir ini untuk dikerahkan bagi menjaga pusat pemindahan sementara, menjaga keselamatan rakyat, untuk kerja pemindahan.

"Faktor kedua ialah dari segi kemudahan, banyak kemudahan pusat pemindahan sementara adalah di sekolah yang juga digunakan sebagai pusat membuang undi," kata Khairy dalam satu sidang media pada Rabu, dan menambah bahawa musim banjir juga menyaksikan peningkatan kes penyakit berjangkit.

Para pengkritik telah menyifatkan kesungguhan Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, Ahmad Zahid untuk melihat pilihan raya diadakan pada tahun ini sebagai 'langkah terdesak' pemimpin tersebut untuk menyelamatkan dirinya daripada kes pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah, dan rasuah yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Spekulasi bertiup kencang bahawa PRU15 akan dipanggil tidak lama lagi, walaupun tempoh tamatnya pada September tahun depan, ia berikutan tidakan kerajaan mempercepatkan pembentangan Belanjawan Negara 2023, tiga minggu lebih awal daripada tarikh yang telah ditetapkan terdahulu iaitu pada 28 Oktober.

Desakan

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob, yang berdepan desakan daripada partinya sendiri supaya mengadakan pilihan raya secepat mungkin, pula dilihat berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dan tidak membuat sebarang komen yang boleh ditafsir sebagai melawan kehendak parti.

Ismail baru-baru ini berkata bahawa tarikh pilihan raya umum yang akan datang akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet pada Rabu, tetapi hasil perbincangan itu masih tidak diumumkan.

Pada Isnin lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, yang juga adalah seorang pemimpin kanan UMNO, berkata satu kajian mendalam diperlukan sebelum kerajaan boleh membuat keputusan mengenai tarikh sesuai bagi mengadakan pilihan raya, kerana musim banjir boleh memberikan kesan kepada kadar pengundi yang keluar memilih.

Rafizi Ramli, timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat pula berkata, kenyataan Zahid bahawa BN sanggup meredah banjir untuk bertanding dalam pilihan raya seolah-olah mahu "mencari gaduh" dengan rakyat.

"Perlekeh risiko banjir sama seperti bermain emosi rakyat yang bertarung nyawa semasa bencana banjir," kata beliau melalui satu ciapan di Twitter pada Ahad.

Parti politik MUDA pula menyatakan yang parti itu akan menganjurkan satu protes berkenaan perkara tersebut dengan bertujuan mahu meminta perdana menteri mengumumkan satu rancangan tindakan banjir yang meliputi aset kerajaan serta tenaga kerja bagi menangani krisis bencana daripada bermain politik.

Perbuatan tidak bertanggungjawab

Organisasi pemantau pilihan raya BERSIH pula berkata adalah sesuatu yang "tidak bertanggungjawab" sekiranya perdana menteri bertindak mengadakan pilihan raya awal demi kelangsungan politik tanpa memikirkan nasib rakyat.

"Mengadakan Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU15) semasa musim banjir bukan sahaja akan meningkatkan kos logistik untuk menguruskan pilihan raya di kawasan yang terkesan banjir, tetapi ia juga akan memberikan kesan kepada kadar pengundi yang keluar, kerana banjir serta hujan boleh menyebabkan sesetengah orang membatalkan niat untuk keluar mengundi.

"Dan untuk mengadakan pilihan raya yang akan memberikan keabsahan kepada kerajaan yang dipilih, kadar pengundi yang tinggi adalah perlu. Kerajaan yang menang dalam pilihan raya yang tidak ramai orang mengundi akan mendapat mandat yang lemah, dan ia berkemungkinan akan berdepan kesukaran untuk melaksanakan polisi yang sukar tetapi diperlukan," kata Pengerusinya Thomas Fann semasa dihubungi BenarNews.

Tambahnya lagi adalah sesuatu yang "tidak bertanggungjawab" di pihak perdana menteri sekiranya beliau mengabaikan faktor tersebut dalam membuat keputusan mengenai tarikh pilihan raya demi kelangsungan politik.

Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia sebelum ini menganggarkan bahawa pilihan raya yang akan datang bakal menelan belanja kira-kira RM1 bilion (AS$219 juta), iaitu dua kali ganda berbanding jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan untuk mengadakan pilihan raya pada 2018.

Lau Zhe Wei, seorang pembantu profesor di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata gesaan Zahid supaya pilihan raya diadakan awal itu didorong oleh pergolakan politik dalam UMNO.

"UMNO tidak akan mendapat faedah lebih dengan mendesak pilihan raya diadakan ketika musim banjir, tetapi isu dalaman parti itu tiada kaitan dengan menang besar atau kecil. Ia adalah mengenai krisis dalaman parti itu.

"Kem Zahid tidak mahu Ismail terus menjadi Perdana Menteri, sebaliknya mereka mahu supaya Parlimen dibubarkan segera, walaupun masanya belum tiba untuk parti itu mendapat kemenangan optimum," kata beliau kepada BenarNews.

"Bagaimanapun, dalam menyatakan ini, Lau percaya kem Zahid juga tidak akan mahukan pilihan raya awal sekiranya mereka tidak yakin boleh menang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.