Penganalisis: UMNO mungkin kembali berkuasa atas undi Melayu di tengah kemelesetan ekonomi
2022.10.31
Kuala Lumpur

Di sebalik kekalahan mengejut pada Pilihan Raya Umum 2018, UMNO mungkin kembali berkuasa pada pilihan raya 19 November ini, kata penganalisis atas faktor perpecahan parti-parti pembangkang, selain masyarakat Melayu majoritinya pula percaya parti itu adalah satu-satunya yang boleh menjaga kepentingan rakyat terutama semasa kemelesetan ekonomi yang sedang melanda.
Gabungan pembangkang utama Pakatan Harapan (PH), yang menewaskan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada pilihan raya umum lalu, hanya mampu bertahan kurang dua tahun tempoh pentadbirannya, akibat perbalahan dalaman, sekaligus membawa kepada defisit kepercayaan di kalangan pengundi Melayu konservatif, demikian menurut penganalisis Oh Ei Sun.
“Saya fikir sentimen popular terhadap Pakatan Harapan adalah campuran kebencian dan peletakan jawatan, sebahagian besarnya mengikut garis komunal,” kata Oh, seorang felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura kepada BenarNews.
Beliau juga berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) bakal mendapat sokongan majoriti daripada kumpulan Melayu konservatif, yang mahu 'hak istimewa' mereka dipertahankan.
"Majoriti pengundi Melayu kebanyakannya tidak menyukai pendirian Pakatan Harapan mengenai konsep berbilang kaum, seperti melantik lebih ramai bukan Melayu ke jawatan yang tinggi. Oleh itu ramai akan kembali mengundi UMNO yang dilihat dapat mempertahankan hak dan kedudukan istimewa mereka," tambah Oh sambil merujuk kepada majoriti Melayu beragama Islam yang merangkumi 70 peratus daripada 30.2 juta penduduk di negara itu.
Sebagai contoh semasa di bawah pentadbiran PH, Malaysia menyaksikan pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng yang telah dilantik sebagai Menteri Kewangan pertama kali dalam tempoh 44 tahun yang bukan dikalangan orang Melayu. Pelantikan Lim dari parti yang dilabelkan oleh UMNO sebagai anti-Melayu itu tidak diterima baik oleh golongan Melayu konservatif.
Selain itu, kejatuhan kerajaan Pakatan yang hanya memerintah selama 22 bulan selepas kemenangan bersejarahnya dalam Pilihan Raya Umum Mei 2018 telah membawa kepada tempoh ketidaktentuan politik yang panjang. Malaysia menyaksikan tiga perdana menteri dalam satu penggal, iaitu yang pertama dalam sejarah negara tersebut.
Ibrahim Suffian, pengarah badan pemikir Merdeka Center berkata berdasarkan pengalaman berkenaan, pengundi mungkin menganggap BN pimpinan UMNO bersama parti-parti dalam gabungan itu, sebagai pilihan yang lebih selamat di tengah-tengah kegawatan ekonomi.
"Berdasarkan itu, pembangkang yang berpecah-belah memang memberi kelebihan kepada Barisan," katanya kepada BenarNews.
Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada 19 November ini, dengan kira-kira 21 juta pengundi yang layak akan mendapat peluang untuk memilih kerajaan baharu. Buat pertama kalinya tahun ini pengundi berusia 18-21 tahun, iaitu kira-kira 5 juta, juga layak untuk mengundi.
Pada 2018, rakyat Malaysia dengan tekad telah mengundi untuk menyingkirkan UMNO daripada berkuasa, tetapi gabungan pembangkang yang mereka pilih tumbang kerana perbalahan dalaman di mana digantikan dengan pentadbiran kerajaan yang tidak dipilih secara berturut-turut sebanyak dua kali.
Dengan pilihan raya umum akan datang, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah berkata "mandat akan dikembalikan kepada rakyat."
Pertandingan pelbagai penjuru
Pembangkang kali ini tidak bersatu, tidak seperti empat tahun lalu apabila skandal kewangan 1MDB dan kaitan Perdana Menteri UMNO ketika itu Najib Razak, yang telah menyatukan kumpulan pemimpin pembangkang yang pelbagai di bawah payung Pakatan. Pakatan pada 2018 termasuk parti Bersatu, yang ketika itu dipimpin oleh bekas PM Mahathir Mohamad.
Dua gabungan pembangkang berdaftar manakala satu lagi gabungan pembangkang tidak rasmi akan bertanding menjadi penentang utama Barisan Nasional pimpinan UMNO kali ini.
Ia terdiri daripada Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim, Bersatu pimpinan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengetuai gabungan Perikatan Nasional manakala satu lagi gabungan yang belum didaftarkan, dipimpin oleh bekas perdana menteri Mahathir, Gerakan Tanah Air, bersama partinya Parti Perjuang Tanah Air.
Oh berkata perpecahan undi pembangkang tidak dapat dielakkan dalam pertandingan pelbagai penjuru, seperti terbukti semasa pilihan raya negeri Johor awal tahun ini, yang mana menyaksikan UMNO-BN kembali berkuasa di negeri berkenaan.
"Sekiranya gabungan pembangkang meletakkan calon mereka untuk bertanding di kerusi sama, undi mereka pastikan akan berpecah. Dan oleh itu, jika terdapat persaingan sengit, UMNO akan mempunyai kelebihan,” tambah beliau.
Ibrahim dari Merdeka Center bersetuju dengan pendapat itu, walaupun beliau melihat sebahagian undi BN akan semakin berkurangan jika sebilangan pengundi Melayu memilih Perikatan Nasional yang berpaksikan Melayu dan diketuai oleh Muhyiddin, dan bernaung bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif.
"Akan tetapi, sekiranya PN berjaya mendapatkan sokongan pengundi muda Melayu, mereka boleh mengurangkan undi BN.
"Sekiranya lebih ramai pengundi bukan Melayu keluar mengundi, peluang PH juga akan turut menjadi lebih baik," tambah Ibrahim sambil berkata BN perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 45 peratus undi Melayu untuk mempertahankan semua kerusi dimenanginya pada 2018.
Lagipun, semasa pilihan raya umum lalu, Bersatu, yang ketika itu dipimpin oleh Mahathir, telah menyumbang kira-kira 25 peratus undi Melayu – yang membantu Pakatan mengalahkan UMNO-Barisan.
Atas sebab yang sama, sedikit merugikan kepada Pakatan pada kali ini, kata Ibrahim, kerana gabungan pimpinan Anwar mungkin kehilangan sokongan orang Melayu berikutan keluarnya Bersatu daripada gabungan tersebut.
Oh menambah, minoriti bukan Melayu pada dasarnya pasrah kepada hakikat bahawa selepas kejatuhan kerajaan Pakatan pada 2020, tidak akan ada lagi kerajaan berbilang budaya di Malaysia.
“Maka ramai daripada mereka enggan keluar mengundi,” katanya sambil menambah peratusan pengundi yang rendah, sama seperti pilihan raya negeri Johor awal tahun ini, yang sekaligus akan memberi manfaat kepada UMNO, yang mempunyai jentera akar umbi dalam memastikan penyokongnya keluar mengundi.
Berdasarkan faktor-faktor ini, Oh berkata UMNO berkemungkinan memenangi bilangan kerusi terbanyak daripada 222 yang dipertandingkan, dan dengan itu berada di kerusi utama untuk membentuk kerajaan seterusnya.
James Chin, seorang profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, berkata beliau melihat parti Melayu memenangi pilihan raya akan datang.
"Saya meramalkan akan ada parti Melayu yang dominan muncul daripada pilihan raya ini," katanya kepada BenarNews.
“Kebanyakannya adalah daripada pengundi Melayu luar bandar.”
‘Fokus kestabilan ekonomi’
Tambahan pula, dasar UMNO menyediakan penyelesaian ekonomi jangka pendek, seperti bantuan tunai langsung, dan bukannya pembaharuan jangka panjang, ia akan menjadi daya lebih menarik kepada pengundi di negara membangun seperti Malaysia dalam masa kemelesetan ekonomi, kata Oh.
"Di negara yang lebih maju, apabila berlakunya kegawatan, pengundi kebiasaannya akan memilih kerajaan baru dengan harapan ia akan membawa polisi ekonomi yang baru bagi memulihkan ekonomi,” tambah Oh.
"Bagaimanapun, di negara membangun, pengundi biasanya sudah mengalami kesukaran dari segi sosioekonomi, dan mereka lebih selesa memilih penyelesaian jangka pendek seperti bantuan kewangan yang dihulurkan UMNO, berbanding reformasi jangka panjang yang lebih diperlukan seperti ditawarkan PH kerana ia menyebabkan kesukaran dalam jangka masa pendek," kata beliau.
Bagi Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan kerajaan beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya, kerajaan pimpinan UMNO telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion (AS$80 bilion) termasuk potongan cukai dan bantuan kewangan secara terus kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Jumlah bantuan kewangan juga telah distruktur semula dan diperluaskan untuk meliputi lebih banyak keluarga pada tahun hadapan.
Sehari selepas pembentangan belanjawan itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang memegang jawatan ketiga tertinggi dalam UMNO memberi jaminan kepada pengundi yang belanjawan tersebut dapat dilaksanakan sekiranya beloau diberikan mandat untuk kembali sebagai perdana menteri.
Pada satu majlis di Kuala Lumpur pada Ahad, beliau berkata wang untuk bajet itu sudah sedia untuk digunakan.
“Tunggu sahaja masa untuk melaksanakannya, selepas pembentangan semula bajet dan kelulusan,” katanya menurut media tempatan.
Awang Azman Awang Pawi, seorang penganalisis politik di Universiti Malay pula berkata UMNO akan mengambil kira perkara ini dalam kempennya juga.
“UMNO amat yakin dengan kempennya untuk mendapatkan kembali mandat daripada rakyat dengan memberi tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan ekonomi, di tengah-tengah kebimbangan kemelesetan ekonomi tahun depan,” katanya kepada BenarNews.