Tentera tembak mati 2 individu dikaitkan dengan kumpulan militan PULO di Selatan Thailand

Mariyam Ahmad
2022.07.08
Pattani, Thailand
Tentera tembak mati 2 individu dikaitkan dengan kumpulan militan PULO di Selatan Thailand Anggota tentera Thailand memeriksa sekitar kawasan selepas menjalankan operasi menentang pemberontakan di daerah Raman, Wilayah Yala, 8 Julai 2022.
[BenarNews]

Operasi menentang pemberontakan di Selatan Thailand pada Jumaat membawa kepada pembunuhan dua pemberontak PULO dan penahanan lapan individu lain yang dikaitkan dengan kumpulan militan tidak aktif, yang baru-baru ini menyatakan minat untuk menyertai rundingan damai negara itu.

Berikutan operasi itu, yang dijalankan di wilayah Yala, sebanyak lima suspek pemberontak telah dibunuh oleh pihak tentera sejak Selasa, kata pegawai. Ini menjadikannya sebagai minggu keganasan maut di wilayah sempadan itu sejak kerajaan dan pemberontak BRN melaksanakan gencatan senjata selama 40 hari bermula pada awal April semasa Ramadan.

“Kira-kira jam 6 pagi, apabila pegawai tiba di rumah-rumah tersebut, berlakulah pertempuran yang menyebabkan kematian dua suspek … lapan lagi menyerah diri. Kami percaya mereka bersembunyi untuk melancarkan serangan di suatu tempat di sana,” kata Kolonel Polis Ratpolchai Pensongkram iaitu ketua balai polis Kota Bharu di wilayah Yala.

Beliau dan pegawai lain berkata lapan individu yang menyerah diri itu mengakui bahawa mereka dan dua suspek yang terbunuh adalah anggota "PULO G5" atau cabang kelima kumpulan pemberontak Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani yang paling berkuasa pada 1990-an.

Pasukan tentera menemukan senapang AK-47, karabin M-1 dan pistol 9mm serta dua mayat di sebuah padang di kampung Mai Khan, kata pegawai dan memberitahu bahawa risalah bertulis PULO G5 juga ditemui di sebuah rumah berhampiran.

Dalam satu operasi pada Selasa, pasukan keselamatan lain telah menembak mati seorang suspek anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan menangkap seorang lagi semasa pertempuran di Pattani. Pada Rabu, pasukan keselamatan juga membunuh dua suspek anggota sel BRN di wilayah Narathiwat.

Komander tentera wilayah mengesahkan bahawa mereka yang terbunuh dan ditangkap pada Jumaat adalah anggota PULO.

“Hari ini, lapan lelaki menyerah diri dan mengaku mereka anggota PULO. Mereka juga bekerjasama dengan sindiket dadah untuk mencetuskan keganasan namun perkara ini perlu disiasat lebih lanjut,” kata Lt. Jeneral Kriangkrai Srirak, Komander Wilayah Tentera Ke-4 yang mengawasi Selatan Thailand.

Kasturi Mahkota, ketua PULO-MKP (Majlis Kepimpinan Pertubuhan atau Majlis Pimpinan Parti) mempersoalkan kenyataan panglima tentera itu.

“Saya belum lagi mendengar laporan lapangan mengenai kejadian itu. Tetapi, tuduhan penglibatan PULO dengan dadah adalah tidak benar,” kata Kasturi kepada BenarNews.

Keganasan sebelum ini

Pada 15 April, ketika Kasturi, yang mengetuai satu daripada tiga pihak PULO, menyuarakan minat untuk menyertai BRN dalam rundingan damai dengan kerajaan, anggota PULO mengaku bertanggungjawab melakukan dua pengeboman hingga menjejaskan gencatan senjata 40 hari sempena bulan suci umat Islam yang telah dipersetujui para perunding berkenaan.

Letupan di wilayah Pattani itu menyebabkan kematian seorang penduduk kampung dan mencederakan tiga anggota skuad pengebom polis.

Pada Jumaat, Lt. Jeneral Kriangkrai menolak kebimbangan mengenai minggu maut itu.

“Saya sedar adanya kebimbangan mengenai pembunuhan ini… tetapi orang ramai lupa tentang serangan ke atas balai polis marin di Tak Bai yang berlaku selepas berakhirnya Ramadan. Pasukan keselamatan perlu menguatkuasakan undang-undang walaupun kita cuba bertahan,” katanya.

Pihak berkuasa berkata tiga pegawai cedera apabila 10 lelaki bersenjatakan senapang dan bom tangan menyerang sebuah balai polis berhampiran sempadan dengan Malaysia.

Namun, pegawai wilayah berkata tentera mahu mewujudkan keamanan di Selatan Thailand.

"Kami meneruskan sentimen inisiatif keamanan Ramadan yang masih utuh dan kami akan mengadakan rundingan damai pada bulan ini tetapi saya tidak ingat tarikhnya," kata Kriangkrai.

Selatan Thailand merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla di kawasan sempadan selatan Melayu Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Sejak pemberontakan berlaku semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terbunuh dan 13,500 yang lain cedera dalam keganasan di seluruh wilayah, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.