PULO Nafi Pejuang Belot Sertai Program ‘Bawa Balik Kampung’
2018.02.06
Kuala Lumpur

Pemimpin kumpulan pemisah Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani [PULO] telah menafikan bahawa pejuangnya telah belot, dalam maklum balas terhadap laporan lewat minggu lalu yang menyatakan bahawa 2,000 bekas pejuang PULO dan Barisan Revolusi Nasional [BRN] ingin menyertai program inisiatif "Bawa Balik Kampung" yang diperkenalkan Thailand.
Kasturi Mahkota pemimpin PULO memberitahu BeritaBenar, siasatan yang dilakukan oleh PULO menunjukkan tiada anggota kumpulan atau pejuang samada dari PULO atau BRN terlibat dalam program “Bawa Balik Kampung”.
“Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada anggota yang kini meneruskan perjuangan di Malaysia atau di negara Eropah, yang menyertai program `Bawa Balik Kampung’," tegasnya semasa dihubungi BeritaBenar dari Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, Kasturi melalui laman media sosial Facebook telah memuat naik status bersama beberapa keping gambar yang menunjukkan pejuang di selatan telah berpaling tadah dengan menyerahkan senjata kepada pihak berkuasa Thailand.
“(Laporan) dua ribu pejuang berpaling tadah kepada pihak musuh [tentera Thailand] adalah satu pembohongan dan sandiwara politik murahan,” katanya dalam status Facebook beliau pada Isnin.
Sementara itu dalam jawapannya kepada BeritaBenar beliau juga memberitahu yang semua anggota PULO mempunyai pendirian di dalam matlamat perjuangan kumpulan berkenaan, sambil berkata “PULO masih wujud dan satu proses pilihanraya untuk memilih anggota Majlis Kepimpinan Pertubuhan PULO juga telah diadakan untuk meneruskan perjuangan bagi sesi 2017-2021”.
Dua ribu sedia serah diri
Pemimpin PULO itu berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai laporan media Thailand, The Bangkok Post yang menyiarkan berita pada Jumaat lepas dengan tajuk “Nearly 2,000 Insurgents Ready to Surrender to Authorities” [ Hampir 2,000 Pemberontak Sedia Menyerah diri kepada Pihak Berkuasa].
Laporan akhbar Thailand itu berkata sekurang-kurangnya 2,000 bekas anggota PULO dan BRN yang melarikan diri dari negara itu untuk mengelakkan pendakwaan terhadap serangan di selatan Thailand, telah menunjukkan minat untuk menyertai projek "Bawa Balik Kampung" yang diperkenalkan oleh Tentera Wilayah Keempat Thailand.
Perkembangan terkini itu didedahkan oleh seorang bekas anggota PULO, berusia 62 tahun, yang mendakwa mewakili sebuah kumpulan yang anggotanya terdiri daripada mereka yang berlindung di Malaysia, Brunei dan beberapa negara Skandinavia serta Timur Tengah.
Bekas anggota PULO yang bercakap dengan syarat tidak mahu dikenali itu berkata, pemberontak telah berputus asa dalam perjuangan bersenjata mereka dan bersedia untuk menyertai projek kerajaan itu. Daripada 2,000 pejuang, kira-kira 800 bersembunyi di Malaysia, katanya.
Akhbar itu juga berkata, projek ‘Bawa Balik Kampung’ adalah sebahagian daripada usaha untuk membina keamanan oleh pihak berkuasa, yang menggalakkan pemberontak meletakkan senjata mereka dan menyerahkan diri.
Mereka juga menggesa para pemberontak untuk berbincang dengan anak-anak mereka serta berpaling tadah.
"Kami dan anak-anak kami tidak mempunyai masa depan jika terus tinggal di Malaysia atau di negara-negara asing yang lain. Kami mahu kerajaan Thailand memberi status kewarganegaraan kepada kami supaya dapat mengakses pelbagai kebajikan seperti yang diperolehi oleh rakyat Thailand yang lain," kata beliau yang merupakan seorang daripada empat anggota bekas PULO dan BRN yang menghubungi Lt Jen Piyawat Nakwanich, Panglima Tentera Wilayah Ke-empat yang berpangkalan di selatan Thailand, yang berusaha membawa pemberontak pulang.
Dalam pada itu, akhbar berkenaan pada Sabtu lalu turut menyiarkan laporan mengenai hampir 300 orang yang dikaitkan dengan kumpulan pemberontak di selatan negara itu telah mengambil bahagian dalam acara janji setia untuk tidak terlibat dalam sebarang pergolakan di Kem Sirindhorn di daerah Yarang, di wilayah Pattani.
Menurut pegawai, 127 orang telah mendaftar untuk menyertai program berkenaan tahun lepas dan 161 lagi mengambil bahagian tahun ini. Mereka juga menyerahkan sebanyak 39 senjata kepada pihak berkuasa pada majlis itu.
Akhbar itu di dalam ruangan lidah pengarang yang disiarkan hari ini berkata, “Jelas, tentera berada di landasan yang betul dengan program ini [Bawa Balik Kampung] dan yang lain yang menggalakkan pemisah yang bersimpati untuk memikirkan semula tindakan dan kesetiaan mereka. “Dalam keluarga dan masyarakat, ada peluang. Dalam kumpulan pemisah, tiada.”
Sejak 2004, hampir 7,000 orang terbunuh dan lebih 13,000 cedera dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik di selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu di wilayah yang dikawal ketat oleh tentera, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di wilayah Pattani.