Malaysia Beri Kelonggaran, Benarkan Majlis Sosial, Agama
2020.06.24
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia pada Rabu mengumumkan bahawa negara itu akan mula membenarkan penganjuran majlis sosial, agama termasuk ibadah korban semasa sambutan Aidil Adha, mulai 1 Julai ini, satu kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan secara berperingkat dengan negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga akhir Ogos.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan yang wajib dipatuhi penganjur termasuk mengehadkan jumlah kehadiran kepada maksima 250 individu dengan terus mengamalkan penjarakan sosial.
"Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan kebenaran dan penganjuran majlis sosial bermula 1 Julai 2020. Majlis sosial yang dibenarkan merangkumi kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan.
"Majis-majlis lain berkaitan agama juga seperti tahlil, majlis aqiqah, doa selamat dan juga aktiviti sambutan sosial seperti majlis hari ulangtahun perkahwinan, sambutan harijadi, majlis reunion untuk sekolah dan lain-lain juga diberikan kebenaran mulai 1 Julai ini," kata beliau dalam sidang media harian di Putrajaya.
Dengan pengumuman terbaru itu, kelonggaran terhadap aktiviti sosial semasa PKPP telah semakin bertambah dimana sebelum ini, kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan aktiviti renang dan tayangan di pawagam bermula 1 Julai, yang turut diiringi dengan syarat-syarat tertentu bagi mengelakkan penularan COVID-19.
Menurut Ismail, penganjuran majlis sosial adalah dihadkan di antara tiga hingga lima jam sahaja, manakala hidangan makanan secara bufet adalah dilarang. Namun, kelonggaran boleh diberikan kepada penganjur untuk membuat hidangan bufet dengan syarat mereka hendaklah menggunakan khidmat pramusaji bagi menceduk makanan untuk tetamu.
Prosedur standard seperti kaunter saringan mesti diletak di pintu masuk di mana mereka yang hadir perlu diperiksa suhu badan terlebih dahulu, dan pengunjung yang bergejala tidak boleh dibenarkan masuk sama sekali. Rekod kedatangan pengunjung juga wajib diisi samada melalui aplikasi Kementerian Kesihatan, MySejahtera, atau secara manual.
Aktiviti Qurban dibenarkan
Selain itu, Ismail memberitahu pemberita bahawa kerajaan juga telah bersetuju untuk membenarkan penganjuran aktiviti penyembelihan binatang ternakan atau ibadah Qurban sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut bermula 30 Julai ini.
"Kerajaan telah setuju benarkan aktiviti ibadah qurban sempena Aidiladha yang akan jatuh pada akhir Julai ini. Ibadah qurban hanya dibenarkan di masjid atau surau atau kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa agama sahaja," umum beliau.
Namun, menurut menteri berkenaan, kebenaran itu hanya termaktub kepada Wilayah Persekutuan sahaja manakala keputusan bagi negeri-negeri lain adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri berkenaan.
Untuk rekod, bidang kuasa hal-ehwal agama Islam bagi setiap negeri dalam Malaysia adalah terletak di bawah kerajaan negeri.
Akan tetapi, tambah Ismail, satu set prosedur operasi standard telah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi ibadah Qurban semasa PKPP dan pihak berkuasa agama negeri-negeri boleh menjadikannya sebagai rujukan mereka.
Bagi memastikan keadaan adalah terkawal dan mengurangkan risiko penularan COVID-19, beberapa syarat lain turut dikenakan kepada penganjur, seperti had maksima pengunjung sebanyak 250 orang pada satu-satu masa manakala kanak-kanak di bawah usia 12 tahun tidak dibenarkan sama sekali.
Jumlah petugas untuk menguruskan aktiviti sembelihan juga dihadkan kepada 30 orang bagi setiap ekor lembu. Jumlah berkenaan merangkumi petugas dari awal proses penyembelihan, melapah daging, pembungkusan sehingga pengagihan daging kepada penerima-penerima yang disasarkan.
Sesi persekolahan bermula
Sementara itu, pada Rabu turut menyaksikan hari pertama pembukaan semula sekolah-sekolah menengah di seluruh negara setelah lebih tiga bulan ditutup ekoran penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lalu.
Pembukaan semula itu dimulakan untuk pelajar kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia serta peperiksaan antarabangsa yang setara, manakala murid-murid lain yang tidak terlibat dengan peperiksaan berkenaan masih menunggu pengumuman lanjut pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.
Keputusan membuka semula sesi persekolahan secara berperingkat ini telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Radzi Jidin dalam satu pengumuman khas pada 10 Jun lalu.
"Saya pasti ibu bapa tertanya-tanya bagaimana keselamatan anak-anak apabila sekolah dibuka semula nanti. Jangan bimbang, kami yakin dengan kerjasama ibu bapa, guru-guru dan anak-anak dalam mematuhi Garis Panduan yang telah dikeluarkan, anak-anak kita akan dapat hadir ke sekolah dan mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat," kata beliau semasa menyentuh mengenai isu keselamatan pelajar dan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Antara langkah-langkah yang telah diambil dan disyaratkan Kementerian Pendidikan untuk sesi persekolahan adalah saringan untuk semua pelajar sebelum memasuki sekolah dan mereka yang suhu badan melebih 37.5 Celcius atau bergejala tidak akan dibenarkan masuk.
Kedudukan kerusi dan meja di dalam kelas juga disusun bagi mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter, manakala makanan di kantin hanya dijual secara dalam bungkusan dan pelajar hanya boleh makan di dalam kelas masing-masing semasa waktu rehat dengan pengawasan guru.
Hari pertama pembukaan semula sekolah itu menyaksikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengambil kesempatan untuk meninjau keadaan dengan melawat sebuah sekolah di Kuala Lumpur.
Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata beliau telah singgah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, dan telah diberikan taklimat khas mengenai prosedur-prosedur baru yang dikenakan susulan pandemik COVID-19.
Dalam perkembangan terkini status kes COVID-19 di dalam negara, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) menjangkakan negara boleh mencapai sifar kes positif COVID-19 dalam pertengahan Julai hadapan.
“Jika kita patuh kepada prosedur dan nasihat KKM, mungkin kita akan mencapai sifar kes. Unjuran kita mengatakan pertengahan bulan Julai, kalau rakyat Malaysia patuh kpd SOP," kata Noor Hisham.
Noor Hisham sebelum itu berkata jumlah kes harian berada pada tahap rendah, dengan hanya enam kes positif baru direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari Rabu. Ini menjadikan jumlah kes kumulatif bertambah kepada 8,596 kes, manakala tiada kes kematian direkodkan.