Naib Presiden PKR Rafizi Ramli Ditahan Polis Dibawah OSA

Amir Hadi Azmi
2016.04.05
Kuala Lumpur
160405-my-rafizi-620 Kereta Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli ditahan polis sebaik saja kereta beliau menyusuri keluar daripada perkarangan bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, 5 April 2016.
Amir Hadi Azmi/BeritaBenar

Anggota Parlimen Pandan dari parti pembangkang Rafizi Ramli telah ditahan polis dibawah Akta Rahsia Rasmi, di perkarangan bangunan Parlimen, demikian disahkan oleh Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Rafizi yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah ditahan selepas membuat pendedahan dokumen Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendakwa hubungan antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sahkan bahawa YB Rafizi Ramli telah ditahan sebentar tadi, di luar bangunan Parlimen dan akan disiasat di bawah Seksyen 8 OSA,” kata Khalid membuat pengesahan mengenai penangkapan itu melalui laman Facebook rasminya.

Rafizi pada 28 Mac lepas, mendedahkan butiran dari apa yang didakwanya adalah petikan laporan Peguam Negara, yang menyatakan bahawa cabang pelaburan 1MDB itu sepatutnya disalahkan terhadap kelewatan dalam pembayaran gratuiti kepada veteran LTAT, menurut media tempatan.

Portal berita Malaysiakini dalam laporkannya berkata, Rafizi membuat laporan polis berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang dalam pembayaran 1MDB, berdasarkan dokumen sulit yang dikatakan dimiliknya.

Beliau juga mendakwa pesara tentera tidak menerima caruman LTAT mereka sejak 2014, manakala 1MDB menafikan ia menjadi punca kepada sebarang kelewatan kerana tidak lagi berhutang sebarang wang kepada anak syarikat lembaga berkenaan, seperti dilaporkan beberapa media tempatan sebelum ini.

Rafizi ditahan kira-kira pukul 6 petang ketika mahu keluar dari bangunan itu dan dibawa ke Ibupejabat Polis Bukit Aman untuk disoal siasat.

Tangkapan pada Selasa itu, merupakan yang kedua Rafizi selepas ditahan pada Mei lepas kerana penglibatannya dalam perhimpunan Hari Mei dalam membantah perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Beliau telah disiasat di bawah Seksyen 143 dan Seksyen 141 Kanun Keseksaan.

Pengerusi LTAT Laksamana (B) Mohd Anwar Mohd Nor dalam satu kenyataan media  pada Isnin berkata, "Jelas sama sekali bahawa tuntutan yang dibuat oleh Rafizi adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.”

"Sekali lagi ditegaskan, tidak ada sebarang kebenaran dalam dakwaan Rafizi, dan LTAT telah memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau," katanya seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen mengutuk penahanan itu sambil berkata, pihak berkuasa menggunakan Akta Rahsia Rasmi untuk menutup pelbagai kes termasuk rasuah dan pemberi maklumat seperti Rafizi tidak mempunyai peluang langsung.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.