Rafizi Buat Laporan Penerima Dana 1MDB Kepada SPRM
2017.04.14
Kuala Lumpur

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli pada Jumaat telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] mendakwa bekas Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia [PAS] menerima sejumlah wang dari dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan membuat laporan itu di ibupejabat SPRM di Putrajaya mendakwa Nasharudin Mat Isa telah menerima wang dari anak syarikat 1MDB, SRC International tetapi tidak mahu mendedahkan jumlah wang dan bila ia disalurkan kepada pemimpin itu.
Pada hari yang sama, Nasharudin turut mengeluarkan satu kenyataan media menafikan dakwaan yang beliau pernah menerima bayaran tersebut dan berkata segala dakwaan Rafizi tiada kaitan dengannya dan merupakan satu fitnah dengan berniat jahat terhadap beliau dan PAS.
“Saya dengan ini menafikan dengan sekeras-kerasnya pernah menerima apa jua bentuk bayaran dan/atau sumbangan daripada sumber-sumber seperti yang dinyatakan oleh beliau [Rafizi] melalui tuduhan yang tidak berasas dalam SD [Statutory Declaration] tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Rafizi pada Khamis telah membuat sumpahan akuan berkanun dengan mendakwa bahawa Nasharudin telah menerima wang berkenaan dan perkara itu dikongsikan oleh seorang “pegawai terkanan” dalam SPRM yang ditemuinya pada 28 Jan lepas, yang telah menyiasat mengenai penglibatan Najib dalam skandal 1MDB.
“Siasatan SPRM ke atas SRC International mendapati sejumlah dana SRC International telah dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak, dan berlaku beberapa transaksi bayaran kepada peguam tertentu.
“SPRM telah menyoal siasat peguam tersebut dan mendapatkan bukti tokoh-tokoh yang dibayar menggunakan wang SRC International yang disalurkan melalui peguam tersebut dan salah seorang daripada penerima bayaran dari peguam tersebut adalah Dr Nasharuddin Mat Isa” dakwa Rafizi semasa membaca akuan berkanun pada sidang media yang turut disiarkan secara lanngsung melalui akaun Facebooknya pada Khamis.
Akaun berkanun
Rafizi selepas selesai membuat laporan di pejabat SPRM itu berkata akuan berkanunnya itu adalah untuk kembali membawa isu SRC International dan 1MDB dalam siasatan suruhanjaya berkenaan.
“Tumpuan utama saya ialah untuk menunjukkan dan membawa kembali isu SRC dan 1MDB kerana SRPM telah pun menyiapkan semua siasatan.
“Kita mahu SPRM menyiasat bukan sahaja (dana yang) sampai kepada Nasharudin tapi sampai ke siapa selepas itu, dan bagi tujuan apa, dan juga untuk menyiasat semua penerima-penerima lain,” tambahnya lagi.
Rafizi menambah pendedahan yang dibuatnya itu adalah kerana pelantikan Nasharudin sebagai Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.
“Sebagai seorang penerima dana rakyat 1MDB (melalui SRC International Sdn Bhd) yang telah disiasat oleh SPRM, beliau tidak layak berada di kedudukan itu dan wajar meletakkan jawatan segera,” katanya pada Khamis.
Nasharudin merupakan pengerusi Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), sebuah yayasan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, dan merupakan Ahli Parlimen PAS bagi kawasan YAN pada tahun 1999 – 2004 dan Ahli Parlimen Bachok dari 2008 – 2013.
Beliau dipecat daripada PAS pada 2013 kerana mengadakan gerakan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan di antara PAS dan UMNO, yang idea itu akhirnya digugurkan.
Rafizi sebelum ini berkata dakwaan itu dibuat di bawah Akta Berkanun 1960 bagi memastikan bahawa sekiranya mana-mana bahagian yang disebutnya tidak benar, maka satu laporan polis boleh dibuat dan tindakan menangkap beliau boleh dilaksanakan.
“Jika akuan berkanun ini tidak betul maka petang ini boleh dibuat laporan polis mengikut proses undang-undang dan saya boleh didakwa. Sehubungan itu saya boleh membawa semua pihak yang bertanggungjawab terutama pegawai SPRM untuk membuktikan bahawa perkara ini adalah benar,” tegasnya pada sidang media selepas membaca akuan itu pada Khamis.
Rafizi menegaskan maklumat tersebut adalah “sahih dan terperinci” daripada seorang bekas pegawai SPRM paling kanan yang telah memberitahunya siasatan tersebut telah selesai dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki ketika dihubungi BeritaBenar enggan mengulas mengenai pendedahan yang dibuat Rafizi.
Rafizi semasa sidang media pada Khamis turut memberitahu yang beliau dimaklumkan bahawa pembayaran dibuat dalam bentuk cek melalui “peguam tertentu”.
“Perkara ini ada unsur salah guna kuasa yang boleh disiasat di bawah pelbagai undang-undang negara sekiranya bayaran kepada seorang mantan pimpinan PAS itu bertujuan untuk melunakkan suara PAS (sebagai parti pembangkang utama) dalam isu-isu bersabit skandal 1MDB dan pemindahan wang ke akaun YAB Datuk Seri Najib Tun Razak,” menurut akuan itu.
PAS nafi
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan ketika dihubungi oleh BeritaBenar memberitahu, perkara itu tidak melibatkan PAS kerana pemimpin tersebut telah dipecat dari parti itu sejak tahun 2013.
“Saya tidak ada maklumat sama ada betul ke apa yang didedahkan oleh Rafizi kerana pada saya, PAS tidak ada menerima sebarang dana daripada Nasharuddin apabila beliau menjadi Timbalan Presiden PAS,” tegasnya pada Khamis.
Dalam satu kenyataan media pada Khamis, PAS menafikan pernah menerima sebarang sumbangan dari Nasharuddin kecuali sumbangan tetap bulanan ahli parlimen PAS yang tidak diberitahu jumlahnya.
“PAS Pusat menyerahkan perkara akuan bersumpah Rafizi Ramli dalam hal ini kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang.,” menurut kenyataan itu.
Najib telah dikaitkan dengan skandal itu, selepas akhbar antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa hampir AS $700 juta wang 1MDB didakwa telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihanraya umum Malaysia pada 2013.
Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku dalam skandal itu..
1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, juga telah menafikan sebarang salah laku.