Menteri Ekonomi mahu bersemuka dengan rakyat melalui podcast ‘Yang Bakar Menteri’
2023.12.19
Kuala Lumpur

Hantaran media sosial yang dimuat naik oleh Menteri Ekonomi Malaysia pada Selasa telah tular apabila beliau mengumumkan akan memulakan program bual bicara podcast bermula Januari, di mana orang ramai dipelawa untuk bersemuka dengannya dan lebih penting, untuk “membakar beliau”.
Rafizi Ramli berkata sesi podcast itu akan berlangsung secara terbuka tanpa sebarang sekatan, di mana beliau juga berpeluang untuk “membakar” para pengkritiknya, demikian menurut pengumuman yang dibuat di laman media sosial Facebook yang telah menarik lebih 1,400 komen dan dikongsi sebanyak 283 kali sejak dimuat naik pada awal Selasa.
“Dalam kes 'YB Viral', hujahnya berkisar mengenai “debat dan podcast”. Konon podcast itu bukan debat, sedangkan semua orang tahu podcast adalah platform. Sebarang perdebatan boleh sahaja dibuat di mana-mana platform - dalam dewan, TV, radio atau podcast di internet. Debat itu maksudnya bersemuka (bukan menjerit maki hamun di cermin).
“Itulah tujuan saya - untuk menunjukkan watak sebenar aktivis maya pembangkang. Sebab itu saya telah merancang untuk memulakan podcast YBM (rasminya bermakna Yang Berhormat Menteri, tetapi podcast ini bermakna Yang Bakar Menteri),” kata Rafizi dalam status berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, siaran podcast 'Yang Bakar Menteri' akan mula bersiaran pada 8 Januari 2024 secara berkala setiap dua minggu, dengan rakaman di sebelah malam.
Rafizi berkata podcast itu bertujuan memberi peluang kepada sesiapa sahaja bersemuka dengan beliau sama ada kalangan ahli akademik, penyokong kerajaan atau rakyat biasa, dengan sasaran utamanya adalah aktivis maya pembangkang.
“Siapa yang berani menyahut cabaran untuk membakar menteri dan berhadapan risiko kena bakar?
“Mangsa pertama YB Viral sudah terbakar dan biarkan dia kepanasan menjerit di depan cermin keseorangan. Jika ada watak yang cocok, siapa orang pertama yang akan bersemuka dengan saya pada 8 Januari 2024 ini?” ujarnya dalam melontarkan cabaran berkenaan secara terbuka.
Tidak sekadar menawarkan orang ramai untuk tampil secara sukarela untuk berdepan dengannya, Rafizi juga nekad untuk “mencari aktivis-aktivis maya pembangkang yang banyak memainkan dakyah untuk tampil” bersemuka dengannya.
“Saya akan cari mereka, jemput dan beri peluang bersemuka. Mereka berpeluang membakar saya, saya juga berpeluang membakar mereka. Bagi saya, budaya begini lebih baik dari budaya maki hamun dan pertikai perkara picisan seperti yang dibawa aktivis maya pembangkang sekarang,” tegasnya lagi.
Pengumuman Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di mana Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah Presidennya itu hadir sebagai respon kepada kritikan terbuka aktivis maya pro-pembangkang yang menggelarkan diri sebagai “YB Viral” terhadap Anwar dan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri itu.
Hutang
Menurut individu berkenaan, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar telah membuat hutang sebanyak RM104 billion sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada November tahun lalu.
“Sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan Madani ini meroyan pasal hutang negara…. Katanya negara berada dalam krisis kewangan…. Anwar Ibrahim pun sama.
“Lepas PRU dia jadi perdana menteri dia sibuk sembang pasal hutang negara yang ditinggalkan. Dia kata dia tak kan buat hutang baru. Dia kata jangan tambah hutang. Itu yang dia cakap pada 23 Jun yang lalu.
“Dan sehari selepas itu saya dan kawan-kawan muncul membidas apa dikata dan kita beritahu kepada semua sebenarnya Anwar Ibrahim dah buat hutang baru berpuluh billion ketika itu.
“Anwar Ibrahim sebenarnya telah menjadi perdana menteri pertama dalam sejarah yang menambah hutang untuk tempoh setahun melebihi RM100 billion. Tapi Anwar Ibrahim buat (hutang) sebanyak RM104.8 billion.
“Kalau ikut logik diorang ni, Madani-madani ni berada dalam krisis kewangan dah, jadi sekarang apa cerita?” soalnya dalam video ‘YB Viral’ yang dimuatnaik dalam aplikasi X yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, menerusi akauan miliknya pada Selasa.
Sebelum itu pada Sabtu, individu tersebut menolak pelawaan Rafizi untuk hadir dalam sesi podcast dan sebaliknya bertegas mengajak Menteri Ekonomi tersebut untuk berdebat secara terbuka.
Lari jika dicabar
Mengulas lanjut, Rafizi dalam hantarannya membidas “YB Viral” dengan mendakwa aktivis maya pembangkang “tidak berani berhujah di depan, mereka lari jika dicabar dan mereka takut dengan tindakan undang-undang” kerana mereka tahu banyak kandungan mereka melanggar undang-undang jika dibawa ke mahkamah.
“Berhari-hari meroyan seorang aktivis maya pembangkang selepas kena cuit dengan saya.
“Selepas dicuit, mereka akan pusing untuk mengalih tumpuan kepada perkara-perkara picisan,” dakwa Rafizi lagi.
Menteri Ekonomi itu berkata setelah menimbang padangan pro dan kontra berhubung kesesuaian menteri berbahas dengan aktivis maya pembangkang, beliau memilih untuk menawarkan platform podcast bagi menangani dakyah pembangkang secara berdepan.
“Sebab itu saya cuit seorang yang menggelarkan dirinya ‘YB Viral’. Dia bukanlah penting atau berpengaruh pun, tetapi reaksinya sebelum, semasa dan selepas dicuit menggambarkan watak sebenar aktivis maya pembangkang.
“Sebelum dicuit, mereka adalah jenis yang suka mempertikaikan segalanya. Kalau pertikaian itu berasaskan fakta dan perspektif yang benar, saya kira itu boleh diterima.
“Tetapi pertikaian yang dibawa berunsurkan maki hamun, jeritan dan emosi kerana mereka tidak faham pun isu-isu ekonomi yang cuba dibawa. Semasa dicuit, mereka menggelabah dan menggelupur. Terbongkarlah watak mereka yang sebenarnya hanya berani baling batu sembunyi tangan,” bidasnya lagi.
Pandangan bercampur
Langkah Rafizi itu mendapat reaksi bercampur dari pengguna media sosial Malaysia dengan ada yang menyokong dan sebahagian lagi tidak bersetuju.
Pengguna Facebook, Hisham Mohd Den memuji pendekatan Menteri Ekonomi tersebut untuk meluangkan masa untuk memahami masalah rakyat secara terus.
“Elok juga dua minggu sekali menteri luangkan sedikit masa untuk mengetahui masalah akar umbi dan menjawab persoalan terus dari rakyat. Buat pun waktu malam dan tak ganggu waktu pejabat. Insyaallah kat situ akan ada idea-idea yg boleh membantu dan menjelaskan isu sebenar kepada rakyat,” ujar beliau.
Pendapat itu turut disokong oleh seorang lagi pengguna Facebook Iznie Sofyan yang bersetuju supaya Rafizi mempertahankan diri dari fitnah.
“Memang patut menteri bangkit untuk pertahankan diri dia dari jadi bahan fitnah berterusan. Yang sebar fitnah terus panggil kalau tak puas hati untuk berdebat depan-depan untuk dapatkan kebenaran, bukan tabur fitnah dekat media sosial lepas itu buat keras dan terkoyak bila diambil tindakan undang-undang.
“YB Viral memang banyak sangat fitnah, daripada cakap seorang diri baik isi borang debat terus, boleh kita sama-sama menilai apa yang betul apa yang salah,” komen Iznie Sofyan.
Bagaimanapun, Juan Romero sebaliknya berkata Rafizi seharusnya memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai menteri dan bukannya lebih banyak bercakap.
“Banyak betul masa menteri seorang ini. Masa jadi pembangkang dia banyak cakap. Masa jadi menteri pun banyak cakap. Sudahnya semua benda dia cakap dulu satu pun tak tercapai objektifnya. Cukup-cukuplah bercakap Rafizi, pergilah buat kerja sebagai menteri,” ujarnya dalam komen di Facebook.
Iskandar Zulkarnian di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.