Hun Sen bengang dengan lawatan singkat ketua pembangkang Kemboja ke Malaysia

Malaysia berkata Sam Rainsy tidak bertemu perdana menteri semasa singgah ke negara itu semasa dalam perjalanan pulang ke Perancis.
Staf RFA & BenarNews
2023.06.01
Hun Sen bengang dengan lawatan singkat ketua pembangkang Kemboja ke Malaysia Ahli Parlimen Malaysia Wong Chen [tengah] bergambar dengan pemimpin pembangkang Kemboja, Sam Rainsy dan isterinya, Tioulong Saumura, semasa lawatan mereka ke negara itu baru-baru ini.
[Facebook Wong Chen]

Lawatan ke Malaysia oleh ketua pembangkang Kemboja, Sam Rainsy, baru-baru ini telah merenggangkan hubungan antara kedua-dua negara itu.

Sam Rainsy, yang memilih tinggal dalam buangan di Paris, tiba di Kuala Lumpur bersama-sama isterinya pada Isnin untuk lawatan peribadi selama dua hari, kata Ahli Parlimen Malaysia Wong Chen.

Ini termasuk mengadakan pertemuan selama sejam dengan tiga Ahli Parlimen bukan eksekutif yang memperjuangkan hak asasi manusia dan pilihan raya yang bebas dan adil, tetapi beliau tidak bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, kata beberapa pegawai Malaysia.

Lawatan itu bagaimanapun telah membangkitkan kemarahan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.

Sam Rainsy merupakan pengkritik dan saingan Hun Sen yang paling lantang. Beliau adalah ketua parti pembangkang yang telah dibubarkan iaitu National Rescue Party (Parti Penyelamat Nasional) Kemboja tetapi melarikan diri ke Perancis pada 2015 untuk mengelak beberapa pertuduhan bermotifkan politik seperti yang didakwa para penyokongnya.

"Anwar Ibrahim memberitahu saya dengan jelas bahawa beliau tidak akan membenarkan Sam Rainsy melawat, dan saya memberitahunya bahawa jika beliau membenarkan Sam Rainsy berbuat demikian, kedua-dua kerajaan tidak boleh bekerjasama," kata Hun Sen pada majlis perasmian sebuah jambatan di Phnom Penh pada Rabu.

Sebuah laman web kerajaan yang pro-Kemboja berkata Sam Rainsy telah dihalau keluar dari negara itu – tetapi aktivis CNRP yang berpejabat di Malaysia, Morn Phalla, menafikan perkara itu.

Wong pula berkata persinggahan itu dibuat ketika Sam Rainsy dalam perjalanan pulang ke Perancis dari Indonesia dan Australia.

"Kami telah berkawan rapat selama hampir enam tahun," katanya. “Pada asalnya, saya tidak berhasrat untuk menyiarkan perkara berkenaan kerana ia adalah lawatan peribadi. Bagaimanapun, memandangkan perkara itu telah mendapat perhatian media, saya berharap perkara ini dapat menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.”

Kementerian Luar Malaysia berkata Anwar tidak tahu menahu mengenai kunjungan Sam Rainsy baru-baru ini, dan kedua-dua pemimpin itu tidak bertemu.

230601-my-rainsy2.jpeg

Pemimpin pembangkang Kemboja, Sam Rainsy, ketika hadir pada majlis mengenai kebebasan media di Hotel Gran Melia di Jakarta, Indonesia, 19 Mei 2023. [Reuters]

'Saya akan tembak awak'

Hun Sen juga mengancam untuk menyerang Sam Rainsy dengan pelancar roket jika beliau mengetuai kunjungan ke Kemboja dari Thailand.

"Sam Rainsy rasa bangga kerana dapat memijak bumi Malaysia, dan kini beliau rasa bangga untuk pergi ke Thailand pula," kata Hun Sen pada Rabu.

Minggu lalu, Sam Rainsy memberitahu RFA bahawa jika kerajaan baharu Thailand yang pro-demokrasi dibentuk, beliau akan melihat kemungkinan untuk pergi ke Kemboja melalui Thailand.

"Kerajaan Thailand tidak boleh membenarkan anda (berbuat demikian) - dasar dalaman tanpa campur tangan," kata Hun Sen, merujuk kepada prinsip tidak campur tangan ASEAN dalam kalangan 10 negara anggotanya. “Jika anda menyeberangi sempadan dari Thailand … saya akan tembak anda. Lebih baik anda tidak timbulkan sebarang huru-hara."

Sok Ey San, jurucakap Parti Rakyat Kemboja yang memerintah, memberitahu RFA bahawa beliau percaya Sam Rainsy tidak berani pulang ke negara itu. Beliau juga yakin bahawa tidak ramai yang akan mengalu-alukan Sam Rainsy.

"Mengapa tidak mahu datang jika ada orang yang menyambutnya? Beliau sedang mengendalikan propaganda politik dirinya."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.