Raja-Raja Melayu gesa ahli politik henti hasut rakyat guna isu perkauman, agama
2022.11.30
Kuala Lumpur

Majlis Raja-Raja Melayu pada Rabu menggesa ahli politik berhenti mencetuskan kebencian di negara berbilang agama dan kaum itu susulan peningkatan ucapan berunsur kebencian selepas pembentukan 'kerajaan perpaduan' yang baharu dan pelbagai.
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang mempengerusi mesyuarat majlis itu dan merupakan antara sembilan Raja-Raja Melayu di negara tersebut yang majoriti penduduknya beragama Islam, telah mengeluarkan titah berkenaan selepas sebuah parti Islam yang juga pembangkang menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi perisik Israel serta antara pemimpin parti pemerintah yang mempromosi Islamofobia.
“Beta harap supaya tiada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan menghasut masyarakat,” titah Tuanku Muhriz dalam ucapan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung selama dua hari di Istana Negara di Kuala Lumpur.
“Beta menyeru kepada kerajaan baharu untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya.”
Raja-Raja Melayu dianggap sebagai pelindung rakyat dan berperanan sebagai ketua agama serta adat-istiadat.
Majlis itu bersidang sekurang-kurangnya sekali setahun untuk mendapatkan gambaran umum daripada perdana menteri mengenai situasi dalaman negara. Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada Sultan, Raja dan Yang Dipertua Negeri mewakili 13 negeri di Malaysia, turut memilih Yang di-Pertuan Agong secara bergilir-gilir bagi tempoh lima tahun.
Ini adalah mesyuarat kedua Majlis Raja-Raja pada tahun ini sejak Jun dan diadakan setelah Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri minggu lepas.
Pilihan Raya Umum pada 19 Nov lepas telah menyaksikan Malaysia berdepan dengan keadaan Parlimen tergantung kerana tiada parti atau gabungan politik yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Kerusi Parlimen terbanyak iaitu 82 dimenangi blok Pakatan Harapan yang berbilang kaum pimpinan Anwar Ibrahim diikuti rapat oleh Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin yang merangkumi parti Islam Malaysia (PAS) yang fundamentalis, dengan jumlah 73 kerusi.
Blok Barisan Nasional, yang pernah menerajui kerajaan terdahulu, tewas teruk dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, ia bersekutu dengan Anwar untuk membentuk 'kerajaan perpaduan' apabila Yang di-Pertuan Agong melantik beliau sebagai Perdana Menteri bagi memecahkan kebuntuan selepas pilihan raya.
PAS dan parti komponen lain Perikatan telah melontarkan pelbagai dakwaan terhadap blok Pakatan pimpinan Anwar sejak gabungan baharu pemerintah itu mengambil alih kuasa pada 24 Nov, kata penganalisis.
Pemimpin Perikatan Muhyiddin telah menyatakan bahawa beliau tidak mahu menjadi sebahagian daripada 'kerajaan perpaduan' yang disyorkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Awal minggu ini, ketika menjawab kritikan kerana berkempen menggunakan isu yang boleh membawa kepada perpecahan kaum, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menuduh Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti komponen Pakatan, sebagai Islamofobia.
“Mereka (DAP) secara terbuka memfitnah Islam, terutamanya PAS,” kata Hadi Awang dalam catatan di laman Facebook pada Isnin.
“PAS menjadi sasaran DAP berikutan kemajuan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang memperoleh jumlah kerusi Parlimen tertinggi daripada semua parti lain,” katanya.
Hampir kesemua ahli DAP berbangsa Cina. Sesetengah pihak di negara yang majoriti penduduknya adalah Melayu itu tidak mempercayai DAP yang dianggap mendahulukan kepentingan etnik Cina di Malaysia sehingga merugikan orang Melayu.
Polis juga sedang menyiasat Ahli Parlimen PAS Hassan Saad yang didakwa telah memfitnah Perdana Menteri sebagai ejen Israel.
Sementara itu, terdapat peningkatan dalam hantaran berunsur kebencian di media sosial selepas keputusan pilihan raya umum menghasilkan parlimen tergantung.
Beberapa hantaran telah membayangkan bahawa rusuhan kaum, yang pernah berlaku pada 1969, mungkin berulang jika DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Ketegangan kaum dan agama serta kebencian ekonomi adalah tema yang berterusan dalam masyarakat Malaysia. Mereka mencapai titik terendah pada Mei 1969 apabila keganasan komunal membunuh hampir 200 orang, kebanyakannya etnik Cina, menurut angka rasmi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis telah memanggil pengurusan TikTok, platform video pendek untuk menjelaskan penyiaran kesemua video kontroversi mengenai 1969.
"Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal ehwal berkaitan dengan agama dan kaum," menurut kenyataan MCMC pada Selasa.
Tindakan sedemikian merupakan satu kesalahan jenayah, tambah suruhanjaya itu.
Jika keadaan semasa berterusan, ia boleh mengganggu keupayaan Anwar untuk mentadbir, kata penganalisis politik Azmi Hassan.
"Kita tidak memerlukan perkara seperti ini. Saya rasa nasihat Majlis Raja-Raja itu tepat pada masanya supaya kempen yang memainkan isu agama dan bangsa dihentikan," kata Azmi yang merupakan felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara kepada BenarNews.
“Kebanyakan kesalahan terletak pada pemimpin Perikatan yang fikir mereka sepatutnya membentuk kerajaan. Jika mereka fikir mereka mempunyai majoriti, mereka harus menunggu sehingga 19 Dis ketika Anwar mencadangkan undi percaya di Parlimen.”
Azmi turut memuji cara DAP menangani provokasi yang dilemparkan terhadap parti itu oleh PAS.
"Dalam hal ini... DAP yang menjadi sasaran kecaman bertindak mendiamkan diri dan ini adalah satu langkah yang bijak," kata Azmi.
Seorang lagi penganalisis, Jayum A. Jawan pula berkata ketegangan kaum telah menjadi sebahagian daripada struktur masyarakat di Malaysia sejak sekian lama.
“Ia akan memerlukan usaha yang banyak untuk memulihkan segala kerosakan yang telah berlaku sejak berdekad lalu,” kata profesor sains politik di Universiti Putra Malaysia itu kepada BenarNews.
"Bagaimanapun, kita perlu memulakan langkah pertama. Sudah lima dekad kita menyaksikan hubungan dan tindakan yang berasaskan kaum."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.