Ketua Pendakwa Raya kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi bersara awal, kata Peguam Negara
2023.08.08
Kuala Lumpur

Ketua pasukan pendakwaan dalam kes berprofil tinggi melibatkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah digantikan kerana beliau akan bersara awal, kata Peguam Negara Idrus Harun dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tindakan menggantikan Raja Rozela Raja Toran telah menimbulkan banyak persoalan tentang motif persaraan serta penggantian beliau ketika perbicaraan masih berjalan.
Pengkritik kerajaan sejak November, telah meluahkan kebimbangan tentang campur tangan kerajaan dalam kes Ahmad Zahid Hamidi setelah partinya bersetuju untuk berkerjasama dengan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan yang dipimpin Anwar Ibrahim sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Bagaimanapun Idrus berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dengan membuat pertimbangan yang teliti.
“Raja Rozela mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April, 2023. Pemohonan itu diluluskan dan akan berkuat kuasa pada 1 November, 2023.
“Beliau (juga) memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos ini,” kata Idrus.
Idrus berkata, memandangkan kes Ahmad Zahid masih berlangsung dan tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga Disember ini, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes pendakwaan.
Menurut Idrus, pengganti baharu ialah Mohd. Dusuki Mokhtar yang merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Pejabat Peguam Negara.
“Mohd. Dusuki yang mempunyai pengalaman hampir 30 tahun ketika ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Pejabat Peguam Negara yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi termasuk kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah,” kata kenyataan itu lagi.
“Keputusan ini dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid tidak terjejas selain memastikan Jabatan Peguam Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Raja Rozela ketika dihubungi oleh akhbar tempatan berkata bahawa beliau tidak dibenarkan untuk membuat sebarang komen.
“Saya adalah penjawat awam. Saya tidak dibenarkan untuk memberi komen. Minta maaf,” katanya seperti dilaporkan akhbar itu.
Ahmad Zahid, 70, pada tahun lalu diperintahkan untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Beliau yang juga presiden parti UMNO didakwa menggunakan lebih AS$30 juta dana Yayasan Akalbudi, yang ditubuhkannya, untuk perbelanjaan peribadi.
Menurut laporan media, Ahmad Zahid selesai mengemukakan keterangan bela diri pada 30 Ogos tahun lepas setelah 17 hari secara bersumpah menafikan segala dakwaan terhadapnya.
Perbicaraan kes Yayasan Akalbudi masih berjalan sehingga kini.
Penggantian tengah jalan
Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid Ali dalam satu kenyataan media mempersoalkan penggantian ketua pendakwa raya yang baharu itu.
Katanya, kedudukan Ahmad Zahid dalam kerajaan memungkinkan pelbagai spekulasi terhadap isu Raja Rozela.
“Perbicaraan (ini) di tahap pendakwaan selama 53 hari bermula 18 November 2019 sehingga 19 Mac 2021 membabitkan 99 saksi.
“Kayu ukur kejayaan pasukan pendakwaan sudah tentu apabila Ahmad Zahid dipanggil membela diri yakni segala elemen-elemen pertuduhan berjaya dibuktikan. Maka sekiranya begitu mengapa ketua pasukan pendakwaan digantikan?” soal beliau melalui laman Facebooknya.
Rafique yang juga seorang peguam, berkata kes itu kini di peringkat pembelaan dan Ahmad Zahid sendiri sudah memberikan keterangan.
“Namun fakta bahawa beliau kini berada dalam posisi sebagai timbalan perdana menteri dan presiden UMNO serta pengerusi Barisan Nasional yang menyumbang 30 ahli Parlimen sokongan kepada kedudukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri memungkinkan pelbagai spekulasi.”
“Pemulangan pasport antarabangsa Ahmad Zahid walaupun sedang menghadapi 47 pertuduhan sedangkan kes belum selesai berlainan dari kebiasaannya terhadap tertuduh-tertuduh lain juga menimbulkan rasa pelik pelbagai pihak,” kataya lagi.
Selain itu, pihak pembangkang turut mempersoalkan penggantian ketua pendakwa raya ketika peringkat kritikal kes tersebut, menjelang keputusan terhadap representasi Zahid kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kesnya.
“Kes jenayah melibatkan Zahid merupakan hal kepentingan awam kerana melibatkan seorang Timbalan Perdana Menteri yang sedang berkhidmat.
“Sebelum ini, belum pernah dalam sejarah kita terdapat seorang Timbalan Perdana Menteri menghadapi tuduhan rasuah” kata Timbalan ketua biro perlembagaan dan undang-undang parti Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif dalam satu kenyataan media.
Sasha berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus jalankan hasratnya untuk membenteras rasuah di Malaysia.
“Beliau (Anwar) perlu buat sepertimana yang diucapkan, jika tidak, ia hanya akan menjadi retorik kosong untuk memancing undi semata-mata. Kerajaannya haruslah terlebih dahulu memberikan penjelasan yang jujur mengenai perkembangan yang amat membimbangkan dalam kes rasuah Zahid,” tambahnya.
Menurut parti MUDA pula, tindakan Raja Rozela ketika pertengahan kes merupakan satu situasi yang aneh, dan menuntut penjelasan dari Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia.
“(Beliau) bukannya ahli biasa dalam pasukan pendakwaan, tetapi beliau adalah orang yang memimpin pendakwaan, bertanggungjawab untuk merancang strategi dan memahami sepenuhnya kompleksiti kes tersebut.
“Kami tidak dapat menerima justifikasi bahawa Perdana Menteri tidak campur tangan dalam kes mahkamah atau proses pendakwaan, kerana kerajaan sekarang ini masih mengikut sistem undang-undang terdahulu di mana Peguam Negara dilantik secara terus oleh Perdana Menteri,” kata parti itu dalam sebuah kenyataan media.
Ahmad Zahid, walaubagaimanapun, pada bulan lepas berkata beliau tidak pernah meminta Perdana Menteri untuk menarik pertuduhan rasuah yang sedang dihadapinya dan bersedia untuk berdepan dengan 47 pertuduhan itu.
"Saya tidak minta pertuduhan itu ditarik," katanya semasa berucap di program Jelajah Kerajaan Perpaduan Julai lalu.