Pusat Baru Guna Pendekatan Akademik Tangani Ideologi Keganasan

Hata Wahari
2017.03.21
Kuala Lumpur
170321-MY-counterterror-620.jpg Raja Arab Saudi, Salman bin Abdul Aziz al-Saud [kiri] berbual dengan Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein di Riyadh, 16 Feb, 2017.
[Bandar al-Jaloud/Saudi Royal Palace/AFP]

Sebuah pusat anti-keganasan yang disokong Arab Saudi akan ditubuhkan di Malaysia dalam menjalankan penyelidikan serta menangkis ideologi yang disebarkan oleh kumpulan ekstremis seperti Negara Islam (IS), kata para pegawai Malaysia kepada BeritaBenar.

Pada akhir lawatan ke Malaysia oleh Raja Arab Saudi awal bulan ini, kedua-dua negara-negara Islam itu telah mengumumkan satu perjanjian bersama untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman dengan berkata ia akan beroperasi dalam tempoh tiga bulan.

Pusat itu yang ditubuhkan menerusi kerjasama antara Pusat Intellectual Warfare, Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Pusat Keselamatan dan Pertahanan Kementerian Pertahanan Malaysia, Liga Islam Sedunia dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kata pegawai daripada kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama pada 1 Mac lepas.

"Penubuhan pusat ini melibatkan banyak perkara terutamanya ahli akademik dalam menyuarakan pandangan mereka mengenai bagaimana sesebuah negara boleh membendung ideologi militan, terutamanya IS (Negara Islam) sebagai kehadiran yang semakin meningkat di seluruh dunia, bukan sahaja di Asia Tenggara dan Timur Tengah, tetapi juga ideologi yang telah merebak di seluruh negara yang tidak mempunyai kumpulan pelampau Islam, " kata Asyraf Wajdi Dusuki, seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang berkhidmat sebagai pengerusi jawatankuasa pusat itu, kepada BeritaBenar.

"Ia mengambil kira bagaimana untuk menarik kumpulan militan untuk meninggalkan pandangan melampau mereka dan membincangkan perkara yang boleh mencapai keamanan dunia tanpa perlu mengangkat senjata," tambah  Asyraf Wajidi.

Pusat baru, yang kosnya masih belum ditentukan, adalah salah satu daripada tiga pusat memerangi keganasan yang berpangkalan di Malaysia, di mana pihak berkuasa telah memberi amaran mengenai ancaman keganasan daripada kumpulan Negara Islam (IS) yang merekrut belia tempatan.

Malaysia juga adalah tuan rumah kepada pusat mesej digital menangkis propaganda dalam talian yang di kawalselia oleh Polis Diraja Malaysia dan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan, beroperasi di bawah Kementerian Luar Negeri dengan bantuan daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Pusat baru Raja Salman itu akan ditempatkan di kampus universiti di Nilai, Negeri Sembilan iaitu kira-kira 45 km (28 batu) dari pusat bandar Kuala Lumpur, menurut Naib Canselor USIM Musa Ahmad.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat lihat peperangan, konflik dan pertempuran yang telah membawa kepada persekitaran yang tidak stabil dan huru-hara di negara-negara Islam. USIM ingin menjadi di kalangan mereka yang berada di barisan hadapan dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian di seluruh dunia dan untuk menegakkan nama suci Islam dan ummah, " kata Musa kepada BeritaBenar.

Mesyuarat Negara Islam

Misi masa depan pusat berkenaan adalah untuk memerangi keganasan global, dan cabaran itu perlulah ditangani segera kerana kumpulan IS giat menubuhkan kubu yang teguh di Filipina, kata Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein.

"Kehadiran kumpulan militan yang berpangkalan di selatan Filipina mesti dibendung dan penubuhan [Pusat Raja Salman] akan membantu membendung kumpulan militan itu daripada merekrut rakyat Malaysia dan rakyat dari negara-negara Asia Tenggara sebagai anggota IS," Hishammuddin memberitahu BeritaBenar.

Memerangi keganasan tidak harus terhad kepada penguatkuasaan undang-undang dan operasi ketenteraan, dan kerajaan perlu menggunakan penyelidikan akademik yang luas sebagai alat dalam memerangi dan melawani keganasan, katanya.

"Untuk kali pertama dalam sejarah, lima negara Islam ... telah bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang pertahanan dan inisiatif memerangi keganasan, terutamanya dalam  menggalakkan Islam sebagai agama yang benar manakala menghapuskan persepsi negatif terhadap Islam," kata Asyraf Wajdi.

Beliau merujuk kepada Indonesia, Turki, Pakistan dan Qatar, yang wakilnya bertemu pada Selasa dengan Hishammuddin di luar acara Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi yang sedang berlangsung di Kedah.

"Insya-Allah, semua negara-negara ini akan mengambil bahagian dalam Pusat Keamanan Antarabangsa Putera Salman."

Penganalisis punya keraguan

Walaubagaimanapun, usaha pusat itu hanya akan berhasil jika konsepnya diamalkan di negara-negara Asia Tenggara yang lain, kata Azmi Hassan, seorang pakar geo-politik di Universiti Teknologi Malaysia.

"Lihatlah propaganda IS. Ia mempunyai naratif yang mudah tetapi amat berkesan, mengambil kesempatan daripada umat Islam yang miskin di Mindanao yang telah diketepikan oleh Manila, " katanya kepada BeritaBenar.

"Itulah sebabnya amat penting bagi pusat itu bekerjasama dengan organisasi tempatan dan serantau yang memahami nasib rakyat yang telah dipengaruhi."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.