Malaysia: RM12 Juta Tidak Dibayar Sebagai Wang Tebusan

Haireez Azeem Azizi
2016.06.16
Kuala Lumpur
160616-my-ransom-folo-620 Wartawan mengelilingi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbar selepas rombakan kabinet di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, 28 Julai 2015.
AFP

Kemaskini pada 4.30 petang, ET - 2016-06-16

Malaysia mengaku membayar RM12 juta [AS$2.94] kepada organisasi tertentu di Filipina tetapi menyangkal dakwaan membayar wang tebusan kepada kumpulan militan Abu Sayyaf, menurut akhbar tempatan The Star pada Khamis.

Timbalan Perdana Menteri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak memperdulikan tuntutan bayaran wang tebusan maka tiada sebarang pembayaran dibuat untuk membebaskan empat anak kapal dari Sarawak yang diculik kumpulan itu sejak 1 April lalu.

"Saya boleh mengesahkan bahawa RM12 juta itu diserahkan kepada Cawangan Khas yang diberikan dalam satu bentuk sumbangan kepada organisasi tertentu di Filipina," katanya seperti dilaporkan akhbar The Star pada Khamis.

Ahmad Zahid bagaimanapun, enggan mendedahkan identiti kumpulan yang mendapat sumbangan berkenaan dengan tetap bertegas bahawa wang berkenaan tidak diserahkan kepada kumpulan pengganas.

Pada Rabu, keluarga keempat-empat rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf mendakwa sejumlah RM12 juta telah diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk pembayaran wang tebusan.

Empat rakyat Malaysia - Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, telah diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf di perairan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah, pada 1 April. Mereka kemudiannya dibebaskan pada 7 Jun lalu.

Menurut seorang jurucakap keluarga mangsa, Lau Cheng Kiong, yang juga bapa saudara kepada seorang tebusan, Johnny Lau Jung Hien, wang tebusan sejumlah itu telah diserahkan kepada pasukan polis Cawangan Khas di Sandakan, Sabah pada Mei 24 lepas.

Katanya, RM9 juta merupakan sumbangan orang ramai dari dalam dan luar negara, RM1 juta dari gadai janji dua kediaman keluarga dan baki RM2 juta daripada sumbangan syarikat perkapalan.

Keluarga kesemua tebusan dihimpit pelbagai persoalan mengenai ke mana wang derma itu selepas berita yang menyatakan tiada bayaran wang tebusan dibuat.

Akhbar tempatan Utusan Malaysia pada Rabu melaporkan, Ahmad Zahid menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa Malaysia membayar wang tebusan bagi pembebasan keempat-empat mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf.

"Tiada rundingan berkaitan pembayaran dipersetujui di antara pihak polis kedua-dua negara dengan penculik. Jika ada tuduhan bayaran tertentu telah dibuat untuk membebaskan kesemua tebusan, ia bukan dalam bidang pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mewakili kerajaan Malaysia," katanya.

‘Pengesahan penculikan terbaru’

Dalam pada masa itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, laporan kononnya empat lagi rakyat Malaysia menjadi mangsa penculikan terbaru oleh kumpulan pengganas di selatan Filipina hari ini [Khamis] hanya khabar angin.

Katanya, pihak berkuasa Filipina juga tidak menerima maklumat berhubung kejadian culik seperti yang dilaporkan media negara itu.

"Ia hanyalah khabar angin sahaja dan polis juga tidak menerima apa-apa maklumat berhubung laporan itu buat masa ini," katanya seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia [Bernama] lewat Khamis malam.

Terdahulu itu, Khalid melalui laman sosial facebook dan twitternya memuat naik status yang berkata, “Berita empat warga Malaysia diculik di perairan Sulu hari ini [Khamis], setakat ini tidak dapat disahkan. PDRM sedang tunggu pengesahan dari Filipina.”

Media Filipina pada Khamis melaporkan pihak berkuasa negara itu sedang menyiasat laporan penculikan terbaru membabitkan empat rakyat Malaysia di perairan Sabah yang telah dibawa ke Sulu pada Khamis pagi.

Menurut laporan ABC-CBN News, Ketua Polis Tawi-Tawi, Joselito Salido dilaporkan sebagai berkata satu kumpulan suspek yang tidak dikenali didakwa membawa tawanan ke pantai Sitankai, Tawi-Tawi, yang terletak berhampiran Kunak dan Semporna, sebelum memindahkan mereka ke Sulu.

Polis Kebangsaan Filipina (PNP) telah mengesahkan penculikan lebih ramai rakyat Malaysia, menurut laporan itu.

Stesen radio itu turut menyatakan bahawa Tentera Filipina Di Barat Mindanao sedang mendapatkan pengesahan berhubung maklumat berkenaan namun tiada butiran lanjut diperolehi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.