Malaysia Batal Lesen Pengendali dan Perkhidmatan Udara Rayani Air
2016.06.13
Kuala Lumpur

Malaysia pada Isnin membatalkan Sijil Pengendalian Udara dan Sijil Perkhidmatan Udara Rayani Air, syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara, selepas didapati melanggar syarat perkhidmatan udara serta tidak mempunyai keupayaan kewangan, kata pihak berkuasa penerbangan.
Pembatalan kedua-dua sijil berkenaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu, berkuatkuasa hari ini [Isnin], dengan makluman mengenai perkara berkenaan dikeluarkan melalui kenyataan media secara berasingan oleh kedua-dua badan pengawalselia penerbangan di Malaysia.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dalam kenyataannya berkata, suruhanjaya itu membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air kerana syarikat itu melanggar pelbagai syarat yang telah ditetapkan ke atas ASL, selain didapati tidak mempunyai kedudukan kewangan yang stabil untuk meneruskan operasinya.
“Rayani Air tidak lagi dibenarkan untuk beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial berkuatkuasa pada hari ini [Isini],” kata kenyataan itu.
Rayani Air yang baru enam bulan beroperasi telah berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga memaksanya mengumumkan pemberhentian operasi sementara pada April 9 lalu, apabila juruterbangnya melancarkan mogok berpunca daripada tiada pembayaran gaji dibuat oleh syarikat yang mempunyai kira-kira 416 orang pekerja.
Dua hari selepas itu DCA menggantung Sijil Pengendalian Udara (AOC) Rayani Air selama tiga bulan.
Pada Isnin juga menyaksikan Jabatan Penerbangan Awam membatalkan AOC Rayani Air dan meminta syarikat berkenaan memulangkan sijil berkenaan dalam tempoh 14 hari mulai tarikh notis pembatalan dikeluarkan.
Pengarahnya Azharuddin Abdul Rahman dalam kenyataan media berkata, pembatalan sijil berkenaan diambil selepas satu siasatan menyeluruh dibuat terhadap audit pentadbiran dan keselamatan syarikat penerbangan itu.
Katanya, Jabatan itu mengambil keputusan untuk membatalkan AOC bernombor 54 Rayani Air selepas menerima jawapan daripada syarikat penerbangan berkenaan terhadap satu penyiasatan yang dikaji dengan diteliti.
Terdahulu itu, Rayani Air telah diberi peluang untuk mengemukakan presentasi terhadap satu siasatan pada 12 Mei dan 25 Mei lepas oleh kedua-dua badan pengawalselian penerbangan itu, sejajar dengan Peraturan 193 Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.
DCA adalah pengeluar AOC di Malaysia, dan sijilnya diiktiraf di peringkat antarabangsa. AOC juga bertindak memberi pengesahan tentang aspek teknikal dan keselamatan dalam operasi sesebuah syarikat penerbangan.
Manakala Suruhanjaya Penerbangan Malaysia bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berkaitan dengan pelesenan syarikat penerbangan, caj lapangan terbang, peruntukan laluan udara, penyelesaian pertikaian di antara penyedia perkhidmatan penerbangan dan perlindungan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik Rayani Air, Ravi Alegandrran ketika dihubungi BeritaBenar berkata, syarikat itu akan membuat rayuan terhadap keputusan Suruhanjaya dan Jabatan Penerbangan itu, supaya diberi peluang kedua bagi kehadiran pelabur baru dalam usaha memulihkan serta menguruskan syarikat penerbangan itu.
"Pembatalan ini, terjadi dikala puncak rundingan kami dengan pelabur untuk pengambil alihan ekuiti dalam Rayani Air kerana pengurusan sedia ada, tidak lagi layak untuk memulihkan syarikat penerbangan itu.
"Pasukan pengurusan yang berkelayakan serta kuat daripada pelabur baru akan bertindak untuk memulihkan serta menguruskan syarikat penerbangan dengan lebih baik,” kata Ravi kepada BeritaBenar.
Beliau berkata kebangkitan semula Rayani Air adalah penting dalam menyelesaikan kesan dari masalah kewangannya seperti gaji pekerja, bayaran balik tiket dan lain-lain liabiliti.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dalam kenyataan yang sama mahu Rayani Air bertanggungjawab memulangkan nilai tiket kepada pengguna perkhidmatan mereka yang tidak dapat meneruskan perjalanan akibat penarikan lesen tersebut.
"Sekiranya pengguna gagal mendapat pulangan wang, mereka boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat penerbangan berkenaan,” kata kenyataan itu sambil menambah aduan rasmi juga boleh dibuat kepada badan itu.
Empat bulan tanpa gaji
Seorang bekas pekerja Rayani Air yang mahu identitinya dirahsiakan memaklumkan bahawa mereka sudah empat bulan tidak dibayar gaji sehingga menyebabkan ramai pekerjanya hidup dalam keadaan susah.
“Ada yang kereta ditarik, dihalau dari rumah sewa dan ada yang diantara mereka terpaksa menghentikan persekolahan anak disebabkan krisis kewangan,” katanya ketika dihubungi Berita Benar.
Manakala seorang pelanggan Rayani Air yang hanya mahu dikenali sebagai Nasri berkata, beliau yang membeli tiket penerbangan dari syarikat itu beberapa bulan lepas, masih lagi belum mendapat pulangan semula wangnya seperti yang dijanjikan oleh Rayani Air.
“Saya mahukan ‘refund’ berjumlah RM560 [AS$138] dan sudah membuat laporan pemulangan wang di Pejabat Rayani Air di Shah Alam. Segala maklumat penumpang serta penerbangan dan nombor akaun bank telah diisi dalam borang tetapi sehingga sekarang masih tiada pemulangan diberikan walaupun dijanjikan tempoh pemulangan dalam masa 30 hari, “ katanya kepada Berita Benar.
Sementara itu, di laman sosial Facebook Rayani Air, kelihatan ramai pengguna tidak berpuas hati dan menyuarakan kemarahan mereka dengan mengatakan wang mereka masih belum dipulangkan.
Bagaimanapun Ravi mendakwa pemulangan wang sudah dibuat sambil menamba, "Kami sudah memulangkan wang kepada pengguna. Mengapa mereka masih mengatakan Rayani Air tidak membayar mereka? Jika mereka masih mengatakan Rayani Air tidak memulangkan wang mereka, bererti mereka hanya ingin membuat kacau sahaja di laman Facebook kami,”
Silap pengasas
Sementara itu, Pengurus Stesen Rayani Air di KLIA2 Zulkalnain Azdan seperti laporan media tempatan berkata, pembatalan kedua-dua sijil/lesen syarikat penerbangan itu adalah kesilapan Ravi dan isterinya Kartiyani Govindan yang mahu menjual syarikat berkenaan kepada pelabur dengan harga mahal.
“Mereka tidak mahu dengar cakap kakitangan…., dan hendak jual syarikat dengan harga mahal, jadi pelabur tidak mahu.
“Pelabur baru tahu Rayani Air tidak punyai asset. Ravi dengan isteri dia kena jual syarikat dia dengan nilai yang sangat rendah, biar pelabur ambil alih dan mereka keluar daripada syarikat,” katanya seperti dilaporan media tempatan.
Syarikat penerbangan itu telah dilancarkan pada Disember 2015, dengan dua buah pesawat Boeing 737-400s dan perkhidmatannya mematuhi undang-undang Islam, krew penerbangan Muslim memakai hijab manakala anak kapal bukan Islam dilarang daripada memakai pakaian mendedahkan di atas kapal terbang syarikat penerbangan itu. Minuman alkohol dilarang dan makanan yang dihidangkan dalam penerbangan adalah halal.