Red Granite Picture Bayar AS$60 juta Selesaikan Kes Berkait 1MDB

N. Natha
2018.03.07
Kuala Lumpur
180307-my-redgranite-1000.jpg Pengeluar filem "The Wolf of Wall Street" Joey McFarland bersama rakan kongsinya Riza Aziz yang juga anak tiri Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak bersama pelakon Amerika Syarikat, Leonardo DiCaprio, Jonah Hill dan pelakon Australia Margot Robbie pada sambutan karpet merah semasa kesemua mereka tiba untuk menghadiri tayangan perdana filem itu di Kota London, United Kingdom, 9 Januari 2014.
[AFP]

Red Granite Picture, syarikat pengeluar filem Hollywood “The Wolf of Wall Street”, telah bersetuju membayar AS $60 juta (RM234 juta) kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai perjanjian untuk penyelesaian susulan yang berkait dengan penggunaan sebahagian dana yang diseleweng dari syarikat pelaburan kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad(1MDB).

Dalam persetujuan bersama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang difailkan pada Selasa lalu, Red Granite bersetuju membuat pembayaran di dalam tiga peringkat.

Bayaran tersebut merupakan pertukaran bagi aset Red Granite yang ingin dirampas oleh Jabatan Keadilan (DoJ) AS, melalui saman pelucutan sivil yang melibatkan 1MDB.

Bayaran pertama berjumlah AS$30 juta (RM116 juta) yang perlu dibayar dalam tempoh 30 hari, AS$20 juta (RM78 juta) dalam tempoh 6 bulan, dan seterusnya baki AS$10 juta (RM39 juta) yang perlu dilunaskan dalam tempoh 6 bulan selepas itu.

Dalam persetujuan tersebut, Red Granite Pictures, yang dimiliki bersama oleh Joey McFarland dan Riza Aziz, anak tiri kepada Perdana Menteri Najib Razak, tidak mengakui sebarang salah laku dalam skandal 1MDB.

Pihak pendakwaraya AS mendakwa lebih dari AS$100 juta (RM390 juta) yang diselewengkan dari 1MDB telah digunakan untuk membiayai penerbitan tiga filem dibawah syarikat Red Granite - “The Wolf of Wall Street,” “Dumb and Dumber Two” dan “ Daddy’s Home”.

Red Granite dalam kenyataan mereka kepada media menyatakan kelegaan bahawa kes itu telah selesai seperti yang dilaporkan oleh portal Variety.

Jabatan Kehakiman AS telah memfailkan saman sivil bagi melucut hak harta milik Red Granite pada July 2016 sebagai salah satu langkah jabatan tersebut untuk mendapatkan semula lebih AS$1 billion (RM3.89 billion) yang telah diseleweng dari syarikat pelaburan kerajaan Malaysia 1MDB.

Dalam perjanjian bersama dengan Jabatan Kehakiman AS, keuntungan hasil filem “Daddy’s Home” akan disalurkan ke dalam akaun milik kerajaan. Sejumlah AS$ 3 juta (RM11 juta) akan dilepaskan kepada Red Granite untuk menampung kos pengurusan syarikat selepas ia membayar ansuran pertama. Jumlah keseluruhan keuntungan akan dilepaskan apabila Red Granite membayar ansuran terakhir pada Kerajaan AS.

Dalam terma yang ditetapkan, Riza Aziz tidak akan menerima sebarang gaji daripada syarikat perfileman tersebut sehingga penyelesaian penuh dilakukan.

Kerajaan AS sehingga kini telah merampas semula tiga lukisan dari pelakon terkenal Hollywood Leonardo DiCaprio yang dihadiahkan oleh ahli perniagaan Malaysia yang terkait dengan skandal 1MDB iaitu Jho Taek Low.  DiCaprio turut bersetuju untuk memulangkan patung Oscar yang telah dianugerahkan kepada Marlon Brando yang diberikan oleh Red Granite kepada beliau sebagai hadiah.

Turut dirampas baru-baru ini adalah kapal mewah Equanimity dikatakan milik Jho Low yang dijumpai di kepulauan Bali minggu lepas. Pihak FBI kini berada di Bali untuk mengumpul maklumat bagi membantu siasatan Jabatan Kehakiman AS dalam kes sivil 1MDB.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan beliau pada Rabu berkata polis Malaysia tidak dihubungi oleh pihak FBI ataupun pihak berkuasa Indonesia dalam kes rampasan kapal mewah tersebut.

Beliau turut mengulas mengenai perkembangan siasatan polis terhadap syarikat 1MDB susulan dari laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang masih berjalan.

Siasatan sehingga hari ini, Mohamad Fuzi berkata, menunjukkan Jho Low tidak pernah bekerja di syarikat 1MDB dan segala urusan perniagaan melibatkan firma tersebut dilakukan oleh pihak pengurusan dan juga lembaga pengarah.

“Sehingga setakat ini berdasarkan kenyataan dan bukti yang diperolehi menunjukkan tiada kenyataan yang kukuh yang boleh mengaitkan Jho Low dengan keputusan dan urusan perniagaan yang dibuat oleh 1MDB,” kata Mohamad Fuzi.

Beliau berkata tindakan yang sewajarnya akan diambil jika terdapat bukti baru berkait Jho Low dan menambah siasatan polis keatas kes 1MDB masih dilajankan.

Dana negara Malaysia itu telah dikaitkan dengan tuduhan rasuah membabitkan Najib yang mengasaskan 1MDB tetapi beliau telah menafikan sebarang salah laku.

Menurut dokumen penghakiman yang diperolehi oleh BeritaBenar, DOJ menuduh Jho Low melakukan pengubahan wang haram berjumlah lebih daripada AS$400 juta yang dicuri dari 1MDB menerusi pengambilalihan hartanah di California, New York dan London, sebuah pesawat jet yang dibeli dengan harga AS$35 juta dan kapal layar tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada media Malaysia pada Februari 28, seorang jurucakap Jho Low merungut tentang mengapa rampasan itu dibuat sedangkan pegawai-pegawai kehakiman AS "masih tidak mengambil sebarang langkah untuk membuktikan bahawa tiada ketidakpatuhan berlaku."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.