Hakim Tolak Saranan JKM Hantar Remaja Ke Sekolah Henry Gurney
2016.05.27
Kuala Lumpur

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menolak saranan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) menghantar seorang remaja berusia 17 tahun ke Sekolah Henry Gurney; sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun atas pertuduhan merancang perbuatan keganasan di negara itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Nordin Hassan yang menjatuhkan hukuman berkenaan berkata, kesalahan yang dilakukan oleh remaja itu amat serius kerana melibatkan keselamatan masyarakat dan memberi impak yang amat tinggi kepada negara.
“Saya memutuskan hukuman terhadap kanak-kanak [remaja] ini berdasarkan undang-undang secara keseluruhannya. Bagaimanapun, cadangan daripada pihak JKM untuk menghantar remaja tersebut ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun tidak wajar.
Katanya, mahkamah perlu menetapkan hukuman yang wajar dengan kesalahan yang dilakukan oleh remaja berkenaan agar dapat memberi pengajaran kepadanya dan masyarakat.
Remaja terbabit semasa ditahan berusia 16 tahun enam bulan, bersama lima lelaki lain didapati memiliki bahan kimia dan peralatan untuk membuat bahan api dan mahu menguji bahan letupan itu di sebuah kawasan terpencil di Gunung Nuang, Hulu Langkat, Selangor pada 25 April 2015.
Kesemua mereka didapati terlibat dalam konspirasi untuk menyerang bangunan kerajaan, kelab malam, pusat pelacuran dan premis hiburan di ibu negara Malaysia.
Dalam penghakimannya, Nordin berkata mahkamah berpuas hati dengan laporan akhlak yang disediakan oleh JKM, mitigasi pihak pembelaan yang mahukan hukuam diringankan, dan hujahan pendakwaan terhadap remaja itu yang akan menyertai eksperimen untuk menguji bahan letupan di Gunung Nuang.
"Mahkamah berpendapat, perkara ini perlu dibendung kerana kita sentiasa berada dalam situasi gangguan dan serangan ideologi yang dibawa oleh pihak-pihak radikal tanpa mengikut lunas undang-undang," kata Nordin sambil menambah mahkamah bukan sahaja mengambil kira kepentingan remaja, bahkan kepentingan awam sebelum hukuman dijatuhkan.
Nordin kemudiannya memerintah remaja berkenaan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap, pada 25 April tahun lepas.
Hakim itu juga berkata, hukuman penjara mengikut Seksyen 91(1)(h) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membenarkan seseorang kanak-kanak dikenakan hukuman penjara adalah sesuai dengan syarat mematuhi Seksyen 96(2) akta sama iaitu remaja terbabit perlu diasingkan atau dipisahkan daripada pesalah dewasa.
Remaja itu tidak boleh dinamakan kerana berada dibawah umur 18 tahun.
‘Peguam: masa depan’
Peguam yang mewakili remaja berkenaan, Nik Zarith Nik Moustpha seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, saranan JKM menghantar remaja itu ke Sekolah Henry Gurney sangat bersesuaian kerana anak ketujuh daripada 10 beradik itu mempunyai masa depan yang lebih cerah memandangkan pernah mendapat keputusan A dalam peperiksaannya.
"Anak guam saya masih muda, di sekolah tersebut beliau boleh mempelajari ilmu kemahiran dan mendapatkan sijil kemahiran yang boleh digunakan selepas tamat tempoh tahanan," kata Nik Zarith sambil menambah yang anak guamannya itu akan menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Sejak tahun 2013, polis Malaysia telah menahan 193 orang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) dengan 55 daripadanya telah didakwa, mengikut statistik PDRM.
Seramai 73 warga Malaysia dipercayai berada di Syria atau Iraq untuk menyertai kumpulan itu dengan sekurang-kurangnya 19 daripada mereka telah meninggal dunia, kata pegawai