KSU Direman Tujuh Hari Berhubung Rasuah

Anis Natasha
2017.01.05
Kuala Lumpur
170105-my-graft-court620.jpg Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa keluar Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian bergelar Datuk selepas mendapatkan perintah reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan menerima rasuah di Mahkamah Majistret Putrajaya, 5 Januari, 2017.
[Ihsan SPRM]

Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis telah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan seorang ketua setiausaha [KSU] sebuah kementerian selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berhubung penyalahgunaan kuasa, jawatan dan kedudukan untuk menerima rasuah.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan agensi pencegahan rasuah itu menahan lelaki berusia 59 tahun yang bergelar ‘Datuk’ bersama dua anak lelakinya yang berusia 29 dan 34 tahun sehingga 11 Jan ini.

Kesemua mereka sedang disiasat dibawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan jawatan/kedudukan untuk menerima rasuah; dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menerima barang berharga dengan tiada balasan daripada seseorang yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya; serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Akhbar The Star pada Rabu telah menamakan KSU berkenaan sebagai Mohd Arif Ab Rahman dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) selepas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki Azam mengesahkannya kepada akhbar berkenaan.

KSU itu dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengannya.

Penahanan , merupakan tangkapan berprofil tinggi pertama bagi tahun 2017, setelah  SPRM berjaya melakukan beberapa siri tangkapan besar melibatkan pegawai tinggi kerajaan dan berjaya merampas hasil suapan dan rasuah bernilai ratusan juta ringgit sepanjang tahun lepas.

Temui banyak lagi

SPRM turut merampas jongkong emas dan wang tunai berjumlah RM2.6 juta selepas beberapa jam Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan perintah tahanan reman itu

Menurut sumber agensi itu, rampasan pada Khamis dibuat selepas agensi berkenaan membuka peti simpanan emas di sebuah bank dan merampas emas seberat 8 kilogram [18 pound] yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

“SPRM turut membuka beberapa peti simpanan bank di bank lain dan merampas wang tunai hampir RM1juta iaitu termasuk AUD80, 000, dengan nilai rampasan keseluruhan sejak Rabu meningkat kepada RM5.6 juta termasuk jongkong emas,” kata sumber SPRM.

Pada Rabu, SPRM telah merampas jongkong emas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM3 juta ketika menahan KSU di rumahnya di Subang Jaya, Selangor.

Azam turut mengesahkan mengenai hasil dan nilai rampasan tersebut dan berkata sebuah MPV Toyota Estima milik anak suspek turut disita.

Menurut sumber SPRM itu lagi, SPRM sedang membuat pengesahan mengenai kedudukan serta nilai lebih 10 bidang lot tanah atas nama ahli keluarga tertuduh di sekitar Lembah Klang, selain  meminta kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memeriksa pembayaran cukai sejak 2010.

Azam turut berkata, tiada tangkapan terbaru tetapi beliau tidak menolak kemungkinan bahawa lebih ramai akan dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kes berkenaan.

Sementara itu, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, KKLW memberi jaminan untuk bekerjasama dengan SPRM bagi menjalankan siasatan sewajarnya terhadap ketua setiausaha kementerian itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Menterinya Ismail Sabri Yaakob berkata KKLW akan terus menyokong usaha SPRM dalam membanteras rasuah serta penyelewangan.

SPRM telah menyiasat dan mendakwa beberapa kes berprofil tinggi melibatkan pegawai tinggi kerajaan, pemimpin negeri di Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Kelantan termasuk kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dibicarakan di mahkamah sebelum ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.