Kesederhanaan Senjata Tangani Keganasan, Negara-negara Asia Tenggara Sokong Resolusi PBB
2017.12.14
Washington DC

Diplomat-diplomat Asia Tenggara membangkitkan tentang penghijrahan beramai-ramai Rohingya dan pertempuran di selatan Filipina baru-baru ini semasa mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima resolusi yang dibentangkan oleh Malaysia dalam memerangi ekstremisme menerusi pendekatan dialog kesederhanaan dan aman.
Pegawai berkata, sebanyak 135 negara telah menerima resolusi "kesederhanaan" itu, tetapi Amerika Syarikat dan Israel adalah negara yang mengundi menentangnya minggu lalu pada Perhimpunan Agung PBB di New York. Tiada negara yang berkecuali.
Resolusi itu, yang dikemukakan oleh wakil tetap Malaysia di PBB, Mohd Shahrul Ikram Yaakob, untuk diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB, menggalakkan dialog dan toleransi dunia dalam usaha memerangi ekstremisme ganas di seluruh dunia.
Ia menyeru negara-negara anggota PBB "untuk menyokong inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global sebagai platform bersama untuk memperkuatkan suara kesederhanaan terhadap ekstremisme ganas apabila ia berkaitan dengan keganasan."
PBB berkata, Washington telah mengundi "tidak" kerana resolusi itu "gagal membezakan" antara perkataan "ekstremisme" dan "ekstremisme ganas."
"Walaupun Amerika Syarikat secara sejagatnya menolak perkataan yang akhir itu, (ia) menyuarakan kebimbangan bahawa negara atau individu mungkin menggunakan bahasa resolusi itu untuk mengurangkan kebebasan bersuara atau beragama," kata PBB dalam satu kenyataan, yang tidak memberi penjelasan mengenai undi Israel.
Di Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak menyambut baik penerimaan resolusi itu sebagai langkah untuk menghentikan radikalisme daripada berleluasa di negaranya yang mempunyai 32 juta penduduk dengan majoritinya adalah umat Islam.
"Satu lagi kejayaan bersejarah untuk #Negaraku," kata Najib dalam catatan Twitter beliau minggu ini, yang merujuk kepada Negaraku, lagu kebangsaan Malaysia.
Najib dengan tegas menganjurkan apa yang dipanggil sebagai "wasatiyyah," atau kesederhanaan, di negara pelbagai kaum itu yang menyokong kepelbagaian agama.
Bulan lalu, ketika melancarkan laman web dan dua penerbitan yang dimiliki oleh Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global di Putrajaya, yang terletak di selatan Kuala Lumpur, Najib berkata, bahawa kesederhanaan menolak semua bentuk kejahatan seperti ekstremisme.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan beliau telah memberi amaran tentang ancaman domestik daripada militan, terutamanya daripada kumpulan ekstremis ganas yang dikenali sebagai Negara Islam (IS).
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menangkap sekurang-kurangnya 349 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS dan kumpulan militan yang lain. Negara itu menyatakan bahawa ia telah menggagalkan sembilan plot keganasan yang berkaitan IS, tetapi IS pula mendakwa bahawa ia bertanggungjawab bagi serangan bom tangan yang mencederakan lapan orang di kelab malam berhampiran Kuala Lumpur tahun lalu.
"Kita tidak perlu melihat jauh untuk merealisasikan langkah penting untuk mengamalkan kesederhanaan," kata Najib.
"Apabila kita melihat apa yang berlaku di Marawi City baru-baru ini, kita melihat akibat yang membawa maut daripada ekstremisme."
Marawi
Pada akhir Oktober, tentera Filipina mengisytiharkan berakhirnya pertempuran selama lima bulan dengan kumpulan pro-IS yang telah merampas sebahagian daripada bandar selatan, selepas mengebom teruk Marawi. Pertempuran itu mengorbankan lebih 1,200 orang, meranapkan bandar yang indah dengan pemandangan serta mengusir 200,000 penduduknya. Lebih 970 anggota militan juga terbunuh, kata tentera.
Teodoro Locsin, Jr., Duta Filipina PBB, memberitahu rakan-rakan diplomatnya bahawa resolusi "kesederhanaan" itu mencerminkan peta tindakan Manila bagi mencapai keamanan dengan pemberontak Islam di selatan.
Beliau berkata, sebuah "karavan keamanan" sedang membawa para pemimpin agama dalam sebuah bas yang mengunjungi ke seluruh pelusuk negara bagi membolehkan para pegawai menghimpunkan pendapat dan pandangan untuk membuka laluan kepada dialog dan keamanan.
Karavan itu, yang meninggalkan Filipina utara pada akhir September, bakal menamatkan perjalanannya di Bandar Iligan, kira-kira 38 km (24 batu) dari Marawi.
"Dalam konflik yang sudah disalah anggap sebagai mempunyai kaitan agama, adalah penting bagi semua agama untuk memperjelas tentang apa itu agama dan apa itu impian berdarah, apa itu doa dan apa yang dianggap sebagai ketakwaan," kata Locsin.
Diplomat sokong resolusi
Semasa resolusi itu diterima PBB pada 8 Dis, duta besar Brunei di PBB, Siti Arnyfariza Md Jaini, berkata "ancaman pengganas dan keganasan yang semakin berleluasa di seluruh dunia adalah satu peringatan yang mengerikan tentang perlunya usaha berterusan untuk memerangi fenomena tersebut."
"Kita tidak boleh membiarkan benih-benih tidak bertoleransi, kebencian dan ekstremisme terus berakar umbi," katanya.
Wakil Indonesia di PBB, Dian Triansyah Djani, berkata, bahawa langkah-langkah ketenteraan sahaja tidak mencukupi untuk memerangi atau menghapuskan ekstremisme ganas.
Adalah penting untuk memupuk keamanan dan kestabilan, tegasnya sambil memberitahu tentang pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Indonesia, termasuk dialog antara agama.
Indonesia, negara yang mempunyai majoriti umat Islam terbesar di dunia dengan seramai 262 juta orang, juga berusaha menangani ancaman kumpulan militan seperti IS. Negara itu berusaha memutuskan kaitan ekstremisme dengan kemiskinan menerusi langkah mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan ketidaksamaan, kata duta Indonesia itu.
Duta Myanmar di PBB, Hau Do Suan, pula membangkitkan tentang serangan terhadap pasukan keselamatan oleh kumpulan militan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) di negeri Rakhine, yang menyaksikan penghijrahan beramai-ramai Muslim Rohingya ke Bangladesh tahun ini.
Beliau menolak ekstremisme dengan menyifatkannya sebagai berbahaya kepada masyarakat yang pelbagai dan bertoleransi.
Dianggarkan seramai 655,000 Rohingya telah melarikan diri dari negara Rakhine di Myanmar dengan menyeberang masuk ke Bangladesh semasa tindakan keras ketenteraan negara itu bermula selepas serangan maut di pos-pos polis oleh militan Muslim pada 25 Ogos.
PBB, Amerika Syarikat dan kumpulan-kumpulan hak asasi telah menuduh tentera Myanmar melakukan kekejaman terhadap Muslim Rohingya dalam apa yang digambarkan para pegawai sebagai "pembersihan etnik." Para pegawai Myanmar menafikan tuduhan tersebut.
Menuju 'komuniti dunia yang lebih harmoni'
Wakil tetap Malaysia ke PBB, Mohd Shahrul Ikram, berkata, Malaysia telah membentangkan resolusi untuk mendesak PBB mengisytiharkan 2019 sebagai Tahun Kesederhanaan Antarabangsa.
"Rintangan yang menghalang budaya aman daripada berakar umbi adalah banyak, tetapi ia bukanlah tidak boleh diatasi dan kesederhanaan dilihat sebagai asas hubungan antarabangsa dalam dunia global di mana keamanan tetap sukar difahami," katanya kepada BeritaBenar.
Isu-isu berkaitan kepercayaan yang membatasi sikap bertoleransi telah membangkitkan kontroversi di Malaysia baru-baru ini.
Pada September lalu, pemilik kedai dobi "untuk Islam sahaja’’ di negeri Johor, Malaysia telah menarik balik dasarnya untuk tidak membenarkan penganut agama lain menggunakan perkhidmatannya apabila Sultan negeri itu mengarahkannya untuk memohon maaf dan mengamalkan inklusiviti.
Sebuah papan tanda di hadapan kedai lelaki itu tertera "mesra Islam."
"Kedai dobi ini hanya menerima pelanggan-pelanggan Islam sahaja berikutan isu kesucian. Sebarang kesulitan adalah amat dikesali. Sila tinggalkan kasut anda di luar sebelum masuk, "kata papan tanda itu.
Pada September lalu, polis Malaysia telah membatalkan satu festival bir berikutan bantahan daripada para pemimpin Islam, yang mendakwa acara itu akan menggalakkan kegiatan tidak bermoral dan membawa kepada perbuatan jenayah.
Nasharudin Mat Isa, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), kumpulan Malaysia yang melobi kerajaan supaya membentangkan resolusi kesederhanaan di PBB, berkata, penerimaan resolusi itu telah menjayakan matlamat asas yayasan itu untuk memupuk keamanan di seluruh dunia.
"Mesej kesederhanaan yang diperjuangkan Malaysia boleh menjadi jawapan dan naratif balas terhadap perkembangan ekstremisme ganas dan keganasan, yang dapat membantu ke arah mewujudkan kelompok masyarakat dunia yang lebih harmoni,” katanya dalam satu temu bual dengan BeritaBenar bulan lalu.