Indonesia, Malaysia Teruskan Perbincangan Rondaan Laut Bersama

Hata Wahari & Tia Asmara
2016.11.07
Kuala Lumpur & Jakarta
161107_ID-MY_Kidnap_1000.jpg Menteri Luar Malaysia Anifah Aman (kanan) bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Indonesia Retno Marsudi di Kuala Lumpur, 7 November, 2016.
Ihsan Kementerian Luar Negeri Indonesia]

Susulan kes penculikan hujung minggu membabitkan dua tekong Indonesia di luar pulau Borneo, Menteri Luar Retno Marsudi bertemu dengan rakan sejawatannya dari Malaysia di Kuala Lumpur pada Isnin untuk memberi tumpuan kepada memulakan usaha mengadakan rondaan laut tiga hala dengan Filipina.

Sehari sebelum itu, Retno mengumumkan bahawa dua tekong Indonesia dari wilayah Sulawesi Tenggara telah diculik pada Sabtu dari bot-bot di perairan negeri Malaysia timur, Sabah.

Mereka diculik dari bot berbeza oleh lelaki bersenjata yang dipercayai dari selatan Filipina, kata Wan Abdul Bari Abdul Khalid, Ketua Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Retno berkata lelaki diculik itu adalah tekong Indonesia bagi bot nelayan Malaysia.

Penculikan terbaru tekong Indonesia di perairan yang memisahkan selatan Filipina dari Borneo Malaysia berlaku walaupun ketiga-tiga negara Asia Tenggara telah berbincang selama berbulan-bulan mengenai pelaksanaan perancangan bersama untuk melindungi laut Sulu dan Sulawesi daripada lanun.

"Saya benar-benar berharap kita boleh melaksanakannya dalam masa terdekat," kata jurucakap Tentera Nasional Indonesia Brig. Jen Wuryanto kepada BeritaBenar. "Kami berasa agak malu sekarang [kerana] penculikan terus berlaku."

Retno melahirkan kebimbangan sama berhubung berulangnya kes penculikan anak kapal  Indonesia di perairan Malaysia.

"Kami telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia, pemilik kapal dan tebusan yang dibebaskan," kata Retno.

Menurut Retno, kerajaan telah memberi amaran kepada anak kapal Indonesia supaya menjauhkan diri dari perairan Sabah sehingga tahap keselamatan tertentu dicapai. Walaupun telah diberi peringatan, seramai 6,000 warga Indonesia bekerja dengan bot-bot nelayan di wilayah itu.

Penculikan pertama pada Sabtu berlaku kira-kira 11 pagi apabila lima lelaki bersenjata merampas bot dan menculik tekongnya,  La Utu La Rali, 52. Empat puluh lima minit kemudian, lelaki bersenjata menculik pula La Hadi La Edi, 46, dan meninggalkan enam anak kapal lain, kata Wan Abdul Bari kepada BeritaBenar.

Walaupun tiada siapa yang  mendakwa bertanggungjawab melakukan penculikan pada Sabtu, Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang berpangkalan di selatan Filipina  dilaporkan melakukan penculikan anak-anak kapal Indonesia dan Malaysia pada awal tahun ini, dengan menuntut wang tebusan bagi pembebasan mereka.

Dua warga Indonesia kekal menjadi tebusan ASG selepas penculikan mereka pada Jun, manakala lima daripada rakan mereka telah dibebaskan. Enam anak kapal Malaysia juga dipercayai masih berada dalam tahanan ASG.

ASG dipersalahkan pada Isnin bagi penculikan seorang warga Jerman dari kapal layarnya di selatan Filipina dan pembunuhan rakan wanitanya, menurut laporan media. Kedua-duanya juga pernah diculik oleh lanun Somalia dan ditahan selama 53 hari pada  2008 sebelum wang tebusan dibayar, menurut laporan.

Halangan


Dalam pertemuan mereka di Kuala Lumpur, Retno dan Menteri Luar Malaysia Anifah Aman berikrar untuk meningkatkan kerjasama di bawah Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA), yang telah ditandatangani dengan Filipina pada awal tahun ini, bagi mengutamakan keselamatan maritim di rantau ini termasuk melalui rondaan laut bersama.

"Kami juga bersetuju untuk meningkatkan usaha dalam menetapkan prosedur operasi standard berkaitan di bawah rangka kerja itu dan memastikan usaha berkesan berpandukan TCA," kata Kementerian Luar Negeri Malaysia  dalam satu kenyataan.

Menteri-menteri Luar berkenaan turut sepakat untuk bekerjasama dengan Filipina bagi mencari, mengesahkan keselamatan dan menjamin pembebasan tebusan yang ditahan ASG dan militan lain.

Tetapi, beberapa halangan telah memperlahankan usaha untuk melancarkan rondaan bersama, kata Wuryanto, jurucakap Angkatan Tentera Indonesia.

"Kami masih belum melaksanakan Perjanjian Kerjasama Trilateral , kerana kami  mempunyai beberapa isu yang perlu dibincangkan di Kementerian Pertahanan. Angkatan Tentera masih menunggu arahan kementerian berhubung mekanisme rondaan bersama itu. Secara teknikalnya, kami masih tidak tahu lagi bagaimana untuk melaksanakannya, "kata Wuryanto kepada BeritaBenar.

Semasa mesyuarat di Bali tiga bulan lalu, pegawai-pegawai dari ketiga-tiga negara bersetuju untuk mengekalkan keselamatan di Laut Sulu, termasuk dengan melaksanakan rondaan bersama, bertukar-tukar maklumat risikan dan meningkatkan komunikasi berkaitan keselamatan maritim.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, ketiga-tiga negara juga bersetuju untuk membina pos kawalan bersama.

"Kami masih belum lagi dimaklumkan mengenai pos kawalan bersama. Apa yang saya boleh beritahu ialah kami masih belum boleh melaksanakan rondaan bersama," kata Wuryanto.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.