Mahkamah Malaysia Bebaskan Bekas Ketua Perisikan Dari Pertuduhan Pecah Amanah
2021.04.12
Kuala Lumpur

Mahkamah Tinggi Malaysia pada Isnin melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) bekas ketua perisikan negara daripada pertuduhan pecah amanah dalam satu kes yang membabitkan penyelewangan kira-kira AS$12 juta (RM50 juta) duit kerajaan tiga tahun lalu, ketika negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak.
Perintah itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Shahrir Mohd Salleh selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka tidak mahu meneruskan kes tersebut terhadap Hasanah Ab Hamid, yang merupakan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Negara (MEIO).
Berdasarkan salinan keputusan ringkas hakim yang dikongsi kepada media, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan mendakwa Hasanah di masa akan datang, dan terdapat penemuan-penemuan baru dalam kes berkenaan.
"Dalam keadaan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah mengemukakan alasan yang wajar dalam melaksanakan kuasa budi bicaranya untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap tertuduh. Mahkamah juga mendapati penemuan yang dinyatakan ini merupakan kekangan sementara kerana Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa tertuduh akan dihadapkan semula dengan pertuduhan di masa akan datang.
"Oleh yang demikian, mahkamah dengan ini memberi perintah agar tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA). Semua eksibit yang telah dikemukakan hendaklah dikembalikan kepada pihak pendakwaan," kata Ahmad Shahrir di dalam penghakiman bertulis beliau.
Dokumen berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan alasan-alasan yang dikemukakan pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan kes terhadap Hasanah, serta apakah dapatan baru dalam kes berkenaan dan bila mereka bercadang untuk mengemukakan pertuduhan baru terhadap beliau.
Cubaan BeritaBenar untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwaraya Muhamad Iskandar Ahmad serta pasukan peguam bela diketuai Suhaimi Ibrahim tidak berjaya.
Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, ketika itu berusia 61 tahun, dituduh melakukan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah AS$12 juta di antara 30 April 2018 dan 9 Mei 2018. Beliau didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, sekiranya didapati bersalah.
Hasanah bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu sebelum mahkamah membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin.
Menurut Hakim Ahmad Shahrir, mahkamah sepatutnya memberikan perintah pelepasan dan pembebasan kepada seseorang tertuduh jika tiada alasan yang wajar diberikan pihak pendakwaan apabila mereka memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan.
Namun, tambah Hakim itu, dalam kes membabitkan Hasanah pihak pendakwaan telah memberikan alasan yang wajar untuk mahkamah memberikan DNAA dan bukannya pelepasan dan pembebasan.
"Jika tiada alasan-alasan yang wajar, mahkamah sepatutnya memberi perintah pelepasan dan pembebasan. Prinsip ini diasaskan kepada gagasan bahawa tertuduh tidak seharusnya berterusan dibayangi sesuatu pertuduhan sedangkan tidak dapat ditentukan sama ada
pertuduhan itu akan dihadapkan semula atau tidak terhadapnya.
"Dalam kes di hadapan mahkamah ini, dalam membuat permohonan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya menyatakan bahawa tertuduh akan dihadapkan semula dengan pertuduhan di masa akan datang. Timbalan Pendakwa Raya juga telah menjelaskan mengenai kewujudan penemuan-penemuan baharu tersebut," kata beliau.
Boleh dihadapkan ke mahkamah semula
Sementara itu, seorang peguam jenayah Mohd Hafiz Zainol Abidin ketika dihubungi pada Isnin berkata pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bermakna seseorang tertuduh itu boleh dihadapkan ke mahkamah semula bagi menghadapi pertuduhan berkaitan sesuatu kes pada bila-bila masa.
"Tiada had masa untuk DNAA. Bermakna seseorang tertuduh boleh dituduh semula pada bila-bila masa," kata Hafiz kepada BenarNews.
Beliau berkata mahkamah mempunyai kuasa di bawah peruntukan Seksyen 254 (3) Kanun Prosedur Jenayah untuk mempertimbangkan samada untuk memberikan seseorang tertuduh arahan DNAA atau pelepasan dan pembebasan.
"Dalam kes Hasanah, mahkamah mempunyai kuasa untuk melepas dan membebaskan. Kebiasaannya, peguambela akan meminta mahkamah untuk memberikan pembebasan terus apabila kes ditarik balik dan tiada niat untuk dituduh semula.
"Akan tetapi, ia berbeza sekiranya Timbalan pendakwaraya menyatakan bahawa mereka akan mengenakan pertuduhan semula. Tapi sekiranya pendakwaraya tarik balik dan tiada ada niat nak tuduh, mahkamah sepatutnya melepaskan dan membebaskan tertuduh, kalau tidak ia menafikan hak seseorang itu untuk perkara berkenaan dengan kebebasan dia di sisi perlembagaan," kata Hafiz
MEIO adalah sebuah agensi perisikan yang terletak di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri, di mana ia dikenali sebagai Jabatan Penyelidikan.
Susulan peralihan kuasa kerajaan selepas pilihanraya umum pada Mei 2018, yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib dikalahkan oleh Pakatan Harapan pimpinan Mahathir Mohamad, Hasanah telah ditamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah MEIO pada 30 Jun tahun yang sama.
Pada 28 Ogos 2018, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] telah menahan Hasanah dan beberapa pegawai kanan MEIO kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dana pilihan raya.
"Dia dipanggil untuk membantu kami, dan kami menahannya selepas penemuan awal menunjukkan bahawa dia terlibat dalam penyalahgunaan dana untuk pilihan raya, bersama dengan tujuh lelaki yang kini dalam tahanan," kata Azam Baki, yang merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu.
Operasi SPRM dalam kes berkenaan turut menyaksikan wang tunai AS$6.3 juta dirampas, selain komputer riba serta jam tangan mewah.