Roger Ng Minta Diekstradisi ke AS, Selepas Terima Terma Jaminan DOJ

Ali Nufael
2019.02.15
Kuala Lumpur, Malaysia
190215-MY-RogerNg-1000.jpg Pekerja pembinaan sedang berbual di depan sebuah papan iklan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, Malaysia, 11 Okt 2016.
AP

Bekas ahli perbankan Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa menerima tawaran untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat [AS], di mana beliau mempunyai "perjanjian" yang tidak boleh didedahkan dengan Jabatan Kehakiman (DOJ), kata peguamnya pada Jumaat.

Marc Agnifilo yang mewakili Ng berkata, anak guamnya menerima tawaran untuk diekstradisi dan mengenepikan semua haknya dan juga perlindungan untuk pergi ke AS kerana mahu perbicaraan yang baru di mahkamah di Amerika setelah menerima terma jaminan yang dijanjikan oleh DOJ.

Peguam itu bagaimanapun tidak mahu mendedahkan terma jaminan seperti yang dijanjikan kerana ia adalah sesuatu yang sulit.

“Kami sudah pun ada perjanjian. Kami tidak mempunyai kuasa untuk menceritakan lebih lanjut tentang terma itu dan saya belum bersedia untuk mendedahkannya pada waktu ini,” kata Tan Hock Chuan, seorang lagi peguam yang mewakili Ng kepada media di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Terdahulu itu, Tan semasa prosiding mahkamah menyampaikan hasrat Ng kepada Hakim Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, MM Edwin Paramjothy yang beliau tidak mahu mencabar arahan ekstradisi keatasnya dan bersedia untuk berdepan dengan pertuduhan berhubung 1Malaysia Development Berhad [1MDB] di mahkamah AS,

Tan berkata demikian pada sidang mahkamah yang sepatutnya mendengar kes Ng berhubung jawapan kepada affidavit awal yang difailkan oleh Pejabat Peguam Negara terhadap permohonan ekstradisinya itu.

30 tempoh hantar ke AS

Menurut Tan, Ng turut meminta supaya beliau dihantar ke AS dalam tempoh 30 hari untuk menghadapi perbicaraan di negara itu.

“Saya diarahkan untuk memberitahu mahkamah bahawa responden sudah bersetuju untuk mengenepikan prosiding ekstradisi dihadapan mahkamah yang mulia ini.

“Responden juga sudah mencapai persetujuan dengan Badan Kehakiman Amerika Syarikat untuk jaminan dan terma yang berkaitan. Akhir sekali, responden juga meminta supaya beliau dihantar ke Amerika dalam tempoh 30 hari,” kata Tan tanpa mengulas lanjut.

Pada Disember 2018, Pejabat Peguam Negara Malaysia telah memfailkan permohonan ekstradisi ke atas Ng bagi pihak kerajaan Amerika di mana Ng berdepan dengan pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB di negara itu.

Ng ditahan Polis Malaysia di ibu negara Kuala Lumpur pada November lepas, iaitu sehari selepas beliau didakwa oleh kerajaan AS berdasarkan waran tangkap yang dipohon oleh Jabatan Kehakiman AS [DOJ].

Pada bulan yang sama, Malaysia turut mendakwa Ng di mahkamah dengan empat pertuduhan bersekongkol dengan Goldman Sachs berkaitan penjualan bon 1MDB berjumlah A.S$6.5 bilion (RM26.71 bilion) kerana memberikan kenyataan tidak benar.

Ng mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan.

DOJ telah memfailkan tiga pertuduhan jenayah ke atas Ng kerana bersekongkol bersama-sama bekas rakan sekerja beliau Tim Leissner dan pembiaya kewangan Malaysia yang dalam buruan  Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low kerana didakwa menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB serta memberi rasuah kepada pegawai Malaysia dan Abu Dhabi.

Goldman telah mengaturkan urusniaga tiga bon yang dapat meraih hasil $6.5 bilion untuk 1MDB tetapi, menurut Wall Street Journal, sebahagian besar daripada wang itu telah hilang dan dipercayai diseleweng.

Kira-kira AS$4.5 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB oleh pegawai-pegawai tinggi dana itu dan rakan-rakan mereka antara 2009 dan 2014, menurut Jabatan Kehakiman AS.

Tan walaubagaimanapun mengesahkan bahawa mahkamah di AS masih belum menetapkan tarikh perbicaraan buat Ng tetapi mengatakan bahawa empat pertuduhan yang dikenakan ke atas Ng oleh Malaysia akan didengar semula pada 18 Mac ini .

Bila ditanya jika kes ekstradisi Ng akan menjejaskan kes beliau di Malaysia, Tan berkata ianya bergantung kepada kerajaan dan apa yang mereka akan lakukan.

Tan turut mendedahkan bahawa Ng sudah dipenjarakan selama 114 hari dan keadaan beliau sudah semakin baik dari sebelumnya.

Waran

Terdahulu itu, Hakim Paramjothy juga memberitahu mahkamah yang sedang bersidang bahawa Ng perlu dipenjarakan sehingga Menteri Dalam Negeri mengeluarkan waran ekstradisi keatas beliau.

“Menurut peraturan di bawah Seksyen 22(1)(b) Akta Ekstradisi 1992, responden perlu dipenjarakan sehingga Menteri Dalam Negeri mengeluarkan waran untuk menghantar beliau ke Amerika Syarikat,” kata Hakim Paramjothy.

Hakim menambah bahawa dibawah seksyen yang sama, Ng tidak layak untuk memohon habeas corpus untuk mencabar tempoh penjara.

“Responden tidak layak untuk memohon habeas corpus untuk mencabar tempoh penjara dan beliau akan dibicarakan atas kesalahan-kesalahan yang membawa kepada permohon ekstradisi sejurus sampai di AS,” kata hakim lagi.

Manakala pendakwaraya Faizal Aswad Masri berkata tempoh tiga bulan diberikan di bawah undang-undang sebelum Ng boleh dihantar ke AS.

“Tempoh waktu itu diberikan di bawah Sekseyn 43 Akta Ekstradisi. Mereka boleh meminta supaya perkara itu dipercepatkan tetapi ianya terpulang kepada proses dan juga terpulang kepada Menteri Dalam Negeri,” kata Faizal kepada pemberita ketika diminta penjelasan berkenaan isu tersebut.

Menurut Seksyen 43, tempoh maksimum yang diberikan sebelum seseorang itu diekstradisi adalah tiga bulan. Individu itu boleh dibebaskan jika beliau tidak dihantar keluar Malaysia dalam tempoh tersebut atau dipenjarakan ketika menunggu untuk dipulangkan ke mana-mana negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.