Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng diekstradisi ke Malaysia untuk perbicaraan 1MDB
2023.10.06
Washington & Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 9.30 pagi waktu tempatan ETS - 2023-10-07
Bekas pegawai bank Goldman Sachs yang disabitkan susulan peranan beliau dalam kes kecurian berbilion dolar dana 1MDB kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia, kata peguamnya pada lewat Jumaat, selepas mahkamah persekutuan di Brooklyn mengarahkan agar anak guamnya itu diekstradisi untuk berdepan perbicaraan di negara tersebut
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan di Bandaraya New York memerintahkan agar Ng Chong Hwa (atau lebih dikenali sebagai Roger Ng) dibawa balik ke AS selepas perbicaraan di Malaysia untuk menjalani hukuman penjara 10 tahun yang telah dijatuhkan ke atas beliau.
“Roger kini dalam perjalanan ke Malaysia. Saya akan terus berhubung dengan pihak berkuasa di sana sebaik sahaja beliau tiba," kata Marc Agnifilo, peguam Ng di New York yang mengesahkan perkara itu kepada BenarNews pada Jumaat petang.
Ng telah disabitkan pada April 2022 atas peranan beliau dalam skim untuk mencuri berbilion dolar daripada dana kekayaan negara Malaysia 1MDB dalam skandal kewangan antarabangsa sehingga membawa kepada kejatuhan bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Pada Mac lepas, Ng, seorang warganegara Malaysia, telah dijatuhi hukuman penjara di New York atas dua pertuduhan melakukan konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS dan satu pertuduhan melakukan pengubahan wang haram
Mengikut perjanjian ekstradisi antara AS dan Malaysia, Kuala Lumpur telah menyerahkan Ng kepada pihak berkuasa Amerika buat sementara waktu untuk dibicarakan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn.
“Defendan hendaklah ditahan reman di bawah Perkhidmatan Marsyal AS (USMS)… pada 6 Okt 2023, pada masa yang akan ditetapkan oleh USMS, untuk dihantar pulang ke Malaysia,” kata Margo K. Brodie, Ketua Hakim bagi Mahkamah Daerah AS di New York Timur pada Khamis, demikian menurut salinan perintah beliau.
Pada Jumaat, jurucakap Marsyal AS enggan mengulas perkara itu atas alasan polisi agensi tersebut ialah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu pemindahan seseorang banduan.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Washington mengesahkan bahawa Ng akan dihantar pulang ke negara asalnya.
Nazri Aziz, yang dilantik ke jawatan itu pada Februari, berkata para pegawai Malaysia menjangka Ng akan diekstradisi "secepat mungkin.”
“Kedua-dua pihak telah memulakan rundingan,” katanya kepada BenarNews.
Bagaimanapun, Nazri berkata beliau tidak boleh mendedahkan maklumat perjalanan atas alasan keselamatan.
“Jika pihak AS tidak percayakan kerajaan yang memerintah, mereka tidak akan menghantar pulang banduan ke negara asal,” katanya. “Ini membuktikan AS percayakan kerajaan semasa Malaysia,”
Di Malaysia, peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Ng tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu.
Jabatan Peguam Negara Malaysia pula enggan memberikan sebarang kenyataan.
Pada April, sekumpulan juri di Mahkamah Persekutuan Brooklyn memutuskan bahawa Ng, yang telah diekstradisi dari Malaysia pada 2018 untuk dibicarakan, bersalah bagi semua pertuduhan ke atasnya dalam perbicaraan yang menyaksikan bekas bos yang juga rakan subahat beliau iaitu Timothy Leissner memberi keterangan dalam kes terhadapnya.
Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mendakwa Ng, yang disertai Leissner, ahli perniagaan dalam buruan Jho Low (atau nama sebenarnya Low Taek Jho) dan beberapa individu lain telah bersubahat untuk mencuri lebih AS$2.7 bilion (RM11.3 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad.
Ketika menjadi saksi selama beberapa hari, Leissner memaklumkan bahawa beliau bersama-sama Ng dan Low, telah menggunakan akaun luar pesisir dan shell company untuk “menyembunyikan aliran dana itu,” menurut laporan agensi perkhidmatan berita.
“Jika kami memaklumkan perkara sebenar kepada mana-mana bank, ia tidak akan berhasil … Rancangan itu pasti gagal,” katanya ketika memberi keterangan.
Selain itu, DOJ telah mendakwa Ng atas pertuduhan bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS dengan memberikan suapan kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi serta berpakat untuk memintas kawalan perakaunan Goldman Sachs.
Seorang wanita berjalan melewati tapak pembinaan ibu pejabat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur, 3 Julai 2015. [AFP]
Skandal 1MDB menyaksikan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dicuri daripada dana kekayaan negara yang diwujudkan oleh Najib pada 2009 untuk merangsang pembangunan di Malaysia yang sekali gus menyebabkan tumbangnya kerajaan pimpinan beliau dalam pilihan raya umum yang bersejarah pada 2018.
Pada Julai 2020, bekas Perdana Menteri itu telah disabitkan dengan kesalahan rasuah yang dikaitkan dengan skandal kewangan itu dan telah dijatuhi hukuman penjara pada Ogos 2022.
Pada Mac lepas, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah menolak percubaan terakhir Najib untuk membebaskan diri daripada hukuman penjara 12 tahun susulan sabitan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana anak syarikat 1MDB iaitu SRC International.
Bekas Perdana Menteri itu yang kehilangan kuasa selepas kerajaan pimpinannya tumbang dalam pilihan raya umum pada 2018 turut berdepan pertuduhan tambahan yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB.
Sementara itu, Peguam Negara Malaysia Idrus Harun berkata pihaknya telah menolak beberapa percubaan yang dilakukan oleh Jho Low untuk menyelesaikan kes jenayah berkaitan 1MDB terhadapnya. Individu yang menjadi buruan di peringkat antarabangsa itu selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadap beliau, turut berdepan pertuduhan di AS.
“AGC (Jabatan Peguam Negara) mengesahkan bahawa Jho Low, melalui wakilnya, telah melakukan beberapa percubaan untuk berunding dengan Kerajaan Malaysia bagi menyelesaikan kes terhadapnya pada tahun ini,” menurutnya dalam satu kenyataan semasa itu. “Semua tawaran bagi penyelesaian daripada wakil Jho Low telah ditolak oleh AGC.”
Idrus juga enggan mengulas laporan bahawa Jho Low telah menawarkan RM1.5 bilion (AS$318 juta) bagi menyelesaikan kes terhadapnya.
Nazmul Ahasan di Washington dan Minderjeet Kaur serta Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.