Bangladesh: Kapal Malaysia Punggah Bantuan Kemanusian Pelarian Rohingya
2017.02.14
Dhaka, Bangladesh

Pihak berkuasa Bangladesh pada Selasa menyambut ketibaan kapal Malaysia yang membawa bantuan kemanusiaan bagi beribu-ribu pelarian Islam Rohingya untuk dipunggahkan bekalan makanan, ubat-ubatan dan lain-lain di pelabuhan Chittagong.
Bangladesh juga membenarkan hanya 25 sukarelawan untuk meninggalkan kapal Nautica Aliya supaya mereka boleh mengagihkan bantuan kepada pelarian dari Myanmar di Cox’s Bazar, sebuah daerah di tenggara Bangladesh. Pentadbiran daerah sebaliknya mengupah 150 trak untuk mengangkut bantuan ke kem-kem pelarian yang bertaburan di seluruh kawasan berkenaan, yang jarak berjalanan darat mengambil beberapa jam dari Chittagong.
"Kami mempunyai bekalan bantuan. Ia akan diedarkan di kalangan pelarian Rohingya di Teknaf dan Ukhia, "Ali Hossain, Timbalan Pesuruhjaya Cox’s Bazar, memberitahu BeritaBenar.
Teknaf dan Ukhia adalah sebahagaian daripada pekan yang terdapat di daerah Cox’s Bazar yang menempatkan beberapa kem bagi pelarian Rohingya yang berdaftar atau tidak.
"Kami mendapat maklumat bahawa kapal itu membawa 1,472 tan bekalan bantuan kemanusia, yang akan diagihkan kepada lebih 15,000 warga Rohingya," kata pegawai Tentera Laut berpangkat tinggi Bangladesh kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.
Khurshed Alam, Setiausaha Luar bagi urusan maritime Bangladesh, memberitahu BeritaBenar, kapal misi bantuan itu tiba di Pelabuhan Chittagong sekitar 11:30 pagi pada Selasa, dan majlis penyerahan berlangsung kira-kira dua jam kemudiannya.
Abdul Aziz Mohd Abdul Rahim, wakil Perdana Menteri Najib Razak yang juga anggota parlimen Malaysia belayar bersama dengan kapal berkenaan, memanggil misi itu sebagai "penyelesaian yang sekian lama" kepada krisis Rohingya selepas beliau menyerahkan kargo bantuan itu, Agence France-Presse ( AFP) melaporkan.
Sekurang-kurangnya 66,000 umat Islam Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh sejak awal Oktober lalu, di tengah-tengah laporan bahawa pasukan keselamatan Myanmar telah menyasarkan penduduk daripada masyarakat minoriti dalam pembunuhan, rogol dan penyalahgunaan kuasa - dakwaan yang telah dinafikan oleh kerajaan Myanmar.
"Tiga puluh juta rakyat Malaysia bersama anda (Rohingya)," kata Rahim.
"IOM (Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi) bertanggungjawab dalam memindahkan bekalan manakala Persatuan Bulan Sabit Merah membantu dari segi pengedaran bekalan," kata Alam sambil menambah pentadbir daerah akan memudahkan cara pengagihannya.
Beliau berkata seramai 25 orang sukarelawan telah diberikan visa bagi membolehkan mereka mengedarkan bekalan bantuan kepada warga Rohingya, sambil memaklumkan bahawa tidak semua 183 orang sukarelawan yang berminat untuk perjalanan antara enam hingga tujuh jam untuk sampai ke kem pelarian. Tiga puluh empat sukarelawan pula dijadualkan mengambil penerbangan pulang dari Bangladesh pada malam Selasa manakala yang lain akan berada bersama kapal itu.
Para sukarelawan termasuk doktor adalah dari Malaysia, Turki, Indonesia, China, Amerika Syarikat, Perancis, Thailand dan wilayah Palestin.
‘Menyedarkan masyarakat antarabangsa’
"Kami berharap usaha kemanusiaan ini akan membuka jalan untuk menyelesaikan isu Rohingya dan menyedarkan masyarakat antarabangsa," kata seorang sukarelawan dari Malaysia yang hanya dikenali sebagai Azmi, kepada AFP.
Bangladesh memberi perlindungan kepada kira-kira 300,000 hingga 500,000 etnik Rohingya, termasuk puluhan ribu yang menyeberangi sempadan kedua-dua negara sejak beberapa bulan lalu, berikutan pembunuhan sembilan pengawal sempadan Myanmar pada Oktober lepas. Seorang lelaki dari etnik Rohingya, iaitu salah seorang daripada 14 individu yang didakwa dalam serangan ke atas pengawal sempadan itu, telahpun dijatuhi hukuman mati pada Jumaat lepas di Myanmar.
Kapal Nautica Aliya memasuki perairan Bangladesh selepas belayar dari Pelabuhan Yangon, di Myanmar, dengan memunggahkan kira-kira 500 tan bekalan bantuan termasuk beras, mi segera, air bersih dan kit kebersihan, yang diserahkan kepada warga Rohingya di Rakhine.
Semasa kapal itu berlabuh di Myanmar, seramai 30 orang sukarelawan dibenarkan turun di Pelabuhan Yangon untuk menyertai acara majlis penyerahan pada Khamis lalu.
"Ini adalah satu perkembangan positif, di mana negara asing menghantar bekalan bantuan kepada warga Rohingya," kata Asif Muneir, seorang perunding bebas mengenai isu-isu penghijrahan dan pelarian, kepada BeritaBenar.
"Tetapi ini adalah tanggungjawab kerajaan dan IOM untuk memastikan bahawa bekalan bantuan sampai kepada mereka yang betul-betul miskin dan sangat memerlukan.