Bangladesh, Malaysia Kesan Usaha Merekrut Pejuang Sertai Pemberontakan Rohingya di Myanmar

Jesmin Papri
2017.09.19
Cox's Bazar, Bangladesh
170918-BD-camp-1000.jpg Seorang anggota Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) berkawal berdekatan kem sementara untuk pelarian Rohingya di daerah Bandarban, Bangladesh, 12 Sept, 2017.
[Jesmin Papri/BeritaBenar]

Kumpulan-kumpulan militan di Malaysia dan Bangladesh telah merekrut pejuang untuk menyertai pemberontakan Rohingya di negeri Rakhine di Myanmar, kata para pegawai keselamatan, dengan kemarahan terus meningkat terhadap keganasan yang dilakukan kepada minoriti Islam itu yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembersihan etnik.

Di Kuala Lumpur, ketua polis baru Malaysia berkata, sekumpulan rakyat negara itu sudah pun berada "di Myanmar untuk berjuang  menentang penindasan Rohingya di sana."

"Pihak risikan juga mengesan satu kumpulan di Malaysia kini cuba menyelinap masuk ke Myanmar untuk menyertai perjuangan itu. Unit menangani keganasan sedang mengira berapa ramai daripada mereka yang sudah berada di luar negara dan mereka yang masih berada di sini, "kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun kepada BeritaBenar.

"Pejuang jihad ini direkrut oleh mereka yang sudah pun berada di Rakhine dan Malaysia. Kami percaya mereka yang telah berada di negara itu memasukinya menerusi Bangladesh dan Thailand, "katanya.

Di Bangladesh, jabatan menangani pengganas polis Bangladesh baru-baru ini mengadakan pertemuan bagi mebincangkan cara untuk membendung pergerakan merentas sempadan oleh anggota kumpulan pemberontak Rohingya yang dikenali sebagai Arakan Rakhine Salvation Army (ARSA), kata seorang pegawai jabatan itu kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.

"Ahli-ahli ARSA yang menyusup masuk cuba merekrut anggota baru yang berasal dari Rohingya dan sudah lama tinggal di sini," kata pegawai itu, merujuk kepada 400,000 pelarian yang berlindung di tenggara negara itu. Jumlah itu meningkat dua kali ganda sejak 25 Ogos lalu, menurut angka terkini yang dikeluarkan PBB.

"Kami mempunyai maklumat bahawa mereka telah merekrut 50 orang ahli," katanya.

"Beberapa ahli militan tempatan cuba mempengaruhi mereka. Tetapi dasar kerajaan kami tidak menyokong pengganas. Sesetengah pasukan kami telah ditugaskan di Cox's Bazar dan kawasan-kawasan berdekatannya," katanya yang merujuk kepada kumpulan ekstremis Islam Bangladesh.

"Saya sedia korbankan nyawa'


BeritaBenar juga bercakap dengan seorang lelaki Rohingya yang mengaku sebagai ahli ARSA tetapi belum lagi diberikan senjata untuk berjuang dalam pemberontakan itu. Dia melarikan diri dari Rakhine ketika keganasan berleluasa baru-baru ini.

"Saya tidak diberi sebarang senjata. Saya bukan pemimpin kanan al-Yaqin. Saya seorang pejuang baru,” katanya yang berusia 18 tahun dan memperkenalkan  dirinya sebagai Abdus Shukur [IV1],  semasa ditemu bual pada 14 Sept di sebuah kem pelarian sementara di Ukhia, sebuah daerah kecil Cox's Bazar di tenggara Bangladesh. Dia merujuk kepada ARSA dengan menggunakan nama lama kumpulan itu, Harakah al-Yaqin ("Gerakan Iman)."

"Saya akan kembali ke negara saya sekali lagi, dan sanggup berjuang jika perlu. Saya sedia mengorbankan nyawa saya untuk membebaskan tanah air saya," kata Shukur kepada BeritaBenar, sambil memberitahu bahawa dia telah melarikan diri daripada serangan di kawasan kejiranan kediamannya di Jhulaipara yang terletak di bandar Maungdaw, Rakhine.

Kira-kira 40 ahli al-Yaqin berasal dari kejiranannya dan kumpulan itu berjuang bagi mendapatkan hak-hak untuk Rohingya, yang tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar yang majoriti penduduknya adalah penganut Buddha, dan telah dipaksa oleh Mogh (penganut Buddha tempatan), katanya, untuk membayar sewa tanah yang dimiliki penduduk Rohingya sendiri.

"Kami tidak dapat menetap di tanah kami sendiri. Kami tidak boleh bekerja; kami tidak dibenarkan pergi dari satu kampung ke kampung yang lain. Al-Yaqin telah berusaha untuk kebaikan orang Rohingya; mereka berjuang supaya kami boleh makan tiga kali sehari, " kata Shukur.

Abdus Shukur ketika ditemu bual di perkhemahan sementara di Ukhia, Bangladesh, 14 Sept, 2017. [Jesmin Papri/BeritaBenar]

Ekstremis eksploitasikan keadaan, kata pegawai


ARSA mendakwa ia menentang pasukan keselamatan Myanmar dan militia Buddha demi mempertahankan minoriti Muslim yang tanpa kerakyatan, dengan penduduk awamnya telah disasarkan dalam pembunuhan, pembakaran kampung dan kekejaman lain yang didakwa dilakukan oleh pasukan keselamatan kerajaan dan militia tempatan, menurut pengalaman saksi daripada kalangan pelarian itu serta penyelidikan yang dilakukan oleh organisasi hak asasi manusia antarabangsa.

Pusingan terbaru keganasan bermula pada 25 Ogos ketika pemberontak ARSA melancarkan serangan yang diselaraskan terhadap pos-pos polis Myanmar di Rakhine.

Pihak berkuasa Myanmar juga menyalahkan kumpulan tersebut, ketika ia secara rasminya masih dikenali sebagai Harakah al-Yakin (HaY), kerana melancarkan serangan terhadap jawatan pos-pos polis negara itu pada Oktober 2016. Ini menyebabkan pihak tentera melaksanakan tindakan keras yang menyaksikan 87,000 orang Rohingya melarikan diri ke tenggara Bangladesh pada minggu-minggu berikutnya, demikian menurut perkiraan PBB.

Lebih daripada 800,000 pelarian Rohingya, termasuk mereka yang melarikan diri daripada keganasan terdahulu di Myanmar, kini berlindung di tenggara Bangladesh.

Menurut satu laporan yang diterbitkan kumpulan pemikir Crisis International pada tahun lalu, sebuah jawatankuasa pelarian Rohingya yang tinggal di Arab Saudi telah menyelia HaY dan ia mempunyai hubungan dengan Bangladesh, Pakistan dan kemungkinan juga India.

Minggu lalu, kumpulan pengganas global al-Qaeda mengumumkan bahawa pejuangnya akan membantu mempertahankan kaum Muslim Rohingya terhadap keganasan yang menyasarkan komuniti mereka di Rakhine.

Namun, pada 14 Sept, ARSA mengeluarkan kenyataan di mana ia menafikan sebarang kaitan dengan al-Qaeda, Negara Islam atau organisasi pengganas lain, walaupun kerajaan Myanmar telah melabelkan para pemberontak itu sebagai "pengganas ekstremis Bengali."

Di Dhaka, Monirul Islam, ketua jabatan menangani pengganas polis Bangladesh, telah memberi amaran pada hujung minggu lalu bahawa jabatannya "sedar tentang pihak oportunis yang mungkin" mengambil kesempatan daripada krisis kemanusiaan di tenggara negara itu, yang berpunca daripada keganasan di Rakhine, untuk "membangkitkan kegiatan anti negara itu. "

"Kami telah meminta pelarian Rohingya supaya tinggal di dalam kem itu. Terdapat kebimbangan bahawa sesetengah orang boleh memanipulasi mereka dengan menawarkan bantuan dan menggunakannya dalam kegiatan militan," kata Ketua Polis Bangladesh A.K.M. Shahidul Haque pada satu sidang berita.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 20,000 ahli kumpulan Muslim yang sukar bertolak ansur, Hefazat-e-Islami, yang telah mengadakan bantahan terhadap Myanmar berikutan keganasan terbaru yang dilakukan terhadap Rohingya, telah membawa protes itu ke jalanan di ibu negara Bangladesh pada Isnin bagi melepaskan kemarahan mereka.

"Kami akan mengepung Kedutaan Myanmar bagi menghantar mesej kepada kerajaan Myanmar bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan pembunuhan saudara Muslim kami di Arakan [Rakhine]," kata penunjuk perasaan Maolana Saifuddin kepada Agence France-Presse.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Beribu-ribu orang mahu jadi sukarelawan

Di Indonesia, negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia yang turut mengadakan protes terhadap nasib penduduk Rohingya, seorang pemimpin kumpulan tegar lain, Barisan Pembela Islam (FPI), memberitahu BeritaBenar bahawa "sekurang-kurangnya 10,000" ahlinya telah berkata bahawa mereka mahu membantu Rohingya sebagai "sukarelawan kemanusiaan."

"FPI sentiasa serius membantu umat Islam yang lain," kata Novel Bamukian, setiausaha agung kumpulan itu bagi cawangan Jakarta, kepada BeritaBenar, sambil memberitahu bahawa beberapa ahli FPI tidak dapat memasuki Myanmar tetapi berjaya pergi ke Bangladesh.

Di tempat lain, Wawan Purwanto, jurucakap Badan Perisikan Nasional Indonesia (BIN), memberitahu Free Malaysia Today, bahawa ia tidak mempunyai maklumat sama ada rakyat Indonesia telah menyertai ARSA, tetapi ia sedang memantau keadaan itu.

Prapti Rahman di Dhaka, N. Nantha di Kuala Lumpur dan Tia Asmara di Jakarta menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.