Malaysia Lancar Projek Perintis Rohingya Mac Depan
2017.02.02
Kuala Lumpur

Malaysia pada Khamis mengumumkan projek perintis yang membenarkan pelarian Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [UNHCR] bekerja secara sah mulai 1 Mac ini, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Mengenai Isu-isu Berkaitan UNHCR, di pejabatnya di Putrajaya.
Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu program tersebut yang akan berkuatkuasa pada 1 Mac depan secara berperingkat-peringkat akan membolehkan seramai 300 orang dari kumpulan pertama pelarian Rohingya bekerja secara sah di dua sektor.
"Mereka akan ditempatkan di beberapa syarikat terpilih dalam sektor perladangan dan perkilangan untuk diberikan kemahiran dan sumber kewangan dalam membina kehidupan sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga," kata Ahmad Zahid dalam kenyataannya itu.
Projek itu, katanya, mampu menangani masalah perdagangan manusia dengan lebih berkesan di kalangan warga Rohingya yang menjadi sasaran mudah, dieksploitasi untuk menjadi pekerja haram di dalam negara kerana ketiadaan status imigresen untuk komuniti tersebut.
Tambahnya, sebagai permulaan, projek itu sudah pun melalui proses pemeriksaan keselamatan dan kesihatan bagi kumpulan pertama itu.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, sehingga 31 Disember tahun lepas, terdapat 149,474 pemegang kad UNHCR dari 62 negara telah direkodkan di Malaysia.
Tambahnya, seramai 133,517 daripada jumlah itu,atau 89 peratus adalah dari Myanmar dengan 55, 565 daripadanya terdiri daripada etnik Rohingya.
Hadiah bermakna
Sementara itu, Presiden Persatuan Rohingya Malaysia Faisal Islam ketika dihubungi BeritaBenar menyatakan perasaan gembiranya terhadap kerajaan Malaysia yang telah membuka peluang pekerjaan sah kepada warga Rohingya, yang sebelum ini terpaksa bertungkus-lumus untuk mengharungi kehidupan dengan bekerja secara haram.
“Ramai yang sedang menunggu peluang pekerjaan sah ini dan dapat meraih pendapatan sendiri,” kata Faisal, yang juga graduan statistik dari sebuah universiti di Myanmar. Beliau, yang sudah tiga tahun berada di Malaysia, memperolehi pendapatan melalui kerja sambilan termasuk kerja terjemahan untuk media yang sudah tiga tahun berada di Malaysia kepada BeritaBenar.
“Kami [Rohingya] boleh mempunyai akses kepada insurans kesihatan, jika kami bekerja secara sah di negara ini. Anak-anak kami juga boleh menerima pendidikan yang sewajarnya," tambah beliau.
Pengarah Eksekutif ASEAN Rohingya Centre (ARC) Dr Mohd Helmi Ibrahim pula mengalu-alukan keputusan kerajaan itu sebagai hadiah yang paling bermakna kepada etnik Rohingya yang berada di Malaysia.
“Ini kerana sejak sekian lama berada di negara ini, malah ada yang lebih 30 tahun bermastautin di Malaysia, berita hari ini adalah yang paling menggembirakan bagi mereka,” kata pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, keputusan itu akan membawa perubahan yang besar dalam kehidupan warga Rohingya di Malaysia yang bekerja secara tidak sah selama ini.
“Sehubungan itu ARC akan mengadakan ‘Makmal kemahiran dan pekerjaan untuk Rohingya’ sebagai satu usaha untuk membentuk suatu blueprint agar dasar kerajaan membenarkan mereka ini bekerja dapat dilaksanakan dengan berkesan dan berjaya,” menurutnya.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan menyokong dasar untuk memberi peluang pekerjaan itu kepada kaum Rohingya yang merupakan kaum yang ditindas serta dihalau keluar dari negara sendiri kerana kerajaan Myanmar tidak mahu mengiktiraf kerakyataan etnik berkenaan.
"Tetapi dasarnya perlu tegas. Tiada pelarian yang datang selepas tarikh tertentu harus dibenarkan untuk bekerja supaya negara tidak ditakluki oleh pelarian Rohingya, "Shamsuddin memberitahu BeritaBenar baru-baru ini.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, Richard Riot berkata, kira-kira 100,000 pekerja Myanmar bekerja di Malaysia dengan kebanyakan daripada mereka berada dalam sektor pembuatan, menurut rekod rasmi kerajaan.
Halang pemerdagangan manusia
Ahmad Zahid juga berkata, inisiatif kerajaan membenarkan etnik Rohingya bekerja secara tidak langsung dapat menangani isu pemerdagangan orang dengan lebih berkesan.
"Selama ini ketiadaan status imigresen kepada etnik Rohingya menjadikan mereka golongan yang berpotensi untuk dieksploitasi," katanya.
Isu pemerdagangan manusia membabitkan kaum Rohingya telah menjadi bahan berita utama sejak beberapa tahun lepas apabila aktiviti penyeludupan manusia terdapat di negeri Kedah dan Perlis yang bersempadan dengan Thailand.
Pada Mei 2015, pihak berkuasa Malaysia menemui 139 kubur mengandungi 106 mayat di beberapa kem tahanan penyeludupan manusia yang terbiar di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand.
Pada bulan yang sama, 36 mayat ditemui di kawasan yang sama tetapi di dalam bahagian Thailand, dimana susulan daripada penemuan tersebut, kerajaan negara berkenaan telah melancarkan gerakan besar-besaran terhadap aktiviti penyeludupan manusia sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan.
Hampir 3,000 kaum Rohingya daripada Myanmar dan warga Bangladesh, yang ditinggalkan oleh anggota sindiket penyeludupan, muncul secara tiba-tiba di perairan Malaysia dan Indonesia.
Malaysia turut memainkan peranan yang besar dalam isu Rohingya sejak akhir-akhir ini dengan penghantaran flotilla bantuan kemanusian kepada masyarakat Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.
Flotila itu dijangka berlepas dari Pelabuhan Kelang pada 3 Feb dan berlabuh di Pelabuhan Yangon dan Pelabuhan Teknaf, masing-masing pada 7 dan 10 Feb ini.
Penglibatan Malaysia bermula apabila Perdana Menteri Najib Razak mengetuai perhimpunan 4 Disember di ibu negara Kuala Lumpur dengan mengutuk penindasan terhadap umat Islam Rohingya sebagai pembunuhan beramai-ramai dan menggesa negara-negara Asia supaya meningkatkan tekanan terhadap Myanmar dalam usaha untuk menghentikan keganasan.
Malaysia juga menjadi tuan rumah bagi Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar, yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini dalam usaha menggesa Myanmar untuk mengembalikan keamanan di negeri Rakhine, serta memastikan pasukan keselamatan negara itu menghormati kedaulatan undang-undang.
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini