Wanita dan Kanak-kanak Rohingya Diselamatkan Penduduk Kampung di Perlis
2019.03.01
Kuala Lumpur, Malaysia

Sekumpulan 26 wanita Rohingya dan sembilan kanak-kanak yang kelaparan dan dipenuhi selut telah diselamatkan oleh penduduk kampung Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis, selepas kesemua mereka dipercayai ditinggalkan oleh tekong sindiket semasa air surut kira-kira 500 meter dari Pantai Sungai Belati awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Negeri Noor Mushtar Mohd berkata pegawainya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan telefon dari penduduk itu pada kira-kira jam 7.30 pagi memberitahu mengenai pertemuan tersebut.
"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pendatang tanpa izin yang dipercayai berketurunan Rohingya ditemui terperangkap dalam selut terdampar di pantai tersebut,” katanya sambil menambah penduduk kampung yang menyedari mengenainya telah membantu membawa mereka ke darat.
Noor Mushtar dalam satu kenyataan media berkata, kesemua mereka dipercayai telah ditinggalkan oleh tekong yang meminta mereka turun dari bot nelayan sekitar jam 3 pagi untuk berjalan ke darat di pantai Kuala Sungai Baru.
Perlis adalah negeri yang bersempadan dengan Thailand di sebelah barat Semenanjung Malaysia.
Walaupun mengalami kesulitan melepasi selut untuk ke darat, Noor Mushtar memberitahu bahawa kesemuanya berada dalam keadaan baik, selepas dibantu anggota Pasukan Pertahanan Awam Malaysia dan juga penduduk tempatan yang turut memberi pakaian baru kepada mereka.
Sementara itu, semasa dihubungi BeritaBenar, Noor Mushtar mengesahkan yang kesemua mereka telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dibawa ke Depot Imigresen Belantik, di Sik, Kedah, iaitu kira-kira 84 kilometer dari tempat mereka ditemui.
"Sekitar 10.40 pagi, kesemua mereka telah diserahkan kepada para pegawai Imigresen Perlis dan telah dibawa dengan kenderaan jabatan itu ke Sik,” tambah Noor Mushtar.
Mengikut undang-undang Malaysia, pelarian Rohingya dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin dan mereka tertakluk kepada Akta Imigresen dengan risiko ditangkap, ditahan dan dihantar pulang ke negara asal.
Ini kerana, Malaysia tidak menandatangani dua perjanjian antarabangsa mengenai pelindungan pelarian menerusi Kovensyen Pelarian 1951 dan Protokol Berkenaan Status Pelarian 1967 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB].
BeritaBenar cuba untuk mendapatkan komen mengenainya daripada Jabatan Imigresen tetapi gagal.
Juga tidak diketahui mereka memulakan pelayaran dari mana sehingga sampai di Perlis kerana masalah komunikasi.
UNHCR bantuan
Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur, Yante Ismail semasa dihubungi BeritaBenar mengesahkan bahawa badan dunia itu telah mendapat laporan media mengenai pertemuan 35 etnik Rohingya tersebut tetapi masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada pihak berkuasa.
"Setakat ini, UNHCR tidak mempunyai maklumat rasmi, dan oleh yang demikian kita tidak dapat memberi butiran mengenai identiti mereka atau keadaan mereka.
"UNHCR akan berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mendapatkan akses untuk bertemu dan menilai keperluan perlindungan terhadap kesemua mereka," kata Yante.
Beliau menambah bahawa UNHCR bersedia memberi sokongan, bersama-sama dengan badan bukan kerajaan lain dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan kepada pelarian tersebut sejajar dengan piawaian antarabangsa.
Lilianne Fan dari Yayasan Geutanyoe pula berkata mereka sedang bekerjasama dengan UNHCR dan badan bukan kerajaan lain untuk memberi bantuan terhadap kesemua mereka di Depot Imigresen Belantik.
"Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) mempunyai klinik mudah alih di Belantik setiap dua minggu, jadi kami sedang menyelaras dengan mereka supaya adanya doktor-doktor yang boleh memeriksa dan merawat kesemua wanita dan kanak-kanak yang baru ditemui itu," tambah Lilianne.
Lilianne yang merupakan pengasas yayasan itu juga yang terlibat dalam tindak balas kecemasan, perkhidmatan kemanusiaan dan advokasi terhadap pelarian Rohingya di kedua-dua belah Selat Melaka, [Malaysia dan Indonesia] turut menjangkakan lebih banyak kes seperti itu akan berlaku apabila bermulanya musim pelayaran selepas perubahan angin monsun.
"Saya percaya kita akan dapat melihat lebih banyak lagi kes-kes sebegini," tambah Lilianne.
Selama bertahun-tahun masyarakat Rohingya di Arakan, Myanmar telah berlayar ke selatan untuk melarikan diri dari penganiayaan oleh tentera Myanmar yang menyaksikan lebih daripada 600,000 telah melarikan diri dari negara itu pada 2017 sahaja berikutan apa yang digambarkan oleh Setiausaha Agung PBB sebagai "pembersihan etnik. "
Selain Malaysia, etnik Rohingya turut melarikan diri ke Bangladesh dengan menurut PBB, lebih daripada 700,000 kaum itu telah mencari perlindungan di kem di tenggara negara jiran itu selepas melarikan diri dari Myanmar apabila tentera negara itu mengambil tindakan keras terhadap etnik itu di Rakhine sejak Ogos 2017.
Myanmar menganggap Rohingya sebagai pendatang haram dan telah lama menafikan kewarganegaraan dan hak asasi mereka, walaupun mereka berasal dari Rakhine.