Aung San Suu Kyi Beritahu Diplomat Tentang Krisis Di Rakhine

Khas untuk BeritaBenar
2017.09.19
170919-aung-san--620.jpg Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi berucap tentang krisis di negeri Rakhine, barat Myanmar, kepada para diplomat dan pekerja agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di ibu negara, Naypyidaw, 19 Sept, 2017. [RFA]
[Radio Free Asia]

Pemimpin de facto Myanmar Aung San Suu Kyi berkata pada Selasa bahawa beliau komited untuk memulihkan kestabilan dan keamanan di negeri Rakhine yang kini dilanda keganasan, dan merayu kepada komuniti diplomatik untuk membantu menentukan mengapa ratusan ribu Muslim Rohingya melarikan diri dari kawasan itu manakala lebih daripada separuh daripada mereka masih kekal berada di situ.

Kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) menyerang tiga balai polis sempadan di utara Rakhine pada Oktober 2016, yang menyebabkan tindakan keras dan pertempuran berlaku di mana kira-kira 90,000 Muslim Rohingya melarikan diri dari rumah mereka di tengah-tengah pembunuhan, penyeksaan, pembakaran dan rogol yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Pada 25 Ogos, ARSA menyerang 30 pos polis dan pangkalan tentera yang mendorong pelancaran operasi keselamatan di mana lebih daripada 410,000 Rohingya melarikan diri daripada keganasan sama yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Myanmar. Mereka telah memohon perlindungan di negara jiran, Bangladesh.

"Kami komited untuk memulihkan keamanan, kestabilan dan pemerintahan undang-undang di seluruh negeri itu," kata Aung San Suu Kyi semasa menyampaikan ucapan kepada diplomat dan pekerja agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di ibu negara, Naypyidaw.

"Pasukan keselamatan telah diarahkan untuk mematuhi sepenuhnya Tata Laku dalam menjalankan operasi keselamatan, megatasi semua halangan yang perlu, dan mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kerosakan barangan dan membahayakan orang awam yang tidak bersalah," katanya.

"Pencabulan hak asasi manusia dan semua tindakan lain yang merosakkan kestabilan dan keharmonian serta melemahkan kedaulatan undang-undang akan ditangani selaras dengan norma-norma keadilan yang ketat," katanya.

Aung San Suu Kyi, yang mengelak menggunakan perkataan "Rohingya" atau "Bengalis" untuk merujuk kepada Muslim berkenaan, berkata, tidak ada pertempuran bersenjata atau operasi pembersihan dilakuakn sejak 5 Sept, walaupun banyak laporan menyatakan  orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sepanjang tiga minggu lalu di mana tentera Myanmar dan penduduk Buddha membunuh orang awam dan membakar rumah mereka dengan sewenang-wenangnya.

Kerajaan Myanmar, sebaliknya, menuduh orang Rohingya membakar kampung mereka sendiri.

"Bagaimanapun, kami bimbang apabila mendengar bilangan Muslim yang melarikan diri dengan merentas sempadan ke Bangladesh," katanya. "Kami ingin mengetahui mengapa mereka beramai-ramai berbuat demikian. Kami ingin bercakap dengan mereka yang telah melarikan diri serta mereka yang masih berada di sini. "

Majoriti 1.1 juta Muslim di negeri Rakhine tidak melarikan diri dan lebih 50 peratus daripada kampung mereka masih dalam keadaan baik, katanya.

"Mereka adalah seperti mana mereka sebelum serangan itu berlaku," katanya. "Kami ingin tahu mengapa."

"Inilah, apa yang saya fikir, kami perlu lakukan," kata Aung San Suu Kyi. "Bukan hanya melihat kepada masalah itu, tetapi juga melihat di kawasan yang tiada masalah. Mengapa kita dapat mengelak masalah ini di beberapa kawasan? Atas sebab ini, kami ingin menjemput ahli-ahli komuniti diplomatik untuk menyertai kami dalam usaha untuk megetahui lebih lanjut daripada Muslim yang berjaya berintegrasi di negeri Rakhine. "

Beliau juga berkata, tidak lama lagi Myanmar  akan memulakan proses pengesahan kewarganegaraan bagi pelarian yang melarikan diri, selaras dengan perjanjian dengan Bangladesh pada 1993 yang membenarkan Rohingya yang dapat membuktikan kediaman mereka di Myanmar untuk kembali ke negara ini.

Tidak takut diawasi

Aung San Suu Kyi juga berkata, Myanmar tidak takut diawasi dengan teliti oleh komuniti antarabangsa berikutan krisis di Rakhine, walaupun pegawai PBB menyifatkan krisis itu sebagai "contoh penuh tentang pembersihan etnik," serta meminta pihak berkuasa untuk mengakhiri operasi ketenteraan dan membenarkan akses kemanusiaan di wilayah itu.

"Saya sedar hakikat bahawa perhatian dunia tertumpu kepada keadaan di negeri Rakhine," katanya.

"Seperti yang saya katakan pada Perhimpunan Agung [PBB] tahun lepas, sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, Myanmar tidak takut dengan pengawasan antarabangsa dan kami komited untuk melakukan penyelesaian yang berkekalan bagi membawa keamanan, kestabilan dan pembangunan untuk semua komuniti di negeri itu, "katanya.

Aung San Suu Kyi, yang berkhidmat sebagai kaunselor negara dan menteri luar negeri Myanmar, tidak menghadiri Perhimpunan Agung PBB, mesyuarat tahunan diplomat dan pemimpin dari 193 negara di New York minggu ini, dengan memberi alasan krisis Rakhine yang berlaku di negaranya.

Ketika ditanya oleh Radio Free Asia (RFA), semasa wawancara eksklusif selepas menyampaikan ucapannya, tentang mengapa beliau meminta bantuan komuniti antarabangsa dalam menentukan mengapa orang Rohingya melarikan diri beramai-ramai, Aung San Suu Kyi menjawab, "Tidak ada yang dapat hidup secara terasing pada zaman ini. "

RFA adalah entiti BeritaBenar.

"Globalisasi adalah norma, dan kami perlu mempunyai cukup keberanian untuk mengaitkannya secara global juga," katanya. "Jadi, jika kami melarang lawatan pihak luar [ke Rakhine], ia akan kelihatan seperti ada benda yang kami disembunyikan. Akhirnya, kami perlu bergantung pada diri kita sendiri untuk pembangunan negara kami. "

Kerajaan Myanmar setakat ini enggan memberikan visa kepada misi pencarian fakta PBB, yang dilantik pada awal tahun ini untuk mengkaji laporan-laporan mengenai kekejaman di negeri Rakhine.

Tuduhan yang dibuat oleh komuniti antarabangsa bahawa tentera negara itu telah mencabuli hak di utara Rakhine adalah tidak benar dan amat dikesali, kata Menteri Pertahanan Myanmar Lt. Jen. Sein Win kepada pemberita selepas ucapan Aung San Suu Kyi.

"Seperti yang dikatakan oleh kaunselor negara, kami menjalankan operasi mengikut undang-undang," katanya. "Dan jika ia tidak dilaksanakan mengikut undang-undang, kami akan mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap mereka yang tidak berbuat demikian. Kami akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mencabuli undang-undang. "

"Bagi tuduhan antarabangsa [tentang pencabulan hak oleh pasukan keselamatan], saya harus katakan bahawa ia amat dikesali, kerana ia tidak benar," katanya.

Tentera tidak menggunakan kekerasan dengan berlebihan tetapi sekadar yang diperlukan, kata Sein Win.

Kritikan dari luar negara

Orang Rohingya yang tinggal di Malaysia mengkritik ucapan Aung San Suu Kyi kerana tidak mengakui tentang keganasan yang terpaksa ditanggung Muslim di utara Rakhine akibat perbuatan pihak tentera selepas serangan 25 Ogos lalu.

"Ramai yang sedang menunggu mati," kata Muhammad Nur Islam, Muslim  Rohingya yang merupakan pengarah urusan Rohingya Vision TV di ibu negara Kuala Lumpur, kepada BeritaBenar. "Apa yang dia mahu katakan? Gaya imejnya yang lama sudah tidak lagi berfungsi. Dia adalah sebahagian daripada perbuatan pembunuhan beramai-ramai. Dia adalah rakan subahat. Semuanya berada dalam tangannya jika dia mahu menghentikan perbuatan ini, tetapi dia tidak menghentikannya. "

"Dia yang membuat keputusan untuk membunuh semua orang ini, tetapi dia menyalahkan Rohingya, memanggil mereka sebagai pengganas," katanya.

Salim Majid, seorang wartawan Rohingya yang berpangkalan di Kuala Lumpur, berkata, kampung-kampung Rohingya di utara Rakhine telah dibakar dan pelarian mengendong warga tua di belakang mereka ketika cuba melarikan diri dari keganasan itu hingga sampai ke sempadan Bangladesh.

"Mereka yang diserang di kampung itu mati dalam perjalanan ke sempadan," katanya kepada BeritaBenar. "Apakah Aung San Suu Kyi buta?"

Bagaimanapun, seorang penganalisis di India memberi pandangan yang berbeza mengenai ucapan kaunselor negara Myanmar itu.

"Walaupun ia lebih kepada ucapan diplomatik, adalah baik untuk tahu bahawa kerajaannya ingin mengetahui mengapa orang Rohingya melarikan diri," kata Vinay Kaura, penganalisis dasar luar dari Pusat Kajian Keamanan dan Konflik, kepada BeritaBenar.

Kerajaan nasionalis Hindu India merancang untuk mengusir kira-kira 40,000 pelarian Rohingya, yang berlindung di negaranya, kembali ke Myanmar.

Kumpulan hak asasi beri tindak balas

Sementara itu, Amnesty International yang berpusat di London memberi tindak balas kepada ucapan Aung San Suu Kyi dengan menuduh beliau "menanam kepalanya dalam pasir" berhubung keganasan di Rakhine.

"Ada masanya, ucapan itu hampir menyamai gabungan pembohonan dan menyalahkah mangsa," kata James Gomez, pengarah serantau Amnesty International untuk Asia Tenggara dan Pasifik, dalam satu kenyataan.

"Terdapat banyak bukti bahawa pasukan keselamatan terlibat dalam usaha pembersihan etnik itu," katanya. "Walaupun berasa positif mendengar Aung San Suu Kyi mengutuk tentang pencabulan hak asasi manusia di negeri Rakhine, dia masih berdiam diri tentang peranan pasukan keselamatan dalam hal ini."

Human Rights Watch pada Selasa menyatakan bahawa analisis terkini terhadap imej satelit dari utara Rakhine, dapat dilakukan berikutan awan monsun yang jelas pada 16 Sept, yang menunjukkan berlakunya kemusnahan di hampir 214 kampung di utara Rakhine.

Kumpulan itu mengulangi gesaannya supaya para pemimpin dunia mengadakan pertemuan di PBB minggu ini untuk menerima pakai resolusi Perhimpunan Agung yang mengutuk "pembersihan etnik" tentera Myanmar dan Majlis Keselamatan PBB bagi mengenakan sekatan sasaran dan sekatan senjata di negara itu.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur dan Akash Vashishtha di New Delhi menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.