Studio TV Malaysia Siarkan Berita untuk Tontonan Etnik Rohingya Tanpa Negara

Hareez Lee & Hadi Azmi
2018.01.31
Kuala Lumpur
180131-MY-BD-RVtechnician-1000.jpg Seorang petugas Rohingya Vision TV ditunjuk sebagai berada dalam bilik penyuntingannya di studio saluran itu di Ampang, berhampiran Kuala Lumpur, dalam foto tidak bertarikh.
[Ihsan Rohingya Vision TV]

Di Ampang, sebuah daerah yang kadar sewaannya tinggi di Kuala Lumpur, sebuah studio dan bilik berita kendalian seorang penduduk Rohingya telah menyiarkan secara online perkembangan dramatik di negeri Rakhine, Myanmar untuk tontonan pelarian Rohingya di Bangladesh dan tempat-tempat lain.

Memandangkan akses untuk wartawan ke Rakhine, tempat asal kumpulan etnik tidak bernegara itu, dikawal ketat oleh kerajaan Myanmar, Rohingya Vision TV – seperti yang dinamakannya – bergantung kepada rangkaian berpuluh-puluh sumber dan stringer tempatan tanpa nama untuk maklumat dan imej mengenai berita di sana, kata Muhammad Noor, pengarah urusan merangkap pengasas bersama saluran itu.

“Kami rasa kami tidak boleh menunggu kehadiran media antarabangsa dan meminta cerita kami. Kami perlu memiliki media kami sendiri supaya kami boleh memberitahu versi cerita kami,” kata warga Rohingya berusia 36 itu, yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kepada BeritaBenar.

Operasi berusia lima tahun itu, yang menyebarkan berita mengenai apa yang berlaku di negeri Rakhine, yang terletak di tenggara Bangladesh di mana sejuta pelarian Rohingya berada, dan negara lain, menemui penontonnya menerusi laman sesawangnya sendiri serta platform media sosial lain seperti YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter. Rohingya Vision TV mempunyai 92,000 pelanggan di saluran YouTube sahaja.

Rohingya Vision TV, yang mendakwa sebagai “saluran dan rangkaian TV Rohingya yang pertama di dunia,” ialah satu daripada sekurang-kurangnya lima laman berita berbahasa Rohingya yang beroperasi di YouTube untuk tontonan diaspora Rohingya, seperti yang disaksikan oleh BeritaBenar.

Pada Rabu, saluran itu menyiarkan program “Rohingya Daily News” di YouTube, sebuah video berdurasi 11 minit, yang bermula dengan sekuen pembukaan menunjukkan pembaca menyampaikan tajuk berita pada hari tersebut dalam Bahasa Rohingya. Video itu juga menyatakan bahawa ia “telah dibawakan kepada anda oleh Kelab Perniagaan Rohingya.”

Program pada 31 Jan dimulakan dengan satu laporan mengenai “pengganas beragama Buddha” didakwa telah membakar lebih banyak kediaman di utara  Rakhine, diikuti laporan mengenai Myanmar dan Bangladesh yang menyatakan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk melibatkan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dalam perjanjian dua hala mereka untuk menghantar pulang beratus-ratus ribu pelarian Rohingya ke Rakhine dari Cox’s Bazar, Bangladesh.

Berita hari ini turut menampilkan satu laporan mengenai imam besar Baitul Muqadda, yang juga dikenali sebagai Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis, mengagihkan bekalan bantuan kepada pelarian ketika melawat Cox’s Bazar.

Pegawai kerajaan di Myanmar telah menyangkal dakwaan yang tersebar luas dalam kalangan pelarian dan kumpulan hak asasi manusia bahawa pasukan keselamatan Myanmar telah melakukan kekejaman dalam skala besar-besaran ke atas orang awam Rohingya, meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat telah menyifatkan tindakan keras ketenteraan di Rakhine sejak Ogos 2017 sebagai “pembersihan etnik.” Tindakan itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 655,000 Rohingya melarikan diri dari Rakhine ke tenggara Bangladesh.

Skrin ini diambil daripada sebuah video YouTube, Ajmeer Omar menyampaikan berita Rohingya Vision TV yang bersiaran pada Rabu, 31 Jan 2018. [BeritaBenar]

Skrin ini diambil daripada sebuah video YouTube, Ajmeer Omar menyampaikan berita Rohingya Vision TV yang bersiaran pada Rabu, 31 Jan 2018. [BeritaBenar]

Empat Bahasa, Enam negara

Operasi berita itu mempunyai hampir 100 petugas di enam negara dan menghasilkan kandungan dalam empat Bahasa: Rohingya, Bahasa Inggeris, Burma dan Arab. Selain Malaysia, yang menempatkan satu komuniti ekspatriat Rohingya yang besar, ia secara rasmi beribu pejabat di Arab Saudi dan turut mempunyai pejabat dan studio di Cox’s Bazar – yang menempatkan kem-kem pelarian di Bangladesh – serta di Pakistan dan Cyprus, kata Muhammad Noor.

Beliau enggan memberikan butiran lanjut mengenai sumber pembiayaan saluran itu, selain daripada menyatakan bahawa Rohingya Vision TV dimulakan pada 2012 oleh sekumpulan usahawan Rohingya di tengah-tengah gelombang keganasan antara etnik di Rakhine yang telah menyebabkan sekumpulan besar pelarian Rohingya memasuki Bangladesh.

Ketika operasi saluran itu bermula, “kami meminta beberapa saudagar Rohingya membiayai projek kami, untuk membeli beberapa komputer, peralatan produksi, dan membentuk sekumpulan petugas,” kata Muhammad Noor dalam satu temu bual melalui telefon. Beliau berkata saluran itu terus mencari pembiayaan, termasuk daripada sumber di luar komuniti Rohingya.

“Buat masa ini, kami mempunyai pembiayaan yang mencukupi. Namun kami sedang meluaskan operasi dan sudah tentu kami memerlukan lebih banyak pembiaya untuk membantu kami,” kata Muhammad Noor.

Pada tahun pertama, “RVision,” saluran itu seperti yang dirujuk beliau, mengumpulkan warga Rohingya yang memiliki kemahiran media seperti penyunting video dan jurukamera.

Operasi saluran itu bermula dengan impian untuk menubuh sebuah stesen radio kepada warga Rohingya, namun ia ternyata sukar untuk mendapatkan infrastruktur fizikal di Rakhine, katanya.

“Mengapa kami memanggil RVision satu rangkaian ialah kerana kami mempunyai tiga agensi berita iaitu TV online, TV satelit dan juga sebuah majalah online,” katanya kepada BeritaBenar.

“Kami berkomunikasi dengan banyak NGO antarabangsa untuk memberikan data sebenar kepada mereka, jadi mereka boleh menukar [ini] kepada satu laporan, yang merupakan sebahagian daripada advokasi,” katanya.

Lebih separuh daripada petugas operasi berpangkalan di Rakhine namun ia tidak mempunyai pejabat di sana, menurut Muhammad Noor.

Identiti koresponden rangkaian itu di lapangan dirahsiakan untuk melindungi mereka, katanya.

“Ia bukan seperti di Malaysia atau mana-mana negara lain. Mereka tidak boleh memakai tanda nama atau ke sana ke sini menyatakan, ‘saya pemberita RVision. Saya ingin ke sini dan ke sana.’ Mereka tidak boleh berbuat demikian,” katanya sambil menambah bahawa pemberita terbabit tidak bergerak ke seluruh Rakhine sebaliknya hanya melaporkan secara “rahsia dan diam-diam” mengenai apa yang berlaku di lokaliti mereka.

    Penyampai dan pemberita Ajmeer Omar merakam satu laporan secara langsung di studio Rohingya Vision TV di Ampang, Kuala Lumpur. [Ihsan Rohingya Vision TV]

Penyampai dan pemberita Ajmeer Omar merakam satu laporan secara langsung di studio Rohingya Vision TV di Ampang, Kuala Lumpur. [Ihsan Rohingya Vision TV]

‘Satu-Satunya sumber berita’

Berita yang disiarkan oleh RVision menemui pelarian di Bangladesh menerusi telefon bimbit mereka.

“Kami tidak boleh menonton televisyen di dalam kem. Jadi kami bergantung kepada RVision di YouTube untuk mengetahui sebarang perkembangan mengenai Rohingya,” kata Anwar Sadique, yang tinggal di kem pelarian Lombashiar di Ukhia, sebuah daerah kecil di Cox’s Bazar, kepada BeritaBenar.

“Kami boleh menonton berita mengenai Rohingya di Myanmar melalui RVision. Ini adalah satu sumber yang baik untuk maklumat kami. Untuk mengetahui kebenaran berita itu, kami menghubungi saudara mara kami di Arakan (Rakhine),” katanya.

Abdur Rahman, seorang penghuni kem pelarian Kutupalong, berkata saluran berita itu merupakan “satu-satunya sumber berita mengenai Burma” beliau, merujuk kepada Myanmar dengan nama lainnya.

“Kami, warga Rohingya, percayakan saluran berita ini,” katanya kepada BeritaBenar.


Kamran Reza Chowdhury di Cox's Bazar, Bangladesh turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.