Rosmah gagal heret polis, kerajaan dalam saman AS$14 juta syarikat barang kemas Lubnan

Mahkamah Tinggi putuskan pihak berkuasa tidak perlu bayar ganti rugi kepada isteri bekas perdana menteri itu.
Iman Muttaqin Yusof dan Noah Lee
2024.05.29
Kuala Lumpur
Rosmah gagal heret polis, kerajaan dalam saman AS$14 juta syarikat barang kemas Lubnan Isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 8 Mei 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sebuah mahkamah di Malaysia pada Rabu menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk memasukkan pihak polis dan kerajaan sebagai pihak ketiga dalam kes saman terhadapnya oleh sebuah syarikat barangan kemas selebriti dari Lubnan.

Global Royalty Trading SAL, berpangkalan di Lubnan telah memfailkan saman berjumlah AS$14 juta (RM65.8 juta) terhadap Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas dan menuntut wanita itu memulangkan 44 barang kemas yang dipinjamkan kepadanya pada 2018.

Rosmah bagaimanapun, mendakwa barangan kemas tersebut telah dirampas pihak berkuasa ketika serbuan yang dibuat dalam siasatan berkait skandal 1MDB, selepas Najib kehilangan kuasa pada pilihan raya umum pada Mei 2018.

Rosmah turut mendakwa bahawa pihak polis dan kerajaan bertanggungjawab untuk memberikan pampasan dalam kes tersebut, namun hujahan itu ditolak oleh mahkamah.

Menurut peguam Reza Rahim yang mewakili Rosmah, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ong Chee Kwan memutuskan bahawa polis dan kerajaan tidak perlu membayar sebarang ganti rugi kepada wanita itu.

"Mahkamah tidak membenarkan permohonan pihak kami untuk memasukkan polis dan kerajaan sebagai pihak ketiga dalam tindakan saman berkenaan atas alasan kedua-duanya adalah prima facie dan bukan pesalah laku (boleh dikenakan tindakan sivil), dan tidak berhutang sebarang pampasan kepada beliau (Rosmah).

"Bagaimanapun, anak guam saya berhak memfailkan tindakan saman secara berasingan bagi mendapatkan ganti rugi terhadap sebarang kerugian yang dialami akibat tindakan polis dan kerajaan," kata beliau kepada BenarNews.

Menurut Reza, mahkamah telah menetapkan 2 Ogos depan sebagai tarikh untuk pengurusan kes selanjutnya manakala perbicaraan ditetapkan pada 2 sehingga 6 Jun.

Global Royalty merupakan sebuah syarikat yang membekalkan barangan kemas mewah kepada pelanggan ternama seperti personaliti TV, ahli politik dan ahli keluarga diraja termasuk selebriti Angelina Jolie, Naomi Campbell, Oprah Winfrey serta jutawan dari Timur Tengah.

Pada Mac 2023, syarikat itu memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut wanita itu membayar sejumlah AS$14 juta bagi 44 unit barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang dihantar kepadanya pada 10 Februari 2018.

Global Royalty mendakwa Rosmah telah berbohong apabila mendakwa barang kemas terbabit telah disita oleh kerajaan Malaysia dalam serbuan di premis yang dikaitkan dengan Najib ketika dalam siasatan berhubung skandal dana pelaburan negara 1MDB pada 2018.

Setakat ini, syarikat berkenaan telah berjaya mendapatkan semula satu barang kemas yang dipinjamkannya kepada Rosmah, namun masih gagal mendapatkan 43 yang lain.

Firma itu mendakwa Rosmah atau ejen serta wakilnya telah menerima barang kemas terbabit di Kuala Lumpur, Dubai serta Singapura dan penghantarannya disertakan dengan memorandum yang menerangkan dengan jelas diskripsi, harga serta syarat dan terma berkaitan.

Global Royalty mendakwa Rosmah mengesahkan sudah menerimanya melalui surat bertarikh 22 Mei 2018 namun mendakwa kesemua barangan itu tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah disita dan diletakkan di bawah simpanan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, selepas firma itu membuat semakan dengan pihak berkuasa Malaysia, daripada sejumlah 12,000 unit barang kemas yang disita, hanya gelang tangan emerald berlian yang dianggarkan bernilai AS$220,000 (RM1.03 juta) telah disahkan sebagai milik Global Royalty.

Barangan mewah

Dalam serbuan yang dilakukan semasa siasatan berkaitan skandal 1MDB pada Mei 2018, polis Malaysia telah merampas pelbagai barangan mewah termasuk beg tangan, jam tangan, dan barang kemas termasuk lebih 200 unit beg Hermes Birkins selain wang tunai dengan nilai keseluruhan dikatakan mencecah AS$217.4 juta (RM1.02 bilion).

Penyiasat kes 1MDB menganggarkan syarikat dana pelaburan negara itu telah kerugian sekitar AS$4.5 bilion (RM21.15 bilion) kerana digelapkan melalui pelbagai syarikat tanpa operasi palsu sebelum sampai ke tangan pegawai kerajaan, pegawai bank serta rakan-rakan mereka yang korup.

Kes tersebut turut mengheret pelbagai nama besar di peringkat global termasuk artis hip-hop antarabangsa serta pelakon Hollywood terkenal.

Sebelum Global Royalty memfailkan samannya, Mahkamah Tinggi pada November 2022 telah menolak permohonan kerajaan untuk mengambil alih sejumlah barangan mewah yang dianggarkan bernilai AS$17.4 juta (RM82.3 juta) yang dirampas daripada kondominium milik Rosmah termasuk beg tangan, barangan kemas, jam tangan serta wang tunai sejumla AS$114 juta (RM535.8 juta) dalam pelbagai mata wang.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi untuk mengaitkan barangan mewah berkenaan dengan aktiviti jenayah.

Selain berdepan dengan saman oleh firma barang kemas dari Lubnan, Rosmah juga turut berdepan tindakan undang-undang daripada syarikat dana pelaburan yang terpalit dengan skandal kewangan, 1MDB dan sejumlah entiti lain.

Syarikat-syarikat berkenaan telah memfailkan saman pada awal bulan ini terhadap Rosmah dan seorang pereka fesyen warga Singapura bagi mendapatkan semula wang berjumlah AS$346 juta (RM1.63 bilion) yang dikatakan milik firma tersebut.

Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda RM970 juta (AS$206 juta) ke atas Rosmah, 73, setelah beliau didapati bersalah atas tiga dakwaan jenayah berkaitan projek membekalkan sistem solar hibrid kepada 369 buah sekolah luar bandar di negeri Sarawak.

Tiga pertuduhan yang dihadapi Rosmah ialah kesalahan meminta rasuah RM187.5 juta (AS$39.6 juta) dan dua lagi menerima suapan RM6.5 juta (AS$1.37 juta) berkaitan dengan usaha Jepak Holdings bagi memenangi kontrak bernilai RM1.25 bilion (AS$264.2 juta) itu.

Rosmah telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan mahkamah menetapkan 23 Oktober ini bagi mendengar permohonannya.

Beliau juga masih berdepan perbicaraan sejumlah pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram bernilai RM7.09 juta (AS$1.5 juta).

Suaminya Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor setelah sabit kesalahan menyeleweng RM42 juta (AS$9.5 juta) dana SRC International namun Lembaga Pengampunan telah mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya kepada enam tahun pada Februari.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga masih berdepan perbicaraan dalam kes berasingan yang dikaitkan secara langsung dengan 1MDB, termasuk satu yang berkaitan dengan RM2.3 bilion (AS$487 juta) yang didakwa hilang daripada dana dan didepositkan ke dalam akaun perdana menteri ketika itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.