Kastam Boleh Sita Barang Kemas Dikait dengan Rosmah

Hata Wahari
2018.07.13
Kuala Lumpur, Malaysia
180713-MY-Rosmah1000.jpg Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, meninggalkan Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas memberi kenyataan di Putrajaya, di pinggir Kuala Lumpur, 5 Jun 2018.
AFP

Barang-barang kemas bernilai hampir RM60 juta milik sebuah syarikat dari Lubnan yang dikaitkan dengan Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, mungkin akan dirampas jika didapati dibawa masuk tanpa diisytiharkan kepada pihak kastam kerana ia tertakluk kepada bayaran cukai.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia T. Subromanium pada Jumaat menegaskan bahawa proses pengisytiharan barangan sama ada masuk atau keluar merupakan satu prosedur standard jabatan dan sekiranya proses itu gagal dilaksanakan, ia boleh menyebabkan barangan berkenaan disita.

“Kalau tidak diisytiharkan, barangan berkenaan diumpama sebagai barangan yang diseludup masuk,” demikian kata beliau semasa diminta mengulas mengenai Global Royalty, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan yang telah memfailkan saman untuk menuntut Rosmah memulangkan 44 jenis barang-barang kemas yang dihantar kepadanya pada Februari lalu.

Syarikat dari Lubnan itu telah memfailkan saman sebanyak AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Rosmah bulan lalu atas nilai 44 jenis barang-barang kemas yang dihantar kepadanya Februari lalu, yang telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia semasa menggeledah rumah dan hartanah yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad [1MDB] pada Mei.

Walaubagaimanapun, Subromanium berkata setakat ini, Kastam belum dapat memastikan lagi sama ada barang-barang kemas yang dihantar kepada Rosmah oleh Global Royalty telah diisytiharkan kepada jabatan tersebut atau belum.

Ini adalah kerana pihaknya belum memeriksa atau melihat barang-barang kemas tersebut.

“Agak sukar untuk mengesahkan sama ada barang-barang kemas itu telah diisytiharkan kepada Jabatan Kastam kerana kami belum dapat membuat pemeriksaan," katanya kepada Beritabenar ketika dihubungi pada Jumaat.

Subromanium menjelaskan bahawa pihak polis juga belum menghubungi jabatan itu untuk membolehkan mereka memeriksa barang-barang kemas tersebut.

Beliau berkata barang-barang kemas itu sekarang merupakan bahan bukti kes melibatkan 1MDB dan jabatan perlu memberi pihak polis masa untuk menyelesaikan siasatan mereka sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Peguam enggan ulas

Sementara itu peguam Rosmah, Geetha Ram ketika dihubungi BeritaBenar enggan mengulas perkara tersebut, sambil menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan pada 10 Julai lepas sudah cukup untuk menjelaskan pendirian anak guamnya.

"Saya tidak mahu ulas tentang perkara ini. Kenyataan pada 10 Julai sudah cukup untuk menyatakan pendirian anak guam saya," kata beliau.

Geetha Ram dan Kumarendran yang mewakili Rosmah dalam satu kenyataan pada Selasa lalu berkata, anak guamnya telah memohon kepada polis untuk membenarkan beliau memeriksa barang-barang kemas yang dirampas dalam operasi pihak berkuasa selain untuk menentukan sama ada ianya milik peribadi atau orang lain.

Saman yang difailkan oleh syarikat dari Lubnan terhadap Rosmah dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lepas melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Dalam tuntutannya, firma yang berpangkalan di Beirut itu mendakwa Rosmah adalah pelanggan lama, dan syarikat itu juga menjual barang-barang kemas di seluruh dunia, termasuk kepada keluarga-keluarga diraja.

Global Royalty mendakwa seperti pada tahun-tahun sebelumnya, firma itu akan menghantar barang-barang kemas kepada Rosmah mengikut permintaannya untuk dinilai dan dibeli serta dibayar olehnya atau oleh pihak ketiga.

Firma itu berkata barang-barang kemas yang tidak dipilih kemudian akan dipulangkan.

Global Royalty mendakwa bahawa ada kalanya, Rosmah akan meminjam barang-barang kemas itu, dan beliau atau ejennya akan menerima barang-barang berkenaan di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai dengan memorandum penyerahan. Terma dan syarat-syaratnya sering mengiringi kiriman barang-barang kemas tersebut.

Global Royalty, menerusi memorandum bernombor 926 bertarikh 10 Feb tahun ini, telah menghantar 44 unit barang-barang kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, dengan setiap satu unit bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000.

Firma itu turut mendakwa yang Rosmah, dalam surat bertarikh 22 Mei, mengakui telah menerima barang-barang kemas berkenaan.

"Beliau mengakui secara bertulis mengenai penerimaan barang-barang kemas itu, tetapi tidak lagi dalam jagaannya kerana ia dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia," menurut tuntutan itu.

Dalam tuntutan itu, Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka adalah pemilik sah 44 unit barang-barang kemas tersebut.

Polis pada 27 Jun lepas mendedahkan bahawa barang-barang kemas yang terdapat di hartanah yang dikaitkan dengan Najib pada Mei bernilai RM686.37 juta, tetapi nilainya dalam pasaran semasa boleh meningkat antara RM910 juta sehingga RM1.1 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh Ishar Singh berkata barang-barang rampasan itu terdiri daripada wang tunai berjumlah RM116.7 juta, barang-barang kemas bernilai RM440 juta, 272 daripada 567 beg tangan bernilai RM51.3 juta (Baki 295 masih belum dinilai).

Selain itu turut dirampas ialah 423 jenis jam tangan bernilai RM78 juta dan 234 pasang cermin mata hitam bernilai RM374,0000.

Dalam pada itu, akhbar tempatan Berita Harian melaporkan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun sebagai berkata, Polis belum menerima sebarang pemohonan daripada Rosmah untuk memulangkan barang-barang kemas yang dirampas dalam serbuan berhubung siasatan 1MDB itu.

"Negara kita mempunyai prosedur perundangan yang harus dipatuhi. Beliau (Rosmah) mempunyai hak untuk memohon barang-barang kemas itu dikembalikan tetapi barang-barang berkenaan juga mempunyai kaitan dengan siasatan.

"Namun setakat ini, pihak kami belum menerima sebarang arahan untuk memulangkan barang-barang yang dirampas," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.