Skor Kebebasan Akhbar Malaysia Merosot, kata Reporters Without Borders

Walaupun indeks naik ke tangga lebih tinggi, tetapi Malaysia masih menggunakan tekanan politik untuk halang media.
Nisha David
2022.05.04
Kuala Lumpur
Skor Kebebasan Akhbar Malaysia Merosot, kata Reporters Without Borders Pengarah Operasi dan Kempen Reporters Without Borders (RSF) Rebecca Vincent menunjukkan peta Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022 semasa sidang media di Royal Overseas League, London, England, 3 Mei 2022.
[AFP]

Malaysia jatuh hampir 10 mata dalam laporan tahunan Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 oleh pemantau media antarabangsa Reporters Without Border (RSF), yang dikeluarkan semalam, dengan negara itu dilaporkan berada di tangga lebih tinggi iaitu 113 berbanding 119 pada tahun lepas.

RSF dalam laporannya telah memaklumkan yang enam indikasi telah digunakan dalam menilai penarafan terhadap Malaysia di mana ianya meliputi landskap media, konteks politik, rangka kerja perundangan, ekonomi, sosio-budaya dan keselamatan.

Badan pemantau itu menyatakan bahawa penunjuk tersebut dinilai berdasarkan respons "pakar kebebasan media” yang dipilih, termasuk wartawan, ahli akademik dan pembela hak asasi manusia.

"Skor markah keseluruhan Malaysia merosot daripada 60.53 kepada 51.55. Namun meningkat dari tangga 119 pada 2021 ke 113 bagi tahun ini, " demikian kata RSF dalam laporan indeks yang dikeluarkan setiap tahun sejak 2002.

"Pada zahirnya, Malaysia mempunyai landskap media yang pelbagai, tetapi media kerajaan mempunyai pengaruh yang besar: agensi berita Bernama dan penyiar radio dan televisyen, RTM kedua-duanya bertindak sebagai jurucakap propaganda.

"Banyak media arus perdana bersikap partisan secara terbuka, termasuk Suara Keadilan, sebuah akhbar yang menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan Harakah, sebuah portal harian yang dibiayai oleh Parti Islam Se-Malaysia, PAS.

“Media dalam talian lebih aktif, dan beberapa saluran, seperti Malaysiakini, Between The Lines dan Sinar Harian, menghargai autonomi editorial mereka," kata analisis laporan yang disiarkan di laman sesawangnya pada Selasa.

Menurut laporan itu juga, kerajaan Malaysia menggunakan tekanan politik untuk menghalang media daripada menangani subjek sensitif atau mengkritik ahli politik manakala pegawai kerajaan dan pihak berkuasa terus mengganggu tugas wartawan penyiasatan.

RSF dalam laporannya juga menyebut tentang subjek yang sangat sensitif yang melibatkan monarki, di mana sebarang bentuk ulasan atau pelaporan yang dianggap kritikal terhadap sistem pemerintahan beraja boleh mengakibatkan pendakwaan dan hukuman berat, lalu membawa kepada penapisan kendiri umum apabila melibatkan topik tersebut.

"Kebebasan media secara teorinya dijamin oleh artikel 10 Perlembagaan, yang memperuntukkan kebebasan bersuara. Tetapi undang-undang zalim membenarkan pihak berkuasa menyekat kebebasan ini dengan mengenakan hukuman penjara ke atas wartawan - sehingga 20 tahun bagi mereka yang dituduh melanggar Akta Hasutan 1948 dan 14 tahun penjara untuk Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Akta Komunikasi dan Multimedia memberi kuasa kepada kerajaan untuk membuat kawalan ketat ke atas pengeluaran lesen media, dan ordinan kecemasan "Anti-Berita Palsu" 2021 memberikannya kuasa sewenang-wenang dengan sepenuhnya untuk menuntut penyingkiran mana-mana laporan yang dianggapnya sebagai "palsu"," kata laporan itu lagi.

RSF dalam laporan analisis itu turut menyatakan wujudnya saluran media berkaitan perniagaan berisiko dengan Putrajaya telah menggunakan kawalan keatas sistem pelesenan bagi memastikan dasar editorial yang pro-kerajaan.

"Pemilikan media juga sangat tertumpu, hanya beberapa pemilikan besar yang mengancam kebebasan dan pluralisme keseluruhan sektor, selain adalah lebih mudah bagi mewujudkan saluran media dalam talian selagi ia tidak melepasi garis merah seperti yang ditentukan oleh kerajaan.

"Media berbahasa Melayu, yang dibaca oleh majoriti penduduk, tertakluk kepada lebih banyak penapisan berbanding laporan media bahasa Inggeris, Cina atau Tamil. Namun begitu, isu-isu berkaitan Islam seperti penukaran agama, perkahwinan kanak-kanak dan murtad yang menjadi pantang larang mula mendapat liputan sejak akhir-akhir ini," demikian kata laporan itu.

Laporan sama yang dikeluarkan pada April 2020 menyatakan Malaysia berada di tangga 101, dan 123 pada 2019, satu penurunan ketara semasa negara ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Mahathir, yang menunaikan janji pilihan raya gabungan itu untuk memansuhkan Peruntukan Orwellian bagi Akta Anti-berita palsu yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak.

Malaysia berada di indeks antara 145 dan 147 dalam laporan RSF selama beberapa tahun semasa dibawah Najib.

Laporan juga RSF mengukur tahap kebebasan yang dinikmati oleh wartawan di 180 buah negara yang ditentukan oleh pengumpulan maklumbalas pakar berdasarkan kepada soal selidik dengan 123 soalan kualitatif.

Soal selidik pada 2022 telah dikemas kini untuk mengambil kira cabaran baharu dengan lebih baik, termasuk yang dikaitkan dengan pendigitalan media.

Akses media sama rata

Sementara itu, Centre for Independent Journalism (CIJ) meminta kerajaan Malaysia untuk melaksanakan beberapa cadangan pembaharuan media dengan kadar segera termasuk menjamin akses liputan sama rata kepada semua media tanpa mengira gabungan, medium amalan atau lokasi geografi.

"Tidak seharusnya ada sekatan atau diskriminasi terhadap akses media kepada sidang akhbar kerajaan, acara, pilihan raya, pendengaran awam, mahkamah, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

"COVID-19 tidak boleh lagi digunakan sebagai alasan untuk mengehadkan akses media dengan sewenang-wenangnya, dan sebarang sekatan sedemikian mestilah sah, perlu, dan berkadar dalam mengawal penyebaran COVID-19," kata CIJ dalam kenyataan medianya itu.

Pusat berkenaan turut meminta kerajaan berhenti menggunakan undang-undang yang bersifat menindas seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Kerajaan Malaysia juga perlu membuat semakan segera untuk sama ada meminda atau memansuhkan undang-undang tersebut. Melalui cara itu juga akan melangkaui retorik biasa atau janji yang dibuat oleh ahli politik sebelum ini dan dapat merealisasikan reformasi media dan menegakkan hak Perlembagaan.

"Penubuhan Majlis Media Malaysia juga akan menyaksikan penubuhan sebuah badan kawal selia kendiri yang telus dan bebas bagi industri, dan menghapuskan penglibatan kerajaan dalam menindas media. Dengan adanya majlis media,ia akan mengurangkan pengaruh politik dan komersial pada kandungan media," katanya lagi.

Susulan kemerosotan prestasi Malaysia dalam indeks tersebut, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi, yang juga seorang bekas wartawan berkata laporan RSF menunjukkan bahawa Malaysia berada dalam era baru polarisasi.

Katanya dengan mengambil langkah ke hadapan, ia bukanlah bertujuan menghalang kebebasan bersuara dan media tetapi menyediakan ruang yang selamat dan juga menggalakkan perbualan sivil secara terus terang.

Wong yang juga merupakan anggota Parti Tidakan Demokratik (DAP) mahu Putrajaya segera membentuk majlis media yang telah lama tertunggak sebagai badan kawal selia untuk memudahkan, melindungi dan mengawal selia kebebasan media di negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.