Malaysia lulus Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok
2023.11.30
Kuala Lumpur

Parlimen Malaysia pada Khamis telah meluluskan satu Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok meskipun terdapat ramai Ahli Parlimen dari kedua belah pihak tidak berpuas hati dengan pengguguran klausa Generasi Penamat Rokok (GEG) dari RUU tersebut.
Seramai 27 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian semasa perbahasan pembentangan sejak semalam telah mempersoal mengenai pengguguran peruntukan GEG dengan segelintir mendakwa keputusan itu dibuat ekoran tekanan dari industri tembakau.
Pengguguran klausa GEG yang antara lain melarang individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 daripada memiliki, membeli mahupun merokok termasuk penggunaan vape dengan bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, bagaimanapun telah dikeluarkan ketika bacaan pertama RUU tersebut pada Selasa dengan alasan faktor diskriminasi umur
“Pengguguran peruntukan GEG daripada RUU ini merupakan satu keputusan secara kolektif atau kebertanggungjawaban bersama dari pihak kerajaan,” kata Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa semasa penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau juga membidas sambil menjelaskan pengguguran peruntukan tersebut adalah berikutan keprihatinan Peguam Negara Malaysia mengenai ketidaksamarataan dan diskriminasi dari sudut layanan undang-undang bagi individu yang lahir sebelum dan selepas 1 Januari, 2007.
“Merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara, terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG dengan memberi layanan yang berbeza terhadap seorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 berbanding layanan orang lahir selepas itu.
“Oleh itu pihak Jabatan Peguam Negara mempunyai pandangan bahawa peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” kata Zaliha sambil merujuk kepada Perkara 8 yang memperuntukkan “semua orang adalah samarata disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang samarata di sisi undang-undang.”
Walaupun terdapat desakan dan ketidakpuashatian oleh Ahli-ahli Parlimen dari kedua pihak berkaitan GEG, RUU itu bagaimanapun diluluskan dengan lebih bersetuju semasa undian suara di peringkat dasar yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul selepas bacaan kali kedua oleh Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa.
Zaliha bagimanapun tidak memberi sebarang maklum balas terhadap dakwaan Ahli Parlimen tentang pengaruh industri tembakau yang memainkan peranan dalam keputusan kerajaan menggugurkan GEG dari RUU itu.
Larangan pembelian rokok ke atas golongan bawah umur di negara itu diselia di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Akta Makanan 1983, yang juga telah dipinda.
Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang memperkenalkan RUU berkaitan GEG pada tahun lalu, berkongsi kekecewaan atas pengguguran peruntukan GEG pada Selasa.
“Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan. Saya gubal GEG demi kesihatan awam dan bentang di Parlimen, sebelum ini. RUU ini mengandungi langkah pengawalan bagi penjualan vape dan GEG serta mendapat sokongan komuniti kesihatan awam.
“Mereka mahu vape diharamkan, namun kita berjaya mencari jalan tengah dengan memasukkan peruntukan mengenai GEG. Kini ia digugurkan,” kata beliau di dalam akaun media sosial miliknya.
Baru-baru ini, Malaysia telah menyasarkan pengurangan tabiat merokok di negara itu daripada 21 peratus kepada lima peratus menjelang 2045.
Tunduk tekanan
Sementara itu, Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan, Hassan Abdul Karim semasa perbahasan di Parlimen pada Rabu berkata, “Saya tidak menafikan RUU yang dibentangkan ini mempunyai tujuan yang baik tapi saya berpendapat kita mengalah kepada industri tembakau yang besar ini.”
“Kita hendak selamatkan generasi akan datang. Harapan di luar sana ramai yang menyokong supaya anak-anak yang lahir selepas 2007 tidak boleh menghisap rokok demi kebaikan dari segi kesihatan tapi sekarang nampaknya, ‘business as usual’ (keadaan seperti sediakala),” tambah beliau lagi.
Mohd Suhami Abdullah, Ahli Parlimen dari blok pembangkang juga berkongsi pandangan yang sama dengan Hassan yang mendakwa pengguguran peruntukan GEG dari RUU itu jelas menunjukkan kerajaan “mengikut telunjuk industri tembakau dan vape.”
Dalam pada itu, Kelvin Yii, seorang lagi Ahli parlimen dan juga merupakan penasihat khas kepada Menteri Kesihatan telah menafikan tuduhan kononnya kerajaan tunduk kepada tekanan dari pelobi industri tersebut.
“Ada yang kata lobi-lobi industri berkuasa dan kita (kerajaan) tunduk, secara jujur saya berkata ini juga sebahagian daripada demokarasi. Setiap akta melalui proses melibatkan lobi. Kenapa cuma dalam isu ini kita kata kerajaan tunduk ada industri?” soal beliau.
Beliau kemudian menjelaskan di dalam akaun media sosialnya ‘lobi’ yang dimaksudkan adalah pihak lain yang mengetengahkan pandangan dan hujah mereka, dari kedua belah pihak dan bukannya lobi yang melibatkan duit atau sebarang pengaruh yang tidak wajar.
Badan pemerhati kesihatan CodeBlue memetik laporan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi terkini yang menyatakan bahawa daripada 34 juta populasi Malaysia, telah berlaku peningkatan sebanyak 9.8 peratus penggunaan rokok elektronik di kalangan remaja pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022, manakala jumlah yang menghisap rokok pula menurun daripada 13.8 peratus kepada 6.2 peratus.
Seorang pakar polisi kesihatan Azrul Mohd Khalib pula berkata kejayaan kerajaan dalam meluluskan RUU tersebut merupakan permulaan baharu setelah berdekad lamanya usaha diambil untuk memastikan Malaysia pada akhirnya mempunyai satu rang undang-undang khusus yang melibatkan tembakau dan produk merokok.
“Ini adalah satu pencapaian besar. Ia akan membawa undang-undang dan peraturan di Malaysia seiring dengan peredaran zaman memandangkan yang sedia ada agak jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan cabaran yang dihadapi berikutan perkembangan teknologi dan inovasi.
“Ini juga akan menjadi asas kepada pindaan dan peraturan (yang bakal digubal) pada masa akan datang,” kata beliau kepada BenarNews pada Khamis.