Kartun RUU 355, Nanyang Siang Pau Diberi Surat Tunjuk Sebab

Hata Wahari
2017.04.11
Kuala Lumpur
170411-my-nangyang-620.jpg Sebahagian daripada penyokong Akta 355 yang berkumpul di Padang Merbok, Kuala Lumpur, menyatakan sokongan mereka, 18 Februari 2017.
AFP

Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada sebuah akhbar harian berbahasa Cina terbesar di negara itu kerana didapati menghina Speaker Parlimen dan Presiden sebuah parti Islam dalam lakaran kartun yang diterbitkannya berkaitan pembentangan pindaan Rang Undang-undang Syariah baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alwi Ibrahim pada Selasa memberi tempoh tiga hari kepada Nanyang Siang Pau Sdn Bhd untuk menjawab surat tunjuk sebab selepas akhbar berkenaan menerbitkan lakaran kartun Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia dan Presiden Parti Islam Se-Malaysia [PAS] Abdul Hadi Awang sebagai monyet.

Bertajuk "Akta Monyet", kartun yang disiarkan Nanyang Siang Pau memaparkan dua ekor monyet yang seekornya bersongkok dan dilabelkan sebagai "speaker" dan seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai "Hadi Awang" bertenggek di pokok yang berlabel "Akta 355".

“Tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan peraturan dan prosidur yang ditetapkan," kata Alwi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Suratkhabar itu diberikan surat tunjuk sebab, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana telah dianggap, menghina kedua-dua pemimpin itu, ketika pembentangan Rang Undang-undang 355 (RUU355).

Karikatur itu dikatakan mempersendakan Abdul Hadi selepas pemimpin berkenaan membentangkan pindaan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau juga dikenali sebagai Akta 355 pada Khamis lepas.

Semalam, akhbar yang dimiliki oleh jutawan balak Tiong Hiew King, telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas penyiaran karikatur itu dan menarik balik penerbitannya.

Selain surat tunjuk sebab, Alwi berkata, kementerian itu juga memanggil ketua pengarangnya berhubung isu karikutur yang dilihat boleh memudaratkan ketenteraman awam serta menggalakkan perasaan niat jahat, pemusuhan, kebencian dan pra sangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

“Ia secara tidak langsung mempersendakan Parlimen dan Agama Islam kerana Rang Undang-Undang (RUU)355 yang digambarkan dalam karikatur itu berkaitan dengan hal ehwal Agama Islam,” tambah Alwi.

Kira-kira 100 ahli dan penyokong PAS berhimpun di luar pekarangan pejabat Nanyang Siang Pau di Petaling Jaya, pada pagi Selasa yang menggesa KDN bertindak ke atas akhbar berbahasa Cina itu kerana mencetuskan ketegangan agama menurut laporan Malaysiakini.

Penolong Setiausaha Pemuda PAS, Nurul Islam Mohd Yusof, mendakwa akhbar berkenaan telah mencetuskan ketegangan agama dan mahu kerajaan membatalkan permit penerbitannya.

Tindakan berlebihan

Kontroversi pindaan rang undang-undang yang bertujuan mengukuhkan lagi sistem Mahkamah Syariah di Malaysia telah dibawa semula di Parlimen pada Khamis lepas tetapi ianya tidak kekal lama apabila Speaker Dewan menunda perbahasannya ke persidangan parlimen akan datang, sehingga menyebabkan timbulnya bantahan dan kekecohan dari anggota pembangkang.

Rang undang-undang tersebut dibentangkan kali pertama pada 26 Mei dan kemudiannya pada 24 November tahun lepas tetapi penerangan lanjut mengenai usul tersebut dibawa ke sesi kali ini.

Ianya dibawa semula ke Parlimen selepas berlakunya pelbagai insiden termasuk pertelingkahan di dalam dan luar dewan dengan pemimpin parti gabungan pemerintah UMNO, dan spekulasi bahawa parti tersebut akan menjalin hubungan dengan PAS untuk membolehkan bil berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat itu.

Satu langkah yang lebih mengejutkan pada Mei tahun lalu, salah seorang menteri kabinet Najib meminta untuk mempercepatkan perbahasan rang undang-undang berkenaan.

Dalam pada itu, tiga parti pembangkang Malaysia yang mempunyai anggota beragama Islam mengiktiraf hak PAS membentangkan rang undang-undang itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengeluarkan kenyataan berkaitan itu.

Anwar dalam satu kenyataan menegaskan pembentangan RUU355 pada 6 April lalu itu bukanlah percubaan untuk melaksanakan hudud dan jaminan yang diberi itu tidak terpakai kepada bukan Islam kerana ia akan dibuat dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Langkah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah wajar dipersetujui secara prinsipnya oleh semua tetapi yang dikesalkan ialah kesempatan untuk berbahas dinafikan oleh Speaker Dewan Rakyat kerana menangguhkan sidang dan ini jelas bertentangan dengan amalan demokrasi dan prinsip syura serta perundingan dalam Islam,” kata Anwar.

“Apa yang menjadi tanda tanya ialah kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak akan mengambilalih RUU tersebut dan membentangkannya seperti dicadangkan atau dengan pindaan serta perubahan, jika ada,” tambah Anwar.

Manakala isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, pendirian PKR sama ada menyokong Rang undang-undang persendirian itu hanya akan dibuat setelah perbahasan dilakukan dan Perlembagaan Persekutuan dilindungi.

“Mana-mana pindaan undang-undang sedia ada mesti mematuhi dan memenuhi prinsip murni keadilan dan kesaksamaan dalam Islam serta tidak bercanggah daripada teks dan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia,” kata Wan Azizah

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Muhyiddin Yassin pula menegaskan bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaan mana-mana undang-undang Islam hendaklah sentiasa berlandaskan prinsip keadilan dan rahmah, selaras dengan Islam sebagai sebuah agama rahmat untuk sekalian alam.

“Mahkamah syariah adalah sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk melaksanakan keadilan menerusi pelaksanaan undang-undang. Pelaksanaan Akta 355 ini mestilah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," ujar beliau dalam satu kenyataan.

Parti Amanah Negara juga telah bersetuju untuk memperkasakan mahkamah syariah Malaysia melalui saluran parlimen.

“Ke arah itu Amanah telah memberikan pandangan dan cadangan pindaan yang konstruktif berkaitan usul persendirian RUU355 yang ingin dibawa Ahli Parlimen Marang,” Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara berkata dalam satu kenyataan pada Disember tahun lepas.

Pada masa ini, mahkamah syariah Malaysia boleh mengenakan hukuman maksima penjara tiga tahun, denda maksima RM5,000 (AS$1,214) dan sebat sehingga enam kali.

Pindaan Rang undang-undang itu mencadangkan peningkatan hukuman di mana Hakim Mahkamah Syariah boleh mengenakan hukuman penjara lebih 30 tahun atau denda lebih daripada RM100,000 (AS$ 22,557) dan sebat sehingga 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah.

Hampir kesemua orang Melayu di Malaysia beragama Islam; dan kira-kira 61% daripada 30.5 juta rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa beragama Islam. Bagaimanapun, ramai juga rakyat dari kaum Cina, India dan orang asli yang bukan Islam.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.