Rakyat Malaysia, Indonesia Didakwa Cuba Sertai Militan Di Filipina
2017.07.11
Kota Kinabalu, Sabah

Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa mendakwa tiga lelaki, dua daripadanya warga Indonesia di sebuah mahkamah di Sabah, negeri timur negara itu, atas tuduhan cuba menyertai kumpulan pengganas di selatan Filipina bulan lalu.
Tertuduh seorang rakyat tempatan, Nor Azmi Zahyi, 48, bersama dua warga Indonesia, Faisal Abu Bakar, 24, dan Ali Misron, 36, didakwa masing-masing dengan satu pertuduhan mempunyai niat hendak ke Filipina menerusi Malaysia bagi melakukan perbuatan pengganas.
Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen Sandakan, Ummu Kalthom Abdul Samad.
Berdasarkan pertuduhan, Nor Azmi dan Faisal telah ditahan oleh polis Anti-Keganasan Malaysia di hadapan kedai Jashidah Butik Collection, Jalan 3, Pusat Bandar Sandakan pada 15 Jun lalu, kira-kira jam 12.20 tengah hari untuk ke Filipina.
Manakala Ali pula ditahan pada jam 6.15 petang di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sandakan pada hari yang sama.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan (Akta 574), dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan didenda.
Dua warga Indonesia itu juga didakwa masing-masing dengan satu pertuduhan lain iaitu memiliki senjata dan barang berkaitan kumpulan pengganas.
Faisal dituduh memiliki tiga pisau berukuran 27.3 cm di tempat dan masa yang sama. Pertuduhan itu dibuat dibawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Api 1968 (Akta 357) yang membawa hukuman penjara maksima 10 tahun jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Ali didakwa memiliki item berkaitan kumpulan pengganas dan Negara Islam (IS) ketika ditahan oleh pihak berkuasa. Tertuduh bakal berhadapan dengan penjara maksima tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa Kunyalam dengan Hakim Ummu Kalthom menetapkan sebutan semula kes pada 22 Ogos ini.
Berjaga-jaga
Negeri Sabah yang bersempadan dengan selatan Filipina telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga apabila bermulanya pertempuran antara pihak tentera Filipina dengan militan di bandar Marawi, Mindanao, Filipina, sejak 23 Mei lalu.
Sejak pertempuran itu berlaku, penduduknya telah meninggalkan bandar itu dan jumlah kematian akibat pertempuran tersebut dilaporkan hampir 500 termasuk 39 orang awam dan 87 askar dan polis.
Pihak berkuasa berkata, militan Filipina yang diketuai pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, mendapat sokongan para pejuang Indonesia, Malaysia, Singapura dan Timur Tengah, dan ini membangkitkan kebimbangan bahawa IS telah menetapkan sasarannya untuk menubuhkan pangkalan serantau di selatan Filipina yang bergolak beberapa dekad lamanya sejak menjadi sarang pengganas.
Kerajaan Filipina, Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menyelaraskan usaha memerangi keganasan selepas terdapat kebimbangan bahawa IS sedang berusaha menubuhkan pangkalan serantau di Marawi, dan para pegawai dan penganalisa keselamatan menyatakan tentang perlunya usaha yang lebih bersepadu untuk memerangi kebangkitan militan.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia memberkas 310 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dan daripada jumlah itu, sebanyak 66 telah dibebaskan, demikian menurut statistik kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.
Selain itu, sejumlah 31 orang anggota militan rakyat Malaysia telah terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 56 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit, kata seorang pegawai atasan unit anti-keganasan Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay.