Perkhidmatan Feri Kedua Antara Kudat dan Palawan Beroperasi Mac Depan
2017.12.15
Kota Kinabalu, Sabah

Perkhidmatan feri kedua bagi laluan Kudat di Sabah dan Pulau Palawan, di selatan Filipina yang ditunggu-tunggu sekian lamanya akan beroperasi pada Mac depan, dengan ciri keselamatan ditingkatkan di mana marshal akan berada di atas feri sebagai usaha menangani kemungkinan berlakunya ancaman dan penculikan.
James Ibrahim dari Borneo Fort Trading Sdn Bhd, syarikat yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan feri dari Kudat, dengan usahasama syarikat Fish Cat Ferry di Filipina, yang akan mengendalikan perkhidmatan harian, yakin bahawa pada Mac depan, perkhidmatan sulung untuk laluan berkenaan akan dilancarkan.
"Misi kami adalah untuk menghubungkan pulau-pulau Filipina dengan negara jiran melalui perkhidmatan pengangkutan feri yang selamat, cepat dan mudah bagi penumpang serta kargo. Kami melihat sektor ini mempunyai potensi untuk berkembang dengan pesat, " tambah James, yang juga Pengarah Urusan syarikat dari Sabah itu.
Menurutnya, Palawan adalah sebuah destinasi percutian antarabangsa yang ideal untuk penduduk Sabah, dengan pelancong asing yang bercuti di Palawan akan turut dapat merasai Sabah.
"Percubaan laluan itu akan dibuat pada minggu ke-3, Januari depan untuk tempoh satu minggu, sebelum perkhidmatan sulung dilancarkan pada Mac," kata James sambil menambah perkhidmatan yang dikenali sebagai feri dari “Hujung Borneo” [Tip of Borneo] itu, sepatutnya bermula pada bulan ini, tetapi disebabkan masalah teknikal, memaksa syarikat pengendali perkhidmatan berkenaan melambatkan pelancarannya.
Perjalanan untuk laluan antara Kudat ke Pelabuhan Bululuyan di Palawan akan mengambil masa selama enam jam; bergantung kepada keadaan cuaca dengan jadual waktu perkhidmatan akan diselaraskan bagi mengelakkan perintah berkurung di perairan wilayah Malaysia.
Kudat di utara Sabah, adalah antara bandar yang berada dibawah perintah berkurung dari senja ke subuh seliaan Zon Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), yang penguatkuasaannya merentas sehingga ke Tawau.
Borneo Fort Trading Sdn Bhd merancang untuk mengenakan bayaran RM250 [AS$61] untuk kelas perniagaan, dan RM200 [AS$49] bagi kelas ekonomi, manakala untuk kanak-kanak, pelajar, warga emas dan orang kurang upaya akan diberi kadar diskaun.
"Kapasiti bagi feri itu adalah seramai 275 penumpang dengan muatan 40 buah kenderaan bagi satu masa, tetapi dijangka yang muatan kenderaan, belum lagi boleh dibenarkan buat masa ini. Kami bagaimanapun sedang mengusahakan mengenai perkara berkenaan, " tegas James yang enggan memberi butiran lanjut mengenai perkara itu.
Marsyal di atas feri
Perkhidmatan feri itu, walaupun sangat dialu-alukan, turut menerima luahan kebimbangan berkaitan dengan ancaman keselamatan.
Kudat dan Palawan, walaupun berada jauh dari Perairan Sulu yang menghadapi masalah rentas sempadan dan penculikan oleh kumpulan Abu Sayyaf [ASG], terdapat juga kes penculikan di sekitar kepulauan Palawan itu oleh kumpulan militan berkenaan.
Semasa ditanya mengenai keputusan kedua-dua syarikat berkenaan mengenai cadangan untuk meletakkan marshal keselamatan di atas feri, James yang enggan mengulas lebih lanjut hanya memberitahu yang rakan kongsinya dari Filipina sedang mengkaji mengenai perkara berkenaan, dan tidak mahu menyatakan jumlah marsyal yang akan berada di atas feri bagi setiap perjalanan laluan itu.
Hazani Ghazali, Komander Esscom semasa dihubungi BeritaBenar, enggan mengulas lanjut mengenai aspek keselamatan melibatkan perkhidmatan feri itu tetapi pemimpin parti pembangkang Sabah, Terrence Siambun tidak menafikan yang faktor keselamatan adalah perkara penting yang perlu diambil kira oleh pengusaha perkhidmatan feri dalam memastikan keselamatan penumpang mereka.
"Sudah tentu, saya bersetuju bahawa perkhidmatan itu dapat mempertingkatkan sektor perniagaan antara kedua-dua bandar, tetapi faktor keselamatan tidak harus dikompromi dan kerajaan (Malaysia) mesti memastikan Kudat tidak menjadi pintu masuk kepada anasir-anasir yang tidak diingini,” kata Terrence, seorang pemimpin pembangkang mewakili Parti Warisan Sabah.
Beliau juga mahu Jabatan Imigresen Malaysia supaya lebih tegas dalam penguatkuasaannya dan menghalau warga Filipina yang tamat tempoh visa untuk pulang ke negara mereka.
"Memiliki tiket kembali tidak menjamin mereka untuk pulang. Mereka boleh sahaja dengan mudah menyusup masuk dan terus menghilangkan diri. Terdapat terlalu banyak warga asing, secara sah dan tidak sah di Sabah dan kami tidak mahu orang lain masuk ke negeri kami kecuali pelancong tulen, " tambah Terrence.
Penyeludupan dan jenayah rentas sempadan banyak dilaporkan berlaku di hampir kesemua pantai timur Sabah dan pulau-pulau di selatan Filipina. Antara barangan yang sering diseludup dari Sabah ialah beras, tepung, gula, minyak masak, sardin dan tangki LPG kecil, manakala rokok, alkohol dan syabu (Filipina Methamphetamine) diseludup masuk ke Sabah.
Laluan itu juga terkenal dengan penyeludupan manusia yang mahu menyelinap masuk dari dan ke Sabah atau selatan Filipina.
Dari bandar sepi ke bertenaga
Sapdin Ibrahim, Pegawai Daerah Kudat berpendapat perkhidmatan feri dari Sandakan ke Zamboanga akan dapat meningkatkan kegiatan ekonomi di daerah itu serta memberikan kesan positif bagi penduduk setempat dan seterusnya.
"Bandar Kudat boleh berubah daripada sebuah bandar sepi ke sebuah pusat yang bertenaga apabila pelancong dari Palawan mula menuju ke selatan," tambah beliau.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Joniston Bangkuai berkata kepada BeritaBenar, "Saya dimaklumkan yang Palawan adalah sebuah destinasi popular di kalangan pelancong asing, dan semoga permulaan perkhidmatan feri itu akan mendorong mereka untuk melawat Sabah,"
Lembaga Pelancongan itu, katanya tidak sabar untuk melakukan aktiviti promosi di Palawan, dan yakin perjalanan menaiki feri selama enam jam dari Palawan akan memberi peluang kepada pelancong untuk meneruskan percutian mereka ke Sabah.
"Perkhidmatan feri itu juga sudah pasti akan meningkatkan hubungan perdagangan dan pelancongan antara rakyat kedua-dua negara, "katanya.
Rahezzal Shah, Felo Kanan dengan sebuah badan bukan kerajaan di Sabah – Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Masyarakat Sabah (SEEDS) - bersetuju bahawa laluan itu akan membuka lebih banyak peluang ekonomi terutamanya pelancongan.
"Ini adalah masa yang menarik untuk masyarakat di Kudat dan diharapkan dapat mengembangkan peluang ekonomi yang berkaitan dengan pelancongan bagi Kudat," katanya kepada BeritaBenar.