Malaysia Guna Pas Khas Kendalikan Rakyat Asing di Sabah

Noah Lee & Zam Yusa
2020.01.13
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu
200113-MY-Sabah-Security1000.jpg Wanita Filipina menjual pelbagai makanan laut di Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, 4 Julai 2018.
[Reuters]

Malaysia akan memperkenalkan pas untuk imigran pada Jun ini bagi membantu pihak berkuasa mengesan rakyat asing di Sabah, kata para pegawai, manakala penganalisis melihat langkah itu bertujuan menyukarkan militan keluar dan masuk dari selatan Filipina yang terletak berhampiran negeri itu.

Cadangan Pas Sementara Sabah atau singkatannya PSS akan membantu menyeragamkan pelbagai dokumen yang dipegang oleh warga asing di negeri Malaysia Timur itu selain memudahkan operasi penguatkuasaan undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

"PSS adalah mekanisme kawalan yang akan memberikan maklumat tentang keberadaan dan pergerakan rakyat asing di Sabah," kata Muhyiddin kepada pemberita pada hujung minggu lalu.

Sabah, yang terletak di Borneo Malaysia, mempunyai 3.9 juta penduduk termasuk kira-kira 1.1 juta yang bukan warganegara Malaysia, menurut statistik rasmi.

Pada September lalu, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Sabah bersetuju untuk mengeluarkan kad pengenalan baru bagi menggantikan tiga dokumen yang dikeluarkan kepada rakyat asing yang tinggal di Sabah.

Rakyat Filipina, yang melarikan diri ke Sabah selepas pertempuran berdarah antara pasukan kerajaan dan pemberontak pemisah Islam di selatan Filipina pada awal tahun 1970-an, memegang pas pelawat  IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Pemegang IMM13 dibenarkan tinggal di Sabah dan menerima pelbagai faedah lain termasuk perkhidmatan perubatan dan akses kepada pendidikan. Untuk memudahkan transaksi bank, rakyat asing yang tinggal di Sabah juga memperkenalkan diri mereka dengan menggunakan  dokumen yang dikeluarkan oleh ketua menteri negeri itu atau sijil banci.

Muhyiddin, yang bercakap semasa pada sau majlis di bandar Papar di Sabah, berkata kad PSS akan mengandungi ciri-ciri keselamatan termasuk biometrik pemegangnya. Ia boleh diperoleh selepas membayar yuran sebanyak RM120 (US $ 29) dan mesti diperbaharui setiap tiga tahun, kata pegawai.

Lebih daripada 136,000 orang yang tinggal di Sabah layak mendapat kad PSS, kata Muhyiddin.

"Dengan maklumat dan rekod yang teratur, sebarang tindakan jangka panjang boleh dilaksanakan dengan lebih strategik," lapor agensi berita kerajaan, Bernama, yang memetik Muhyiddin sebagai berkata.

Kad PSS tidak memberi taraf pemastautin tetap kepada rakyat asing dan tidak akan memberikan jaminan bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

Penganalisis: PSS kesan rakyat asing yang ada kaitan pengganas


Profesor dan pakar penghijrahan di Universiti Malaysia Sabah Wan Shawaluddin Wan Hassan berkata ciri-ciri keselamatan pas itu membolehkan pihak berkuasa menentukan sama ada pemegang dokumen itu mempunyai hubungan atau kaitan dengan pengganas.

"Ciri-ciri keselamatan itu boleh digunakan untuk mengesan anggota kumpulan Abu Sayyaf," katanya kepada BeritaBenar, dengan merujuk kepada kumpulan berkaitan Negara Islam (IS) yang berpusat di dalam dan sekitar pulau Jolo dan Basilan di bahagian barat daya Filipina.

Pada  Mei 2017, pemimpin Abu Sayyaf Isnilon Hapilon mengetuai para pejuang yang menyokong IS dari Filipina dan negara-negara lain menawan bandar Marawi di selatan Filipina. Tindakan itu membawa kepada pertempuran selama lima bulan dengan pasukan keselamatan kerajaan yang akhirnya memusnahkan bandar itu selain menyebabkan 1,200 orang yang kebanyakannya militant terbunuh.

Cadangan untuk mengeluarkan pas pengenalan baru itu menerima reaksi bercampur-campur daripada penduduk Sabah, dengan kebanyakan meminta pengusiran segera rakyat asing yang tinggal di negeri itu.

"Kerajaan harus mengusir pemegang IMM13 ke negara asal mereka," kata penduduk Sabah Sylvia Rosli kepada BeritaBenar. "Dokumen itu dikeluarkan semasa perang [di selatan Filipina]."

Beliau berkata dasar yang sama harus diterima pakai untuk rakyat asing yang memegang dokumen pengenalan diri yang lain.

"Apabila semuanya sudah diselesaikan, barulah difikirkan pengeluaran pas untuk mereka," katanya.

 

Shuyang Ana di Kota Kinabalu turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.