Dua Lagi Kanak-kanak di Sabah Dijangkiti Virus Polio

Noah Lee & Shuyang Ana
2020.01.10
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu, Malaysia
200110-MY-Polio-Sabah1000.jpg Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah menitiskan vaksin polio kepada seorang kanak-kanak dalam program imunisasi polio di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, 10 Jan, 2020.
[Shuyang Ana/BeritaBenar]

Malaysia pada Jumaat mengumumkan bahawa dua kanak-kanak bukan kerakyatannya telah disahkan dijangkiti virus polio di dua daerah di timur Sabah, sekaligus menjadikan tiga kes telah dilaporkan di negeri itu sejak Disember lepas.

Kementerian Kesihatan melalui Ketua Pengarahnya Noor Hisham Abdullah berkata, pengesahan dua kes terbaharu itu diperolehi hasil daripada keputusan ujian makmal yang diperolehi pada Khamis yang menyatakan dua kanak-kanak berkenaan telah dijangkiti virus Polio.

"Selepas mengambil sample najis bagi dua kanak-kanak berkenaan dan dihantar untuk menjalani ujian makmal di World Health Organization Polio Regional Reference Laboratory (WHO Polio RRL) di Melbourne, Australia mendapati mereka dijangkiti virus polio. Kedua-duanya kini masih dirawat di hospital di Sabah dan dalam keadaan stabil.

“Ujian makmal WHO Polio RRL di Australia itu juga mendapati bahawa virus polio yang menjangkiti ketiga-tiga kes di Sabah, mempunyai perkaitan genetik dengan kes polio di Filipina,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau memberitahu virus polio itu dikesan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bukan warganegara berumur 11 tahun dan menetap di Kinabatangan, Sabah selapas beliau mengalami deman pada 17 November lepas dan mendapatkan rawatan di klinik di negeri tersebut.

“Kanak-kanak yang tidak pernah mendapat sebarang imunisasi telah dimasukkan ke hospital pada 1 Disember lepas, setelah mengadu sakit di bahagian belakang dan tidak boleh berjalan. Pesakit kini boleh berjalan dengan bertongkat.

“Seorang kanak-kanak lelaki juga bukan warganegara berumur 8 tahun yang menetap di Sandakan telah mengalami demam pada 9 Disember lepas dan tiga hari kemudian beliau tidak boleh berjalan. Kanak-kanak itu yang turut tidak pernah menerima sebarang imunisasi masih dirawat dengan bantuan pernafasan di hospital,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia itu.

Beliau juga memberitahu seramai 705 penduduk di kawasan tempat tinggal kedua-dua kanak-kanak tersebut telah diperiksa dan tiada kes acute flaccid paralysis (AFP) lain dikesan.

“Seramai 65 orang kanak-kanak didapati cicir imunisasi polio di kawasan tempat tinggal kedua -kes itu telah diberi suntikan vaksin polio menggunakan lima kombinasi vaksin,” tambah Noor Hisham lagi.

Kolaborasi

Noor Hisham memberitahu Kempen Imunisasi Polio seluruh Sabah telah dilancarkan pada 27 Disember lepas yang antara lain menyasarkan kanak-kanak berumur bawah lima tahun diberikan dua dos vaksin polio secara titis bagi membunuh virus dan membina imuniti dalam usus kepada mereka yang dijangkiti, selain menyekat ianya terus menular dalam komuniti.

“Satu kolaborasi juga telah diwujudkan antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Filipina serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) bagi memastikan pemberian imunisasi dapat diperingkatkan kepada kanak-kanak Filipina yang berada di Sabah.

“Kanak-kanak tempatan dan bukan warganegara akan diberikan dua dos vaksin polio secara titis (oral polio vaccine – OPV), selaras dengan saranan antarabangsa, ” kata Noor Hisham.

Beliau berkata langkah itu diambil selepas satu mesyuarat penyelarasan wabak polio di Sabah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Disember lalu yang mengariskan beberapa langkah lain dalam usaha membendung wabak itu merebak di Malaysia.

Malaysia telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio untuk selama 27 tahun sebelum kes pertama dikesan pada bayi tiga bulan berkenaan yang berasal dari Tuaran, Disember lepas.

Bayi lelaki berkenaan yang merupakan warga tempatan disahkan menghidap Poliovirus Jenis 1 pada 8 Disember 2019.

Baru-baru ini, menurut Organisasi Kesihatan Dunia, terdapat dua kes berlaku di Filipina, dengan kes pertama disahkan pada 14 September melibat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari Lanao del Sur di Selatan Filipina dan kes dua pada 19 September, di mana kanak-anak lelaki lima tahun dari Daerah Laguna yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Metro Manila disahkan dijangkiti virus polio.

Sebelum ini, Sabah tidak pernah dilaporkan dijangkiti virus polio yang menjejaskan sistem saraf pusat dan boleh menyebabkan lumpuh sementara atau kekal.

Kes terakhir jangkitan polio berlaku di Malaysia adalah pada 1992 dan pada tahun 2000, negara itu telah diisytiharkan sebagai negara bebas polio.

Polio merupakan penyakit amat berbahaya apabila satu daripada 200 mereka yang dijangkiti akan lumpuh seluruh badan, manakala lima hingga 10 peratus dijangkiti meninggal dunia, demikian menurut perunding pakar pediatrik dan ahli imunologi Malaysia Dr Musa Mohd Nordin baru-baru ini.

Lebih memburukkan keadaan katanya, polio merupakan penyakit yang amat mudah berjangkit serta merebak kesan daripada najis, lendir, makanan, sistem sanitasi dan persekitaran tidak bersih.

Tiada penawar untuk menyembuhkan penyakit polio ditemui hingga kini tetapi polio boleh dicegah dengan vaksin yang telah lama terbukti selamat dan berkesan, kata Musa lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.