Polis Tembak Tiga Lelaki Filipina Bersenjata di Perairan Sabah
2016.12.09
Kuching, Sarawak

Polis telah membunuh tiga lelaki bersenjata dan menahan dua lagi dalam kejadian tembak-menembak dan kejar-mengejar antara anggota keselamatan Malaysia dan kumpulan penculik yang disyaki, di perairan Sabah, kata pegawai pada Jumaat.
Kejadian itu berlaku lewat malam Khamis, selepas tujuh lelaki Filipina yang bersenjata dan menaiki sebuah bot laju menyerang tiga buah kapal di kawasan perairan sekitar Semporna, sebuah bandar yang terletak di pantai timur Sabah, berhampiran dengan selatan Filipina.
Pelbagai kes penculikan kelasi yang disyaki oleh kumpulan militan Abu Sayyaf berlaku tahun ini di sekitar perairan yang memisahkan Filipina, Malaysia dan Indonesia.
Pasukan keselamatan pada Jumaat sedang mencari dua lagi suspek dan seorang juragan dari salah sebuah kapal yang diculik dan kini dijadikan tebusan, menurut laporan polis mengenai kejadian yang diperolehi oleh BeritaBenar dan media tempatan pada sidang media oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Abdul Rashid Harun, pada Jumaat.
Kapten salah sebuah bot pukat tunda telah diselamatkan tetapi seorang anggota polis telah ditembak di bahagian kaki semasa kejadian tembak menembak itu, kata pihak berkuasa.
Kejadian meletus apabila lelaki bersenjata, yang berada dalam sebuah bot laju, mendekati kapal Tiger Platun yang sedang meronda perairan tempatan, Abdul Rashid memberitahu pemberita sambil menambah, lanun itu dipercayai merancang untuk merampas bot pukat tunda. Sebaliknya, mereka tersalah anggap, dan cuba mendekati kapal Tiger Platun, sebuah unit elit Pasukan Gerakan Am Polis DiRaja Malaysia.
Komander platun segera menyedari bahawa lanun tersebut bersenjata, katanya.
"Ketua (lanun) kemudiannya menjerit 'polis' dan lanun berkenaan mula melepaskan tembakan sehingga berlakunya kejadian tembak-menembak dalam tempoh selama satu minit, " yang menyebabkan bot lanun itu tenggelam, kata Abdul Rashid.
Apabila kejadian itu berakhir, polis menemui tiga mayat lelaki bersenjata terapung di sekitar perairan berkenaan. Dua lagi lelaki yang bersenjata serta tekong ditemui masih hidup.
Tebusan kedua hilang
Insiden tersebut dipercayai bermula dengan kejadian rompakan pada kira-kira pukul 9 malam Khamis, apabila tujuh suspek menaiki sebuah kapal pukat tunda yang sedang menyusuri perairan pantai Lahad Datu, 68 km (42.2 batu) utara Semporna.
Mereka merompak anak kapal bot nelayan, merampas telefon bimbit, serta bekalan makanan sebelum melarikan diri dengan menculik juragan kapal, seorang penduduk Filipina di Sabah yang berusia dalam lingkungan 30an, kata Abdul Rashid.
"Penculik turut memusnahkan peralatan telekomunikasi di atas bot nelayan itu dan melarikan diri ke perairan Semporna," kata Pesuruhjaya Polis.
Lelaki bersenjata kemudian menuju ke arah Semporna, di mana mereka menaiki bot kedua berhampiran Pulau Gaya.
"Kesemua lelaki bersenjata itu kemudiannya menuju ke arah bot yang lebih kecil, yang berlabuh tidak jauh dari situ, dan menculik tebusan kedua," katanya. Juragan yang diculik waktu kejadian berlaku, masih belum dijumpai,” menurut laporan media Manila Times.
31 warga Malaysia, Indonesia diculik sepanjang tahun
Sepanjang 2016, banyak kes penculikan yang dipercayai dilakukan oleh militan Abu Sayyaf berlaku di bahagian utara kepulauan Borneo itu, di mana mereka menculik mangsa dari Malaysia dan Indonesia dan dijadikan tebusan.
Sehingga tahun ini, sekurang-kurangnya 10 rakyat Malaysia dan 21 Indonesia telah dijadikan tebusan di kawasan selatan Filipina. Lima rakyat Malaysia dan enam dari Indonesia masih di dalam tahanan mereka, walaupun beberapa yang lain telah dibebaskan pada awal tahun.
Walaupun, pihak berkuasa Malaysia, Indonesia dan Filipina telah mulai berbincang selama beberapa bulan mengenai rondaan bersama yang bertujuan untuk memelihara Laut Sulu dan Sulawesi dari lanun dan penculikan, rancangan tersebut masih belum diselaraskan untuk perlaksanaannya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada pihak polis kerana berjaya menggagalkan salah satu daripada cubaan penculikan, dengan berkata di dalam blog laman web beliau bahawa pasukan keselamatan Malaysia akan bekerjasama dengan rakan sejawatnya dari Filipina untuk mengenal pasti lelaki bersenjata dan pelaut yang diculik itu.
"Pujian harus diberikan kepada pasukan keselamatan Malaysia atas tindakan pantas mereka kerana bukan mudah untuk mengawal kawasan pantai yang panjang," katanya.
Di Zamboanga, selatan Filipina, jurucakap tentera Filipina Maj. Felimon Tan Jr. memberitahu media tempatan bahawa pihak berkuasanya masih cuba mendapatkan pengesahan sama ada tiga penculik yang mati terbunuh adalah rakyat Filipina atau tidak.