Malaysia Mahu Penghantaran Tentera ke Arab Saudi Dikaji Semula

Zam Yusa
2018.06.20
Kuala Lumpur, Malaysia
180620-MY-troops-620.jpg Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu (kanan) ketika menghadiri pertemuan dua halanya dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat James Mattis pada Dialog Shangri-la, iaitu forum pertahanan dan keselamatan tahunan di Singapura, 3 Jun 2018.
AP

Kerajaan Malaysia pada Rabu mengumumkan bahawa ia akan mengkaji semula penghantaran anggota tenteranya ke Arab Saudi susulan penglibatan negara Arab itu dalam peperangan berpanjangan di Yaman.

Mohamad Sabu, menteri pertahanan baru Malaysia, berkata, kajian semula itu perlu dibuat kerana anggota tentera negara dihantar ke Timur Tengah oleh kerajaan sebelum ini bagi mempersiapkan pemindahan rakyat Malaysia dari Yaman.

"Malaysia tidak pernah mengambil bahagian dalam operasi menentang Yaman, yang juga merupakan negara Islam," kata Mohamad Sabu dalam satu kenyataan media. "Namun begitu, kehadiran angkatan tentera Malaysia di Arab Saudi secara tidak langsung menyebabkan Malaysia terperangkap dalam konflik Timur Tengah."

Konflik itu bertambah buruk pada Mac 2015 berikutan operasi ketenteraan yang diketuai Arab Saudi bagi menyokong Presiden Yaman, Abedrabbo Mansour Hadi, terhadap pemberontak yang dikatakan disokong oleh Iran.

Tahun lalu, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, hubungan Malaysia dengan Arab Saudi tidak melibatkan penyertaan pasukan tentera dalam mana-mana serangan atau operasi ketenteraan sama ada di Yaman, Syria atau Iraq.

Beliau membuat ulasan itu berikutan laporan media yang memetik laporan tahunan pihak pemantau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyiasat 10 serangan udara gabungan antara Mac dan Oktober 2016 di Yaman. Sekurang-kurangnya 292 orang awam terbunuh termasuk kira-kira 100 wanita dan kanak-kanak.

Ketua operasi bersama gabungan itu memberitahu pihak PBB bahawa para pegawai dari Perancis, Malaysia dan Britain turut hadir di markas Arab Saudi ketika serangan udara itu dilakukan.

"Ketika pasukan kita berada di sana, kepemimpinan Arab Saudi memberikan beberapa latihan kepada anggota tentera kita di ibu pejabat itu. Saya tidak fikir ia suatu masalah, "kata Hishammuddin ketika itu. "Dasar kita untuk berada di sempadan Arab Saudi tidak berubah."

Kajian semula penghantaran pasukan tentera itu dibuat susulan keputusan awal  kerajaan baru untuk mengkaji semula operasi pusat menangani serangan keganasan yang disokong oleh Arab Saudi. Pada 22 Mei, hari pertama Mohamad Sabu memulakan tugasnya itu, beliau telah mengumumkan rancangan untuk mengkaji semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman.

Butiran perlu dijelaskan - Penganalisis

Sementara itu, penganalisis keselamatan antarabangsa Mohamad Abu Bakar menggesa kerajaan baru Malaysia untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang kehadiran pasukan tentera di Arab Saudi.

"Kita perlu tahu sejauh mana penglibatan dengan kehadiran tentera kita di Arab Saudi dan dalam isu Yaman serta sama ada ia boleh menyeret kita ke dalam konflik di Timur Tengah," katanya kepada BeritaBenar. "Sama seperti pusat menangani serangan keganasan yang disokong Arab Saudi di Malaysia, sememangnya bagus bagi Mohamad Sabu untuk mengkaji semula kerjasama pertahanan dengan Arab Saudi."

Penganalisis itu merujuk kepada Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman,  yang beroperasi di pejabat sementaranya di Kuala Lumpur sehingga bangunan utama di Putrajaya siap.

Bekas ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya itu berkata, Mohamad Sabu perlu mendapatkan butiran misi ketenteraan Malaysia di Arab Saudi.

"Berapa banyak pasukan  dan peralatan tentera yang terlibat, kepakaran macam mana yang kita kongsikan dan berapa banyakkah yang kita belanjakan bagi misi-misi ini? Ia tidak jelas, "katanya.

"Yaman adalah negara yang sangat miskin tetapi Arab Saudi terus mengebom negara itu. Dengan melibatkan diri dalam konflik itu boleh memberi kesan yang buruk, "katanya.

Hubungan dengan Arab Saudi

Mohamad Sabu lantang mengkritik hubungan Arab Saudi dengan Malaysia sejak sebelum pilihan raya umum bulan lalu.

Beliau menentang kehadiran tentera Malaysia di negara itu dan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman susulan kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz, ke Kuala Lumpur tahun lepas. Pentadbiran terdahulu telah merancang penubuhan pusat menangani ekstremisme ganas itu di sebuah tapak besar di Putrajaya, iaitu pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Malaysia.

Shahriman Lockman, penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa yang berpejabat di Kuala Lumpur, berkata, langkah kajian semula itu boleh menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara-negara Teluk.

"Menteri pertahanan baru itu sebelum ini pernah menyatakan bahawa kita perlu mengekalkan jarak tertentu dari Arab Saudi," kata Shahriman kepada BeritaBenar.

"Itu, digabungkan dengan kesukaran yang mungkin dihadapi dalam siasatan Malaysia berkaitan 1MDB di negara-negara Teluk, bermakna hubungan kita dengan Arab Saudi dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) akan menjadi kurang mesra berbanding sebelum ini."

Kerajaan baru Malaysia telah membuka semula siasatan terhadap dakwaan pencurian berbilion-bilion dolar daripada dana pembangunan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Siasatan itu mungkin meneliti penglibatan syarikat minyak Arab Saudi, PetroSaudi, dalam 1MDB.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.