Kapal MV Sah Lian Ditemui Hanyut Di Perairan Miri Akibat Kerosakan Enjin
2015.09.10
Kapal kargo MV Sah Lian yang pada mulanya dipercayai dilarikan lanun di Laut China Selatan, berjaya ditemui sekitar 26 batu nautika dari Tanjung Baram, Miri, Sarawak pada Khamis.
Pada 2 Sept lepas, kapal yang berlepas dari Kuching ke Limbang dan dijangka tiba tiga hari kemudian itu, dilaporkan hilang oleh pemilik kapal berkenaan pada Isnin lalu.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, kapal berkenaan berjaya ditemui kira-kira jam 4 petang setelah mengalami kerosakan enjin dan hanyut sehingga perairan Miri.
"Kapal berkenaan yang dilaporkan mengalami kerosakan telah berjaya dikesan kapal Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) KM Mersuji, dan pemeriksaan oleh APMM mendapati kesemua anak kapal berkenaan dilaporkan selamat," katanya pada Khamis.
Terdahulu itu, Ismaili berkata, kapal berkenaan telah ditemui sebuah kapal dagang milik syarikat lain pada kira-kira 23 batu nautika dari Miri, pada jam 5 petang Rabu, dan kapten kapal berkenaan telah menghubungi pemilik kapal untuk memaklumkan mengenai penemuan kapal kargo tersebut.
Katanya, pemilik kapal telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak APMM dan pihaknya terus mengerahkan anggotanya ke lokasi yang dinyatakan.
Namun menurut beliau, agensi itu gagal mengesan kapal berkenaan setibanya di lokasi yang dimaklumkan kerana dipercayai telah hanyut dibawa arus.
Ismaili berkata kapal yang dikendalikan seorang kapten beserta 13 orang kru itu dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
Menurutnya, kapten kapal itu berasal dari Indonesia manakala lima krunya terdiri daripada warga Myanmar, empat warga India, tiga warga tempatan dan seorang warga Indonesia.
Secara keseluruhan beliau berkata, empat buah kapal dan tujuh buah bot serta bantuan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan terlibat dalam operasi pencarian itu.
Pada 11 Jun lepas, sebuah kapal tangki kepunyaan Magna Meridian Sdn Bhd, yang membawa muatan 6,000 tan minyak petrol bernilai RM21 juta, dilarikan lanun semasa dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.
Satu lagi rompakan kapal tangki yang juga membawa muatan minyak berlaku di perairan Malaysia, apabila kapal tangki MT Joaquim milik Singapura yang dalam perjalanan ke Pulau Langkawi dirampas lanun pada 8 Ogos lepas.
Lanun yang merompak kedua-dua kapal tangki itu berjaya ditahan selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan.