Pertemuan dua pemimpin UMNO di Penjara Kajang tidak langgar peraturan, kata Menteri

Kebenaran khas bertemu banduan, bawa makanan dan tempoh masa tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Penjara tahun 2000 Bahagian 10, kata Saifuddin Nasution Ismail.
Ili Shazwani Ihsan & Iskandar Zulkarnain
2023.06.14
Kuala Lumpur
Pertemuan dua pemimpin UMNO di Penjara Kajang tidak langgar peraturan, kata Menteri Seorang pemilik gerai sedang menggantung surat khabar yang muka depannya mengenai kes bekas perdana menteri Najib Razak yang dijatuhi hukuman penjara, di Semenyih, Selangor, 24 Ogos, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pertemuan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dengan bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara tidak melanggar mana-mana peraturan kerana Presiden UMNO itu mendapat “kebenaran khas”, demikian kata Menteri Dalam Negeri Malaysia.

Saifuddin Nasution Ismail pada Rabu mempertahankan keputusan Kerajaan memberi kebenaran khas itu, selepas ramai pihak mempertikaikan pertemuan dua pemimpin UMNO di Penjara Kajang yang didedahkan kepada umum oleh Ahmad Zahid sendiri, minggu lepas.

Penganalisis dan pengguna media sosial pula tampil mempersoalkan kebenaran khas yang diberikan Putrajaya dengan tegas berkata semua banduan perlu dilayan sama rata kerana Najib pernah menikmati layan istimewa sebelum ini.

“Kebenaran khas [diberikan] sama ada melalui Ketua Pengarah Penjara atau Menteri Dalam Negeri…. Ketua Pengarah Penjara memaklumkan kepada saya dan saya mengetahui mengenainya dan proses seterusnya dibuat adalah atas budi bicara Ketua Pengarah Penjara,” jelas Saifuddin pada satu sidang media di Parlimen.

Beliau berkata, kebenaran bertemu dengan banduan, membawa makanan dan tempoh masa yang dibenarkan adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Penjara tahun 2000 Bahagian 10, terutamanya Peraturan 86 dan Peraturan 99.

“Menerusi Peraturan 86 dan 99, dari hal izin melawat, membawa makanan begitu juga dengan tempoh masa, pegawai penjara yang menyelia pada masa itu mempunyai ‘authoriti’ (kuasa) untuk membuat pertimbangan… pihak penjara boleh ‘invoke’ peraturan,” jelas Menteri Dalam Negeri itu lagi.

Saifuddin turut menafikan dakwaan ada pihak membawa peranti elektronik semasa pertemuan dua pemimpin UMNO itu dengan berkata perkara tersebut tidak betul dan telah disahkan oleh Ketua Pengarah Penjara Nordin Muhamad kepada beliau.

Pertemuan empat mata

Ahmad Zahid yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung parti itu pada Jumaat lepas telah mendedahkan mengenai pertemuan empat mata hampir dua jam antara beliau dan Najib kepada umum yang berlaku sebelum persidangan parti terbesar orang Melayu itu diadakan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh perjumpaan antara beliau dan Najib tetapi sempat memberitahu yang beliau ada membawa makanan kegemaran Najib semasa perjumpaan tersebut.

“Saya ingin maklumkan saya sendiri telah bertemu dengan Najib Razak dan melawat beliau dalam penjara. Saya sempat bersarapan dengan beliau dan saya bawa semua makanan kegemaran beliau untuk kami makan bersama.

“Sekarang beliau sedang meneruskan pengajian PhD. Bila saya pergi ke Penjara Kajang, saya bawa Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul (Anuar) Nasarah. Selepas tempoh setengah jam, saya ada sesi empat mata dengan Najib selama 1 jam 30 minit,” ujarnya kepada lebih 1,600 perwakilan yang hadir pada persidangan tahunan UMNO itu.

Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan butiran perbincangannya dengan Najib namun menegaskan komitmen parti itu untuk terus memperjuangkan keadilan buat bekas perdana menteri itu.

Untuk rekod, pada April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memohon pertimbangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi pengampunan penuh kepada Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (AS$45.4 juta) selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Bebaskan Najib

Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus mendapat tekanan untuk membebaskan Najib dengan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim turut membuat permintaan secara terbuka.

Zaid yang mewakili Najib dalam rayuan pembelaan terakhirnya sebelum ini, menyifatkan jumlah RM42 juta (AS$9 juta) itu sebagai “jumlah kecil” berbanding kes-kes lain yang jauh lebih besar.

“Ke hadapan perdana menteri, anda perlu ubah fikiran tentang Najib - demi rakyat. Biarkan dia bebas. Dalam pilihan raya negeri akan datang ini, (kerajaan) Madani perlu menang; anda perlu jadi perdana menteri untuk beberapa tahun lagi.

"Sudah tentu, dia sudah didapati bersalah, tetapi dalam 'scheme of things', RM42 juta adalah 'small change'. Lagipun, mulai sekarang, rasuah adalah perkara yang sudah berlalu di bawah kepimpinan anda yang tegas dan bersih. Tiada siapa boleh kata anda berlembut dengan rasuah jika mengampuni Najib,” ciap Zaid di akaun Twitternya pada Rabu.

Layanan sama rata

Sementara itu, Zaid Malek, Pengarah Lawyers for Liberty menyifatkan kunjungan Ahmad Zahid ke atas Najib di Penjara Kajang sebagai layanan berat sebelah.

Tegasnya, kerajaan harus memastikan hak keistimewaan yang sama turut diberikan kepada tahanan yang lain.

“Inilah isunya, mereka (pihak kerajaan) boleh ‘pick and choose’ (memilih) siapa yang mereka ingin berikan hak istimewa ini dan daripada apa yang dapat kita lihat di sini, ianya diberikan kepada mereka yang mempunyai pengaruh seperti VIP dan menteri.

“Persoalannya di sini ialah ketidaksamarataan. Seorang tahanan biasa tidak dapat pengecualian seumpamanya, jadi kerajaan kena jawab (isu tersebut).

“Ada antara tahanan yang bahkan tidak mendapat hak asas mereka untuk menerima lawatan oleh ahli keluarga sendiri apatah lagi rakan-rakan. Siapakah Zahid pada Najib? Beliau bukan ahli keluarganya pun,” katanya kepada BenarNews.
Para pengguna media sosial turut mempertikaikan layanan istimewa kepada Najib.

Pengguna Twitter Mohin76 di dalam ciapannya mempersoalkan ‘Kenapa adanya dwistandard antara VIP dan rakyat biasa?” manakala pemilik akaun Acap mempertikaikan “Macam mana Zahid Hamidi boleh bersarapan pagi dengan penghuni penjara Najib Razak?”

Ada juga yang menyindir layanan istimewa yang diberikan kepada Najib seperti Ralph Liebe yang menulis di ciapannya “Betul ke Najib di penjara tu? Tiada satu pun gambar Najib pakai baju banduan penjara.

Raih sokongan untuk PRN

Para penganalisis berpandangan kunjungan Ahmad Zahid ke atas Najib bertujuan untuk meraih sokongan para penyokong mantan perdana menteri itu menjelang enam pilihan raya negeri (PRN).

Muhammad Izmer Yusof, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis berkata pertemuan itu penting kepada Ahmad Zahid sebelum menghadapi PRN walaupun kelihatan tidak adil di mata masyarakat.

“Barangkali itu isu yang dibincangkan secara panjang lebar dengan Najib di penjara berkisar mengenai bagaimana mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO dalam PRN kerana UMNO dah ‘strike’ sebanyak dua kali. ‘Strike’ yang ketiga UMNO mungkin tak mampu bertahan lagi,” ujarnya kepada BenarNews.

Menurutnya dari optik politik, pengecualian khas kepada dua pemimpin UMNO itu dilihat sebagai tidak wajar kerana ia memberi gambaran kerajaan Malaysia memberikan layanan istimewa terhadap Najib.

“Ini boleh menyebabkan pihak lain mempersoalkan apa lagi bentuk layanan istimewa yang diberikan kepada beliau yang tidak diketahui masyarakat,” tambah Muhammad Izmer lagi.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeneri Amir pula mempunyai pandangan berbeza.

Beliau berpendapat pengecualian khas tersebut sebagai wajar dan bersifat kemanusiaan dengan mengambil kira sumbangan yang telah dicurahkan oleh Najib bukan sahaja kepada UMNO tetapi kepada rakyat Malaysia.

“Penyokong Najib akan gembira dengan langkah presiden parti UMNO itu kerana ia bukan sahaja memperlihatkan terhadap Najib tetapi juga untuk mendapatkan aura dan suntikan semangat daripada Najib sendiri (tentang) bagaimana untuk menyemarakkan sokongan rakyat dan ahli,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.