Unit Hal Ehwal Bukan Islam Sarawak: Kumpulan Sivil, Pembangkang Sambut Baik
2017.05.23
Kuching, Sarawak

Pemimpin kumpulan sivil, badan bukan kerajaan dan pembangkang di Sarawak menyambut baik penubuhan Unit Hal Ehwal Bukan Islam di negeri yang kaya dengan sumber semulajadi yang dilihat sebagai usaha kerajaan negeri mempromosikan keharmonian antara agama.
Pada Isnin, Timbalan Ketua Menteri Douglas Unggah Embas mengumumkan bahawa Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak telah meluluskan stuktur unit yang akan berada di bawah Jabatan Ketua Menteri.
Unit itu yang ditubuhkan hasil ilham bekas Ketua Menteri kelima, Allahyarham Adenan Satem yang meninggal dunia Januari lalu, mempunyai tanggungjawab terhadap mengawal selia dasar berhubung hal ehwal agama bukan Islam di negeri berkenaan.
Ia juga bertindak sebagai titik tumpuan bagi pelbagai badan agama untuk berhubung serta berinteraksi dengan agensi kerajaan negeri atau persekutuan dalam menggalakkan keharmonian agama.
Ketua Parti Keadilan Rakyat Sarawak, Baru Bian mengalu-alukan penubuhan unit, dengan harapan ia dapat membawa keseimbangan dalam kepelbagaian agama dan budaya di negeri tersebut.
"Sarawak akhirnya mempunyai unit dalam kerajaan yang boleh menangani rasa tidak senang ke atas longgokan kes-kes melibatkan agama tidak dapat diselesaikan dan sudah tiba masanya unit berkenaan beroperasi, selepas pengumumannya dibuat tahun lepas,” katanya mengulas mengenai unit berkenaan.
Dalam pada itu, ketua sebuah badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai “Sarawak For Sarawakians” Peter John Jaban semasa diminta mengulas mengenai penubuhan unit berkenaan mencadangkan kepada kerajaan negeri yang unit berkenaan perlu kendalikan oleh semua organisasi agama di Sarawak serta perlu diketuai sama ada oleh bishop, presiden persatuan gereja, sami Hindu atau Buddha.
"Unit ini tidak boleh diketuai oleh bekas pegawai kerajaan berpangkat tinggi atau orang biasa yang tidak tahu apa-apa tentang apa yang diperlukan oleh setiap agama," kata aktivis yang memperjuangkan hak pribumi rakyat Sarawak itu kepada BeritaBenar pada Selasa.
Sarawak mempunyai majoriti penduduk Krisitan dan hanya 25 peratus daripada mereka beragama Islam, demikian menurut statistik rasmi.
Douglas semasa ucapannya pada Isnin berkata sebanyak 17 jawatan baru pelbagai gred termasuk pengarah sepenuh masa sedang diisi bagi memastikan operasinya dapat berjalan.
Kerajaan negeri Sarawak telah cuba mendapatkan autonomi yang lebih besar berikutan terdapatnya aduan bahawa kuasa-kuasa di Borneo telah terhakis sejak ia menyertai Malaysia.
Sarawak bersama-sama dengan Sabah, satu lagi negeri di Kepulauan Borneo, mencapai kemerdekaan daripada British dan menyertai Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963 di bawah syarat-syarat tertentu.