“Muafakat Selamatkan Malaysia" Uji Sokongan Anti-Najib
2016.03.25
Penang

Di sebalik kritikan dan tekanan yang diterima, pemimpin pembangkang Malaysia nekad meneruskan siri perhimpunan di seluruh negara, dalam usaha memberikan tekanan mendesak Perdana Menteri Najib Razak meletak jawatan, susulan pengisytiharan 'Deklarasi Rakyat' pada awal Mac lepas.
Menurut pihak penganjur, perhimpunan yang dirancang itu adalah selari dengan hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembangaan sambil memberi jaminan acara tersebut akan diadakan secara aman dan tidak mengancam kententeraman awam.
Mengulas mengenai siri perhimpunan itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang juga antara mereka yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan itu berkata, ia mempunyai signifikan besar kerana pengabungan beberapa pemimpin dari kalangan penyokong kerajaan termasuk mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
"Ini membuktikan perdana menteri sangat tidak popular, sehinggakan pemimpin-pemimpin dalam UMNO sendiri bangkit mencabar kepimpinannya. Ini adalah sesuatu yang luar biasa pada saya," ujarnya kepada BeritaBenar.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir, kedua-duanya masih ahli UMNO antara mereka yang dijangka menghadiri perhimpunan itu.
Perhimpunan pertama dalam sirinya akan diadakan secara tertutup pada Ahad ini [27 Mac] di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor diikuti sehari selepas itu, satu lagi perhimpunan dijadualkan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Mereka yang dijangka menghadiri gerakan itu adalah pemimpin politik dari pelbagai parti, aktivis masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.
Menjawab kritikan di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO, Tian Chua yang juga ahli parlimen pembangkang kawasan Batu di Kuala Lumpur berkata, menurunkan dan menggulingkan perdana menteri adalah dua perkara yang berbeza.
"Perhimpunan ini bukannya mahu menggulingkan kerajaan sebaliknya adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang mahu mendesak Najib untuk melepaskan jawatannya,” tambah beliau sambil membidas dakwaan yang kononnya tindakan yang diambil gerakan itu tidak demokratik.
"Apakah mereka terlupa bahawa semua perdana menteri sejak zaman Tunku Abdul Rahman telah meletak jawatan ketika masih belum selesai tempoh penggal mandat pentadbiran dan jawatan itu diambil alih oleh pengganti,” tambahnya lagi
Perhimpunan aman bukan jenayah
Sejak berita mengenai perhimpunan itu bakal berlangsung, pemimpin politik penyokong kerajaan mula mengeluarkan pelbagai ulasan mengenainya yang antara lain berkata, perhimpunan itu bakal mengundang ancaman kepada negara.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar turut mengeluarkan amaran yang polis akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mengeluarkan kenyataan hasutan semasa perhimpunan berjalan.
Ahli Parlimen dari parti Islam PAS, Mahfuz Omar membidas kenyataan itu dengan berkata
"Polis mempunyai hak untuk menyiasat, namun saya tidak fikir desakan yang meminta Najib berundur itu adalah satu jenayah," katanya kepada Berita Benar.
Beliau juga menjangkakan bahawa perhimpunan yang akan dianjurkan itu bakal menjadi titik tolak untuk menggerakkan momentum rakyat selari dengan ‘Deklarasi Rakyat’ yang dibuat sebelum ini, selain menyatakan sokongan tanpa mengira perbezaan fahaman politik kearah usaha untuk menyelamatkan negara.
Mahfuz akan hadir sebagai rakyat yang cintakan negara manakala Mahathir, dijadual menyampaikan ucaptama pada perhimpunan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah mengeluarkan amaran bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota Pemuda UMNO yang menyertai mana-mana perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' itu.
"Mandat kami (Barisan Nasional) ini telah dipilih melalui pilihan raya. Bukan kumpul tandatangan, deklarasi atau pengutan suara," kata Khairy seperti dilaporkan oleh portal berita-MalaysiaKini baru-baru ini.
Perhimpunan uji sokongan
Mengulas mengenai rancangan siri perhimpunan yang bakal dianjurkan itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Siva Murugan Pandian berpendapat perhimpunan itu bakal menjadi kayu ukur sokongan rakyat kepada isu-isu yang dibawa pembangkang termasuk menuntut Najib meletak jawatan.
Beliau berpendapat, selain dari memperjuangkan agenda untuk menyingkirkan Najib, perhimpunan itu secara tidak langsung akan memberi gambaran tentang sokongan terhadap gabungan itu selepas era Pakatan Rakyat.
"Persoalan utama adalah, apakah perhimpunan ini mampu untuk mencari jalan penyelesaian yang cuba dicapai oleh mereka ataupun mereka perlu pendekatan lain tanpa mewujudkan keadaan yang tidak menentu dalam negara," ujarnya kepada BeritaBenar.
Menurut Siva Murugan, beliau menjangka gabungan pakatan pembangkang yang baru dibentuk Pakatan Harapan antara Parti Amanah Negara (PAN), selepas berakhirnya era kerjasama DAP, PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat akan menjadikan perhimpunan itu sebagai pengukur kekuatan sokongan dari rakyat sebelum bergerak ke fasa berikutnya.
Politik Malaysia lebih matang
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Shukri Shuib berkata sekiranya perhimpunan yang dirancang itu bersifat ilmiah untuk membincangkan penambahbaikkan sistem dalam negara, itu sesuatu yang akan diterima masyarakat.
Katanya, jika perhimpunan itu mengganggu ketenteraman awam, ia tidak sesuai dijalankan kerana Malaysia tidak mengamalkan politik demonstrasi jalanan untuk menukar kerajaan.
"Politik Malaysia adalah lebih matang dari negara-negara berjiran mahupun beberapa negara Arab dan rata-rata rakyat menghormati sistem sedia ada.
"Sekiranya mana-mana pihak mahu menukar perdana menteri, sebaiknya ia dijalankan menurut lunas-lunas Perlembangaan iaitu melalui undi tidak percaya di dalam Parlimen dan jika ahli-ahli UMNO sendiri mahukan perubahan, mereka boleh melakukannya mengikut perlembagaan parti," ujarnya kepada Berita Benar.