Kapal Selam Tentera Laut Malaysia Bukti Keupayaan, Tangkis Dakwaan Negatif

Noah Lee
2019.11.14
Kuala Lumpur, Malaysia
191114-MY-Scorpene1000.jpg Kapal Selam Scorpene - KD Tunku Abdul Rahman sedang melakukan rondaan di Laut China Selatan sambil diiringi kapal milik Tentera Laut DiRaja Malaysia, 13 November, 2019.
[Ihsan Tentera Laut DiRaja Malaysia]

Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) pada Khamis memaklumkan yang anggotanya telah berjaya merekodkan 11,600 jam selaman sekaligus menangkis spekulasi liar terhadap dua buah kapal selam penuh kontroversi, Scorpene yang dibeli negara sedekat lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media di Kuala Lumpur, TLDM telah memaklumkan bahawa satu program selaman melibatkan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Zulkifli Zainal Abidin telah diadakan di sekitar perairan Laut China Selatan pada Rabu.

Kenyataan itu berkata, program tersebut adalah bukti menangkis dakwaan bahawa kedua-dua kapal selam yang diberi nama KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak sempena nama perdana menteri pertama dan kedua negara, tidak berfungsi dan tidak dapat melakukan selaman.

“Kami mempunyai bukti di mana anggota, kru kapal selam yang telah mencatatkan rekod lebih 11,600 jam menyelam bersama kapal Scorpene… Jadi, bagaimana mungkin ada pihak mengatakan kapal selam negara tidak boleh menyelam,” kata kenyataan itu.

TLDM dalam kenyataan itu juga berkata,kritikan tidak berasas mengenai kapal selam itu dibuat berdasarkan kepada andaian dan kesimpulan oleh mereka yang tidak mempunyai kemahiran.

"Ada pihak telah melontarkan kritikan kononnya kapal selam TLDM tidak mampu menyelam dan membazir... Segala debat ini disebabkan pengkritik tidak mendapat maklumat yang tepat. Oleh itu rakyat berhak mengetahui apakah keupayaan kapal selam ini, dan bagaimana kapal itu beroperasi dengan berkesan, agar mereka terus berasa bangga," demikian menurut kenyataan itu lagi. 

TLDM juga berkata, program rondaan yang dibuat pada Rabu di sekitar perairan Laut China Selatan adalah untuk mengukuhkan lagi bukti bahawa kapal selam Scorpene milik negara itu mampu melaksanakan peranannya dengan baik dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Kapal selam kelas Scorpene adalah kapal selam penyerang yang digerakkan dengan kuasa diesel, dan mempunyai keupayaan untuk melancarkan misil dan torpedo dari bawah permukaan air.

Malaysia pada 2002 telah menempah dua buah kapal selam kelas berkenaan yang dibangunkan secara bersama oleh syarikat Perancis DCN International dan syarikat Navantia dari Sepanyol, dengan kos sebanyak RM3.4 bilion.

Bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak yang sekarang ini berhadapan dengan 42 pertuduhan rasuah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad, merupakan Menteri Pertahanan ketika perjanjian pembelian itu dibuat.

Kedua-dua kapal berkenaan tiba di Malaysia pada September 2009 dan Julai 2010.

Walaubagaimanapun, pembelian kapal selam berkenaan dicemari dengan pelbagai kontroversi, termasuk tuduhan berlakunya rasuah dalam proses pemerolehan serta dakwaan oleh ahli politik pembangkang pada masa itu, bahawa kedua-dua kapal berkenaan tidak mampu melakukan selaman.

Tuduhan terhadap kebolehan kapal selam berkenaan pada tahun 2010 telah membuatkan Menteri Pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, mencabar pemimpin dari parti pembangkang untuk menaiki sendiri kapal selam Scorpene milik TLDM itu.

Cabaran tersebut kemudiannya telah disahut oleh setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng, menaiki KD Tun Razak selama lebih kurang 90 minit bersama dua lagi pemimpin pembangkang ketika itu, semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada Disember 2011.

Menurut laporan media tempatan, Lim yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, memberitahu media bahawa KD Tun Razak telah menyelam sedalam 30 meter.

"Kami menyelam 30 meter... Tiada keraguan mengenai itu," katanya seperti dilaporkan The Star Online pada Disember 9, 2011.

Proses pemerolehan kedua-dua KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak itu bermula pada 2002 ketika Kementerian Pertahanan berada di bawah Najib, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Pembelian kedua-dua kapal selam itu juga dipercayai berlakunya rasuah sebanyak RM544 juta (AS$130 juta) dalam bentuk komisen yang dibayar kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Najib, sehingga membawa kepada satu siasatan oleh pihak berkuasa Perancis, selepas mereka menerima laporan daripada Suaram, sebuah badan bukan kerajaan Malaysia pada 2010.

Susulan siasatan berkenaan, pihak berkuasa Perancis pada 2017 dilaporkan telah membuat pendakwaan terhadap lima orang di Perancis, termasuk Abdul Razak Baginda yang dikaitkan dengan Najib.

Empat lagi adalah pengerusi DCN International, Philippe Japiot dan Dominique Castellan, serta dua orang bekas ketua Thales International Asia, Bernard Baiocco dan Jean-Paul Perrier.

Selepas gabungan Pakatan Harapan memenangi pilihanraya umum Malaysia ke-14 pada Mei 2018 dan membentuk kerajaan persekutuan yang baru, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah mengumumkan bahawa kementerian tersebut akan membuka siasatan terhadap lima skandal yang dikatakan berlaku ketika kementerian berkenaan dibawah pemerintahan Barisan Nasioanl.

Ia termasuklah skandal Scorpene, kata Mohamad Sabu, yang juga merupakan ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan.

"(Siasatan termasuk) skandal Scorpene dan lain-lain. Jika (peringkat) dalaman tidak berupaya, baru pergi ke peringkat luar dan kalau serius akan dibawa ke kabinet. Kita tidak akan bertindak semberono," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini pada 22 Mei 2018.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.